KEMENANGAN MORSI BERI KEYAKINAN BARU TERHADAP GERAKAN ISLAM

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 29 Jun 2012

Kemenangan Dr Mohammed Morsi sebagai PresidenMesir yang baru memberi banyak erti terutama sekali terhadap masa depan gerakan beraliran Islam di dunia moden hari ini.  Sepanjang lebih seratus tahun yang lalu, perkembangan berfikir di dunia Islam bersifat rencam. Ia bersifat demikian kerana dalam tempoh tersebut, masyarakat Islam secara umum boleh dikatakan berada dalam persimpangan dilema. Antara dilemanya ialah ketidaktentuan dalam membuat pilihan jalan terbaik yang harus diikuti bagi menangani realiti semasa peradaban umat Islam itu sendiri yang ditakdirkan berada pada tahap terendah dari segi pencapaian ketamadunannya. Kemerosotan tamadun kesan kelemahan rohani, ilmu dan institusi masyarakat Islam telah membawa kepada kejatuhan dunia Islam kepada penguasaan ketamadunan Eropah secara berleluasa disegenap penjuru daerahnya. Masyarakat Islam dalam dilema di antara pasrah menerima model kebangunan semula peradabannya yang ditawarkan Eropah  atau protes terhadap model tersebut dengan mengemukakan langkah dan program sendiri bagi pembangunan semula peradaban Islam.

Di tengah persimpangan dilema ini, masyarakatIslam terbahagi kepada dua kumpulan dan aliran utama. Bagi yang pasrah, model perubahan Eropah ditanggap jalan terbaik kerana ia ternyata sudah terbukti sebagaimana tergambar dalam kemilau kemajuan fizikal masyarakatnya di sebelah Barat.Bagi yang protes pula, mereka memilih untuk membangunkan model sendiri danmenolak model Eropah yang dinilai pada kebanyakan aspeknya tidak menepati inspirasi sebenar sebuah masyarakat yang didambakan oleh sebuah ketamadunanyang diasaskan pada prinsip dan nilai kerohanian dan keagamaan. Sepanjang sejarah, dua arus dan aliran ini terus memilih jalan sendiri dan keduanya saling berusaha membuktikan bahawa pilihan mereka adalah terbaik. Kedua-duanya juga saling bersaing dari sudut pemikiran  dandalam keadaan lain juga mereka bertembung dalam bentuk fizikal sehingga membabitkan kerugian harta dan pengorbanan darah.

Perbincangan ini ingin memberi perhatian kepada aliran protes terhadap model ketamadunan Eropah sebagai jalan keluarkepada kemelut ketamadunan di dunia Islam. Aliran ini muncul dalam sejarah pemikiran Islam sebagai satu bentuk tindak balas terhadap penguasaan penjajahanEropah dan sekutu-sekutu mereka di dunia Islam. Atas kesedaran bahawa Islam mempunyai model sendiri tentang idea berkenaan masyarakat, negara dan tamadun, aliran ini menumpu usaha mereka dalam pelbagai bidang kehidupan membabitkan pendidikan, kebajikan dan politik berpandukan kerangka ajaran keagamaan Islam. Dalam membangunkan model sendiri,  mereka membuat penegasan semula terhadap prinsip keagamaan, mentafsir semula teks-teks keagamaan Islam agar sejajar dengan perkembangan semasa dan mengkritik model-model kehidupan yang dibangunkan di Eropah setelah didapati bersalahan dengan kerangka kefahaman agama.

Para peneliti politik dan kesarjanaan terutamadi Barat sedar tentang kewujudan arus protes ini di dunia Islam dan mula mengambil perhatian serius mengkaji perkembangan aliran ini dalam wacana ilmiah mereka. Memandangkan arus protes ini tumbuh dari semangat keagamaan Islam, para peneliti dan sarjana ini seperti bersetuju menamakan aliran inisebagai ‘Islamisme’. Penggunaan istilah ini dibuat bagi membezakan pelbagai arus berfikir yang berkembang di dunia Islam.

Dalam hubungan ini, Islamisme boleh dikatakan satu bentuk jenama yang menghimpunkan seluruh bentuk fenomena bercorak keislaman yang berkembang dalam segenap dimensi ketamadunan sosial, politik dan ekonomi yang terbit sebagai satu bentuk protes terhadap realiti ketamadunan Barat yang dikembangkan oleh penjajahan Eropah di dunia Islam. Islamisme  sebagai istilah dan jenama pemikiran kini digunapakai secara meluas dalam teks dan wacana pemikiran terutama di Barat apabila membincangkan tentang persoalan Islam dan masyarakatnya.

Para sarjana di Barat memberi minat yang mendalam terhadap realiti dan fenomena Islamisme di dunia Islam dan sikap mereka pelbagai. Di samping kedapatan mereka yang positif, sebahagian yang lain pula prejudis dan sinis. Debat tentang Islamisme dalam wacanailmiah di Barat seringkali dikaitkan dengan pergerakan dan  aliran yang bercorak ganas. Oleh kerana itu, istilah seperti ‘fundamentalis Islam’ atau ‘Islam militant’ seringkali digunapakai secara bersama bagi menjelaskan identiti Islamisme. Keadaan ini bertambah parah apabila peristiwa serangan di New York pada tahun 2009 yang dikatakan dilakukan oleh kumpulan al-Qaeda dikaitkan dengan fenomema Islamisme. Ia sering dikaitkan dengan kumpulan atau pergerakan yang bersifat anti Barat dan mendorong masyarakat kepada kehidupan yang mundur, merujuk kepada era kegelapan atau ‘DarkAges’ dalam pengalaman ketamadunan di Barat.

Namun nampaknya momokan negatif terhadap Islamisme tidak memberi kesan kepada masyarakat Islam terutamanya di rantau Timur Tengah. Ternyata rakyat Arab secara khusus mempunyai sikap dan pendirian yang berlainan terhadap aliran dan gerakan Islamisme. Pemilihan Mohammed Morsi,calon dari pergerakan Islam Ikhwan al-Muslimin yang merupakan gerakan pelopor awal kebangkitan Islamisme di dunia Islam adalah bukti terkini momokan negatif terhadap Islamisme hanya khayalan sesetengah pihak tertentu sahaja. Ia juga petunjuk jelas keyakinan rakyat terbanyak terhadap pergerakan Islam sebagai pilihanterbaik bagi mengemudi mereka ke tahap kehidupan baru yang lebih baik setelah sekian lama dihimpit kemunduran dan kongkongan penguasa bersifat kuku besi. Cabaran terbesar pergerakan Islam hari ini terutama di rantau Arab ialah mengisi keyakinan rakyat ini, seterusnya membuktikan bahawa pilihan mereka adalah tepat dan bukan lagi berada di persimpangan dilema.

This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s