WACANA PASCA-ISLAMISME SEDANG BERKEMBANG

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 5 Julai 2012

Pasca-Islamisme ialah satu istilah yang dibangunkan oleh para peneliti dunia pemikiran bagi merujuk kepada suatu fenomena berfikir baru yang sedang berkembang dalam kehidupan masyarakat Islam hari ini. Pemikiran pasca-Islamisme ini dijangka akan mewarnai corak berfikir masyarakat Islam dalam beberapa tempoh mendatang. Kita wajar mendekati perkembangan corak pemikiranini dari semasa ke semasa kerana wacananya bukan sahaja menarik malah ia akan memberikan kesan tersendiri terhadap rentak perhubungan geo-politik dunia terutama antara Islam dan Barat.

Mendekati wacana pasca-Islamisme menuntut kita untuk memahami istilah ‘Islamisme’ terlebih dahulu. Dalam perbincangan lalu,kita menjelaskan iaitu Islamisme ialah satu bentuk aliran atau jenama pemikiran bagi merujuk kepada himpunan fenomena berfikir yang berkembang dalam masyarakat Islam bermula di awal abad ke 20. Kelahirannya didorong oleh semangat yang dikenali sebagai islah (pembaikan)  dan tajdid (pembaharuan) dalam kehidupan masyarakat Islam. Asas dorongan ini ialah kerana masyarakat Islamsedang didepani realiti kemerosotan ketamadunannya. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan. Untuk itu, usaha perubahan harus digerakkan. Usaha menjayakan perubahan ini digerakkanoleh pelbagai harakah Islamiyyah atau pergerakan Islamyang tumbuh di dunia Islam. Pergerakan Islam ini dikenali dalam teks kesarjanaan di Barat sebagai perkumpulan politik Islam. Pelbagai kegiatan bercorak perubahan telah dijayakan oleh pergerakan-pergerakan ini meliputi dua pendekatanutama iaitu pertama, pengukuhan jatidiri keagamaan menerusi penghayatan kembali teks-teks warisan Islam dan kedua, mengkritik pemikiran dan kebudayaan yang dikembangkan oleh ketamadunan Eropah di dunia Islam.

Kegiatan islah dan tajdid ini berkembang pesat dan mendapat dokongan tersendiri sebahagian besar masyarakat. Wacana perubahannya memberi penekanan tentang prinsip keimanan, kegemilangan sejarah lampau dan peranan Muslim di pentas sejarah. Dorongan pemikiran dalam wacan aini tertumpu kepada usaha membezakan antara prinsip Islam dan anti-Islam membabitkan segala persoalan kehidupan dan ketamadunan. Idea dan nilai yang lahir diluar rahim keagamaan dibezakan secara jelas dengan prinsip Islam dan menyeru masyarakat untuk berhati-hati mendekatinya seperti persoalan tentang nasionalisme, demokrasi, pluralisme dan hak asasi. Reaksi, sikap dan pendirian golongan Islamis ini terhadap pelbagai realiti pemikiran dan kebudayaan yang berkembang dalam masyarakatnya telah mendorong kelahiran fenomena berfikir yang kita kenali kini sebagai wacana Islamisme.

Latar belakang wacana Islamisme dan pergerakannya ini penting difahami terlebih dahulu kerana perbincangan tentang wacana pasca-Islamisme tidak dapat lari dari kerangka yang dibina oleh wacana Islamisme itu sendiri. Dalam kata lain, pasca-Islamisme sebagai sebuah aliran berfikir bukan satu aliran yang terasing dari Islamisme. Ia ada suatu aliran yang bersambung atau terbit dari Islamisme itu sendiri. Oleh itu, pasca-Islamisme difahami sebagai satu bentuk aliran berfikir yang menghimpunkan corak dan gaya baru pemikiran golongan Islamis atau pergerakan politik Islam dari segi sikap, pendirian dan kefahaman mereka terhadap realiti baru dunia hari ini.

Kenapakah para sarjana harus membangunkan istilah baru pasca-Islamisme ini sedangkan ia terbit dari wacana Islamisme itu sendiri? Ini kerana didapati wacana yang dikembangkan oleh golongan Islamis sejak beberapa waktu mutakhir ini mempunyai kelainannya yang tersendiri dengan wacana Islamisme sebelum ini. Sekiranya dahulu, pendekatan Islamisme tertumpu kepada langkah membezakan antara Islam dan anti-Islam atau membina tembok pemisah antara Islam dan Barat, namun sejak akhir-akhir ini, nada yang bercorak pemisahan dan pertembungan didapati mula reda. Berbanding konflik, tokoh-tokoh Islamis mula mewacanakan idea tentang dialog bagi mencari titik kesalingan dan keserasian antara prinsip Islam dan nilai atau realiti asing yang terbit samad adari sumber ketamadunan Barat atau Timur yang berkembang dalam persekitaran peradaban Islam. Pendekatan dialog, toleransi dan terbuka menjadi antara ciri terpenting dalam wacana pasca-Islamisme.

Dalam kata lain, pasca-Islamisme ialah rujukan kepada suatu pola berfikir baru yang berkembang dalam alam berfikir golongan Islamis semasa yang berusaha mencari titik temu yang saling serasi dan sesuai antara ketamadunan Islam dan moden dalam pelbagai persoalan kehidupan, politik dan ketamadunan hari ini. Oleh kerana itu, kita akan mendapati nanti sikap dan pendirian yang semakin positif beberapa tokoh Islamis semasa yang berpengaruh tentang isu seperti demokrasi, kebebasan individu dan pluralisme yang sebelum ini dilihat secara asing. Sikap dan pendirian baru ini adalah satu anjakan pemikiran yang amat bebeza dengan pola wacana Islamisme sebelum ini.

Kita juga boleh memahami pasca-Islamisme sebagai satu bentuk ijtihad baru kelompok Islamis tentang pelbagai persoalan kehidupan Muslim terutama yang berhubung dengan urusan politik, kenegaraan dan ketamadunan semasa. Ia adalah satu gerakan berfikir atau daya usaha intelektual bagi memastikan umat Islam dapat menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yangsedang berlaku di persekitaran dunia seterusnya memanafaatkannya demi kemajuan masyarakat peradaban Islam di pentas sejarah.

This entry was posted in Dialog Peradaban, Gerakan Islam, Institusi Islam, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s