DEBAT KHAIRY-RAFIZI DAN FENOMENA POLITIK BARU

Oleh Muhamad Razak Idris

Baru-baru berlangsung acara perdebatan antaraYB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi,Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung persoalan keupayaan dan kewajaran sistem pendidikan percuma di negara ini. Perdebatan antara dua tokoh politik muda ini menarik diteliti terutama kepada sesiapa yang ingin memahami persoalan tentang politikbaru.

Penganjuran acara perdebatan ini menonjolkan dua realiti asas tentang apa yang dikatakan sebagai politik baru. Pertama ialah berkenaan pendekatan ‘debat’ yang mula diterima sebagai wahana atau saluran dalam budaya politik di Malaysia. Ini suatu pencapaian penting dan petunjukyang amat asas berkenaan fenomena politik baru. Kedua ialah tentang tajuk atau persoalan yang dipilih dalam perdebatan mereka iaitu berkenaan ‘isu rakyat’semasa. Perbahasan tentang isu pendidikan secara terbuka ini merupakan petunjuk kedua menandakan politik Malaysia kini mula terbuka kepada realiti politik baru.

Walaupun pendekatan berdebat antara pemimpin politik di kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi bukan suatu yang asing, namun di negara kita, amalan sebegini dilihat masih baru. Para pemimpin politik jarang dipertemukan dalam satu acara yang disiar dan ditonton secara langsung oleh segenap lapisan masyarakat. Dalam amalan kebiasaan, para pemimpin politikdi negara kita berdebat secara rasmi di Parlimen. Manakala di waktu-waktu lain, mereka menjelaskan sikap, pendirian dan dasar parti terhadap pelbagai isu dan urusan kenegaraan melalui saluran media yang dimiliki dan dikuasai parti masing-masing. Dalam suasana ini, rakyat menilai dan memberikan komitmen terhadap keupayaan seseorang pemimpin dan parti politik berasaskan laporan yang diterima dipelbagai saluran media.

Dalam realiti politik baru, kehendak rakyat terhadap sumber maklumat dan keperluan memahami pendirian seseorang pemimpindan parti politik bertambah tinggi. Mereka tidak lagi sekadar berpuas hati dengan laporan yang diterima menerusi pelbagai saluran media massa. Rakyat seolah mengkehendaki penjelasan langsung dari para pemimpin tanpa sebarang bentuk tapisan maklumat yang ketat. Mereka ingin mendengar dan menilai sendiri segal aasas dan hujah tentang sesuatu persoalan yang berkaiatan dengan kepentingan diri mereka dari mulut para pemimpin politik secara langsung dan bukannya menerusi peranan ‘orang tengah’ yang dimainkan oleh saluran media.

Perubahan sikap rakyat ini suatu yang tidak boleh dielakkan lagi kerana ia sejajar dengan perkembangan kemodenan negara dan dunia. Memandangkan negara kita sedang beralih ke arah sebuah negara maju, tahap kamatangan dan pengentahuan rakyat juga memang jelas bertambah tinggijuga. Ini dapat dilihat pada perkembangan budaya berfikir yang bersifat kritis dan analitikal yang semakin menonjol. Kematangan berfikir baru rakyat ini memperlihatkan mereka tidak akan mudah menerima segala laporan dan maklumat yang disiarkan kecuali setelah disahkan sendiri menerusi sumber yang dikenalpasti dan diperakui boleh memberikan keyakinan kepada mereka. Mereka juga berani mempersoalkan secara terbuka dan membuat kajian sendiri terhadap sebarang bentuk dakwaan yang diberikan oleh para pemimpin mereka.

Begitulah beberapa tahap perkembangan budayaberfikir rakyat semasa hari ini dan ia adalah antara faktor yang telah mempengaruhi corak sikap dan pemikiran mereka secara langsung terhadap amalan perpolitikan dalam negara juga.

Sehubungan itu, pendekatan debat antara tokoh-tokoh politik mula mendapat perhatian yang tinggi dari kalangan rakyat sejak akhir-akhir ini. Sebagaimana dihurai, sambutan ini adalah sejajar dengan perkembangan kematangan berfikir dan kita berkeyakinan pendekatan ini akan menjadi suatu yang makin popular pada masa akan datang kerana ia ini adalah sebahagian dari unsur penting dalam perkembangan politik baru di negara kita.

Di samping aspek pendekatan, persoalan tentang tema atau kandungan perbahasan dalam wacana politik baru juga sedang mengalami perubahan. Antara ciri penting perubahan ini yang dikenalpasti dalam kajian akademik ialah peralihan wacana politik dari persoalan berkisar ideologi kepada isu-isu yang menjadi kepentingan umum. Justeru, tema wacana politik berkenaan faham kebangsaan dan keagamaan yang diungkapkan secara literal atau keterlaluan dikatakan mewakili aliran politik bercorak ‘lama’.  Wacana politik sebegini seolah tidak lagi dapat merangsang minat dan perhatian politik masyarakat terbanyak yang sedang mengalami perubahan pemikiran.

Dalam realiti politik baru, tema atau kandungan wacana politiknya kini beralih kepada persoalan atau isu-isu yang melibatkankeperluan asas dan kepentingan rakyat terbanyak. Isu pendidikan percuma yang diperdebatkanoleh Khairy dan Rafizi adalah contoh tema dalam wacana politik baru kerana ia melibatkan kepentingan rakyat terbanyak terutama generasi muda. Jelas, wacana tentang persoalan ini berjaya merangsang minat politik rakyat secara keseluruhan.

Sekiranya ditelusuri, banyak lagi isu-isu rakyat yang perlu dikupas dan dibahaskan secara terbuka oleh para pemimpin politik. Di samping pendidikan, isu-isu seperti harga rumah yang semakin tinggi, kos sara hidup akibat kenaikan harga barang yang meningkat, tahap kecekapan dan keselesaan perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan awam, peluang pekerjaan dan latihan, persoalan alam sekitar dan pencemaran serta persoalan keselamatan dan kadar jenayah adalah antara contoh persoalan-persoalan yang sedang menarik minat rakyat terbanyak hari ini. Kita yakin rakyat tidak akan teragak-agak memberikan sokongan padu kepada mana-mana pemimpin dan parti politik yang dapat memberikan jalan penyelesaian menyakinkan terhadap semua persoalan ini yang telah menjadi keprihatinan mereka sejak sekian lama.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s