PROJEK WAKAF MEDIA PERKASA INSTITUSI AKHBAR

Oleh Muhamad Razak Idris

Peranan akhbar menjadi amat asasi sekali pada masa kini. Fungsi terasnya sebagai sumber pemberitaan dan penghebahan maklumat menjadi keperluan utama setiap ahli masyarakat. Bayangkan keadaan kehidupan kita tanpa memperoleh maklumat atau berita. Tentu sekali kita akan berdepan dengan keadaan hidup yang gundah dan penuh kekalutan. Ini kerana peranan akhbar hari ini seumpama pemandu dan pemberi pedoman dalam kita mengendalikan segala urusan kehidupan dunia yang serba rencam. Kita amat bergantung kepada institusi akhbar setiap hari kerana kita perlu mengentahui, misalnya, keadaan ekonomi semasa kerana ia berkaitan dengan peluang pekerjaan dan peniagaan, keadaan cuaca bagi merancang perjalanan dan kegiatan, keadaan keselamatan bagi memastikan diri dan keluarga tidak terdedah kepada ancaman bahaya. Kita juga perlu memahami keadaan sosio-politik semasa bagi membolehkan kita membuat pertimbangan dan penilaian yang tepat terhadap pencapaian dan keberkesanan dalam urustadbir kenegaraan yang serba mencabar. Begitulah peranan dan fungsi penting institusi akhbar kepada kehidupan kita hari ini.

Berasaskan kepentingan institusi akhbar dalam sesebuah negara di era moden ini, kini terdapat pandangan dari beberapa sarjana Muslim semasa yang meletakkan keperluan kepada institusi akhbar ini sebagai satu bentuk tuntutan asasi. Ia bermaksud, keperluan masyarakat kepada sumber berita pada masa kini seumpama keperluan mereka kepada aspek-aspek seperti makanan, pakaian, tempat penginapan dan pendidikan. Dalam kata lain, keperluan kepada sumber berita pada hari ini bukan lagi sebagai satu bentuk keperluan yang bersifat sampingan seperti pemilikian kenderaan sendiri, alat telekomunikasi dan hiburan. Keperluan memperoleh sumber berita yang tepat danbenar adalah satu keperluan yang bersifat wajib dan bukan suatu hanya satu bentuk pilihan bagi setiap ahli masyarakat.

Pandangan ini yang meletakkan kedudukan sumber berita sebagai satu bentuk keperluan asasi atau wajib dimiliki oleh setiap individu dalam masyarakat adalah suatu menarik dalam konteks wacana pemikiran Islam semasa. Ini kerana pandangan ini menunjukkan sedang berlaku perluasan atau pengembangan kefahaman dalam menentukan perkara-perkara yang menjadi asas keperluan asasi berasaskan ilmu yang dikenali sebagai maqasid syariah atau objektif tertinggi perundangan Islam.

Pada masa kini, ahli-ahli perundangan saling bersepakat tentang lima keperluan asasi yang perlu dimiliki oleh setiap individu dan wajib dipelihara oleh masyarakat dan pemerintah sesebuah negara iaitu keselamatan nyawa, kesejahteraan akal, keselamatan harta, kesucian nasab ketururan dan kemuliaan maruah diri. Sekiranya aspek memperoleh sumber berita yang tepat dan benar dilihat sebagai satu bentuk keperluan asasi, maka ia adalah satu bentuk pencapaian baru dalam wacana berkenaan persoalan ini dalam falsafah perundangan Islam. Penerimaan pemikiran ini nanti akan memberi kanimplikasinya yang tersendiri kepada kehidupan masyarakat Islam secara khusus. Ini kerana penerimaaannya secara langsung menuntut seluruh upaya dari segenap kekuatan masyarakat dan negara mendokong proses perlaksanaannya. Ini beerti, memperoleh sumber berita yang tepat dan benar adalah hak asasi setiap warga dalam sesebuah negara. Dengan itu masyarakat dan pemerintah perlu bertanggungjawab menyediakan ruang dan persediaan bagi menyempurnakan pemilikan hak asasi ini kepada seluruh rakyat.

Walaupun wacana tentang persoalan ini barangkali masih baru dalam konteks masyarakat Islam di negara ini, namun kita berasa tertarik dengan idea yang mula berkembang tentang keperluan untuk masyarakat Islam mewujudkan satu program yang dinamakan ‘Wakaf Media’. Idea ini dikembangkan berasaskan kesedaran akan kedudukan penting sumber berita ini terutama dalam menyalurkan maklumat yangtepat, membangunkan minda dan kesedaran masyarakat bersumberkan nilai agama dan budaya yang luhur. Program wakaf media ini menggunakan konsep amal jariah di mana umat Islam boleh menyumbang harta yang dimilikinya bagi membangunkan institusi akhbar atau media dalam negara. Menerusi kaedah wakaf, institusi akhbar ini menjadi milik seluruh umat Islam dan ia bertanggungjawab untuk menyediakan sumber berita yang tepat, benar dan terbaik kepada semua.

Institusi akhbar yang dibangunkan menerusi kaedah wakaf ini memiliki dana kewangannya sendiri yang dikumpul dan dijana menerusi sumbangan wakaf orang ramai. Ini beerti, akhbar-akhbar wakaf tidak lagi bergantung kepada sumber iklan komesial bagi menjana pendapatannya sebagaimana yang sedang dihadapi oleh institusi akhbar semasa hari ini. Konsep wakaf media ini akan memberikan kebaikan besar kerana institusi akhbarnya akan memperoleh kebebasan yang luas dalam proses pemberitaannya. Ia juga tidak perlu lagi terikat atau bias kepada mana-mana individu atau kumpulan yang barangkali memiliki kepentingan di sebalik sesebuah institusi akhbar. Kebebasan akan memastikan tahap integriti akhbar wakaf sentiasa terjaga. Akhbar wakaf juga tidak perlu lagi bersaing dalam dunia industri pemberitaan secara bermati-matian sehingga terpaksa mengorbankan prinsip kebenaran dan keadilan hanya demi menjadi kepentingan atau ‘survival’perniagaan dan keuntungan.

This entry was posted in Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s