KEBANGKITAN ISLAMISME TANGKIS IMEJ MUSLIM EKSTREM

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 13 Julai 2012

Kebangkitan aliran dan gerakan Islamisme di kebanyakan negara Islam hari ini memberi kesan positif terutama dalam mengalih minda dan perhatian masyarakat dunia terhadap wajah sebenar Islam dan masyarakatnya. Lebih sedekad lalu, masyarakat Islam seluruh dunia berada dalam keadaan yang amat terhimpit sekali akibat merebaknya gejala Islamophobia. Dalam tempoh itu, imej Islam dan masyarakatnya di pandang sebagai satu nilai dan perkumpulan yang ganas dan berbahaya. Ektremisme sering disinonimkan dengan agama Islam. Sikap media antarabangsa yang gemar memberikan laporan keterlaluan terhadap pendirian dan kegiatan pergerakan yang beraliran keras dan ganas di dunia Islam memburukkan lagi agama imej Islam pada kacamata masyarakat dunia. Imej buruk yang direka-reka ini menimbulkan rasa yang cukup rimas sekali kepada masyarakat Islam terbanyak malah dalam keadaan tertentu sering diburu oleh bayang ketakutannya.

Mutakhir ini, masyarakat Islam sudah mula boleh menarik nafas lega dan membuang perasaan terkurung dan rimas ketakutan yang ditanggung itu. Media antarabangsa nampaknya tidak lagi memberi tumpuan kepada kegiatan dan pendirian yang bercorak ganas dan keras oleh sesetengah pergerakan di dunia Islam. Nampaknya dunia Barat mula sedar iaitu ektremisme bukan mewakili realiti sebenar Islam dan masyarakatnya. Ia rupanya suatu nilai yang dianut oleh setengah kelompok kecil dari kalangan masyarakat Islam sahaja dan mereka boleh dikatakan sebagai golongan terpesong dalam memahami erti dan makna Islam yang sebenar.

Kebangkitan Islamisme dan pergerakannya dalam pelbagai bidang kehidupan terutama di arena politik kini sedang menjadi sumber berita dan perhatian baru masyarakat Barat dan media mereka. Peranan golongan Islamis bersama-sama rakyat terbanyak menjatuhkan pemerintahan autokratik di Timur Tengah sejak lebih setahun yang lalu menyumbang kepada kelahiran dimensi baru tentang realiti Islam kepada masyarakat dunia. Malah, kemenangan parti-parti yang ditaja oleh golongan Islamis menerusi saluran pilihanraya yang bersih membuka mata dan menjelaskan kepada dunia tentang sikap masyarakat Islam yang sebenarnya bersifat demokratik. Ini secara langsung menangkis dakyah sebelum ini yang sering memomokan masyarakat Islam sebagai golongan yang anti kebebasan dan kemodenann. Perubahan politik di rantau Arab ini secara langsung membuktikan iaitu nilai-nilai hidup moden seperti amalan demokrasi bukan suatu yang asing dalam kehidupan masyarakat Islam malah akan menghormatinya selagimana ia tidak mencabar prinsip dan pegangan agama dan nilai asas kerohanian mereka.

Peralihan tanggapan berfikir secara positif terhadap Islam mula dikesan dari beberapa kenyaatan para pemimpin Barat terhadap kemenangan parti-parti berhaluan Islam di beberapa negara Arab baru-baru ini. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Amerika Syarikat yang menjelaskan kesediaan negara itu bekerjasama dengan calon dan parti yang beraliran Islam yang dipilih oleh rakyat di rantau Arab mengesahkan peralihan sikap ini. Ia menjelaskan iaitu pola keislaman yang berkembang di dunia Islam hari ini ialah suatu citra baru dan ia berbeza dengan imej ekstrem yang berkembang sebelumnya. Untuk itu, Islamisme ialah realiti baru yang harus didepani secara terbuka oleh Barat demi menjadi kepentingan mereka di dunia Islam secara jangka panjang.

Sikap ini harus dialukan oleh dunia Islam kerana ia amat berbeza sekali terutama ketika Amerika Syarikat menggerakkan projek yang dikenali ‘Tata Baru Dunia’ beberapa dekad lalu. Pendekatan mereka dalam mendepani realiti Islamisme ialah menerusi konflik dan pemusuhan. Kuasa besar lebih yakin menaja pemimpin tertentu walaupun bersifat kuku besi bagi mempertahan kepentingan mereka di dunia Islam dari memberikan peluang demokratik kepada pergerakan Islamis berkembang dan tumbuh. Nampaknya pendekatan sedemikian bukan lagi pilihan terbaik dalam era globalisasi hari ini. Peralihan dasar dan sikap kuasa besar terhadap Islamisme amat jelas kini. Mereka nampaknya memperakui iaitu konflik dan permusuhan mendepani Islamisme bukan sahaja bertentangan dengan nilai kebebasan dan demokrasi yang diwar-warkan, malah bakal menimbulkan sikap benci masyarakat dunia terhadap mereka secara berterusan.

Peralihan sikap positif ini bukan sekadar pengiktrifan malah akan memberi kesan sejarah dan ketamadunan jangka panjang. Sikap baru ini boleh dibaca sebagai isyarat kesediaan kuasa besar untuk bekerjasama secara terhormat dengan pergerakan Islam dalam segala urusan yang melibatkan kepentingan bersama. Kesediaan ini beerti pergerakan Islam diiktiraf sebagai rakan dialog Barat yang aktif pada masa depan bagi menangani pelbagai persoalan kehidupan dan ketamadunan dunia semasa. Ruang dialog dan kerjasama ini secara langsung satu peluang terbaik khususnya kepada pergerakan Islam  dalam mengukuhkan lagi pandangan dan citra positif masyarakat dunia terhadap wajah sebenar Islam yang secara hakikatnya amat progresif dan cintakan kedamaian.

This entry was posted in Dakwah, Dialog Peradaban, Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s