KEKAL ALAM MELAYU RANTAU WASATIYYAH

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 7 Ogos 2012

Sebahagian besar masyarakat dunia, terutama di sebelah Barat sering terlepas pandang terhadap rantau alam Melayu sekiranya mereka ingin memahami hakikat agama Islam. Sejak sekian lama, perhatian mereka banyak bertumpu kepada pengamalan masyarakat Islam di rantau Asia Barat sebagai sumber utama bagi memahami realiti agama ini. Hal ini seperti tidak boleh dielakkan kerana faktor sejarah di mana kemunculan agama Islam memang bermula dan berpusat di rantau terbabit.

Namun, itu tidak bermakna bahawa sumber pemahaman seseorang terhadap hakikat agama Islam harus bertumpu pada satu-satu tempat saja. Sekiranya kita ingin memahami kedudukan dan peranan agama Islam dalam kehidupan dan peradaban, sumber pandangan kita terhadap realitinya harus menyeluruh meliputi segenap rantau perkembangannya. Ini berasaskan keyakinan, iaitu agama Islam mengandungi nilai kesejagatan di mana sekiranya ia diamalkan pada tahap yang paling terbaik dan sempurna oleh sesiapa saja atau kelompok masyarakat mana sekalipun, ia pasti akan menatijahkan sebuah jelmaan kehidupan beragama yang terbaik dan sempurna juga.

Sehubungan itu, pengalaman pengamalan agama Islam oleh masyarakat di rantau alam Melayu tidak boleh dikesampingkan dalam wacana bagi memahami hakikat sebuah kehidupan beragama yang sempurna. Dalam tempoh beberapa lama sejak ketibaannya di abad ke-14, masyarakat Islam di rantau alam Melayu sudah memiliki sejarah pengalaman beragamanya yang tersendiri, terutama dalam ia berinteraksi dengan realiti kepelbagaian yang wujud.

Kita tertarik dengan penelitian pengalaman keagamaan yang unik dilalui masyarakat Islam di rantau alam Melayu ini oleh Prof Dr Mohd Kamal Hassan sebagai mana dibicarakan dalam buku terbarunya, Voice of Islamic Moderation from the Malay World. Dalam penelitian beliau, antara nilai ajaran agama yang amat sebati dan tertonjol dalam identiti kehidupan masyarakat Islam alam Melayu ialah kesederhanaan atau wasatiyyah. Nilai ini menurut Kamal boleh diteliti dengan jelas dalam ruang kehidupan sosial, politik dan ekonomi masyarakatnya.

Nilai wasatiyyah dalam ruang sosial tergambar menerusi kesalingan hubungan harmonis penduduk berbilang ragam kepercayaan dan budaya sejak sekian lama. Rupa kehidupan sosial rantau alam Melayu yang bersifat plural ini tidak mungkin sama sekali dapat bertahan dalam tempoh lama sekiranya nilai hidup berasas prinsip wasatiyyah tidak tercerna secara sebati dalam kefahaman dan amalan masyarakatnya.

Realiti sama boleh diteliti dalam ruang kehidupan politik. Pada pandangan Kamal, walaupun masyarakat Melayu-Islam adalah kelompok pemegang kuasa politik terbesar dalam negara ini tidak menghalang pembabitan yang bermakna kaum lain dalam sistem pengagihan kuasa. Keseimbangan politik menerusi pemuafakatan antara pelbagai parti adalah jelmaan sebuah penghayatan nilai dan prinsip wasatiyyah dalam tatacara kenegaraan. Kepemimpinan masyarakat Melayu-Islam sedar, iaitu keadilan sosial tidak akan tercapai sama sekali menerusi monopoli politik. Keadilan sosial hanya terjelma selepas keseimbangan politik diamalkan secara saksama.

Dalam ruang ekonomi, nilai wasatiyyah terserlah dengan wujud kepelbagaian pilihan sistemnya yang boleh menjadi pilihan masyarakat pelbagai. Di rantau ini, sistem ekonomi konvensional yang berasaskan pasaran bebas berkembang secara terbuka dan bebas bersama-sama dengan sistem perbankan syariah. Realiti wasatiyyah dalam amalan perekonomian menekankan asas kefahaman dan pilihan kepada masyarakat dan bukan paksaan. Masyarakat bebas memilih bersandarkan keyakinan dan kebaikan dari pelbagai sistem yang ditawarkan. Realiti wasatiyyah yang tergambar dalam pelbagai ruang sosial, politik dan ekonomi ini menjelaskan hakikat pengalaman Islam di rantau alam Melayu berdepan dengan kepelbagaian persekitarannya. Jelas sekali pengalaman ini menunjukkan nilai wasatiyyah yang difahami dan dihayati secara sebenar menerbitkan jelmaan kehidupan harmoni dan indah. Pengalaman ini membuktikan, iaitu agama mampu berperanan secara positif dalam sebuah kehidupan moden hari ini.

Hakikat ini secara langsung menolak tanggapan prejudis bahawa agama sering menjadi punca pertembungan nilai dengan realiti moden. Kedapatan ramai daripada kalangan ahli masyarakat, iaitu semakin bertambah tingkatan penghayatan keagamaan masyarakat Islam maka konflik nilai ini pasti akan berlaku. Tanggapan sebegini jelas salah dan mengelirukan sekiranya dipandang dari perspektif pengalaman masyarakat Islam di rantau alam Melayu.
Dalam pengalaman rantau ini, nampaknya semakin tinggi tahap penghayatan masyarakat Islam terhadap agamanya, bertambah luas dan terbuka pula nilai yang pelbagai berkembang secara positif. Semakin tinggi tingkat pemahaman keagamaan di kalangan masyarakat Islam maka semakin meningkat pula tahap penghargaan kepada unsur kepelbagaian serta nilai keseimbangan dan kesederhanaan.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s