TANGGUNGJAWAB SEMUA BELA NASIB RAKYAT

Oleh Muhamad Razak Idris

Para pekerja di negara kita mendapat khabar gembira sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini. Pengumuman gaji minimum oleh kerajaan sebanyak RM900.00 di Semenanjung dan RM800.00 di Sabah dan Sarawak harus dilihat sebagai salah satu dari pencapaian penting mereka. Walaupun jumlahnya boleh dikatakan masih kecil sekiranya dibandingkan dengan pertumbuhan kos hidup yang semakin tinggi hari ini, penetapan gaji minimum tersebut sekurang-kurangnya menunjukkan isu hak dan keadilan kepada pekerja terutama yang berpendapatan rendah mula mendapat perhatian semua pihak terutama pihak pemerintah.

Kita yakin, kadar ini akan terus dinilai secara berterusan sejajar dengan keadaan ekonomi semasa negara dan keupayaan para pekerja meningkatkan kualiti dan produktiviti mereka dalam pelbagai sektor pekerjaan secara berterusan. Kita mengatakan penetapan gaji minimum ini sebagai satu bentuk pencapaian dalam konteks negara ini kerana tidak banyak negara membangun yang mengamalkan sistem ekonomi pasaran bebas mempunyai keberanian yang tinggi melaksanakan dasar seumpama ini.

Kita tentu telah sedia tahu iaitu perjuangan dan tuntutan kepada pemerintah melaksanakan dasar gaji minimum ini sudah lama disuarakan oleh pertubuhan dan kesatuan sekerja. Walaupun di beberapa negara maju, perkara ini bukan suatu yang baru, malah melaksanakannya sekian lama, namun bagi negara yang sedang membangun seperti Malaysia, pemerintah amat berhati-hati kerana ia akan memberikan beberapa implikasi ekonominya yang tersendiri. Kita tentu sedia tahu, dalam sistem ekonomi yang berasaskan pasaran bebas, kegiatan dan pertumbuhan ekonomi banyak didorong oleh kekuatan modal.

Negara kita juga tidak terlepas dari terdedah dengan nilai dan amalan kapitalisme ini. Menerusi sistem ini, pertumbuhan ekonomi dalam negara tidak sahaja didorong oleh kerajaan, malah para pemodal dari dalam dan luar negara. Apabila sesebuah negara dapat menarik sebanyak mungkin modal-modal dari pelbagai sumber ini, ia secara langsung akan mendorong kegiatan ekonomi yang aktif menerusi perluasan sektor pekerjaan dan peningkatan jualan dalam pasaran. Keadaan ini merancakkan pertumbuhan dan secara langsung meningkatkan pendapatan penduduk. Bagi tujuan mendapatkan modal yang melimpah ruah ke dalam negara, sesebuah kerajaan akan menawarkan banyak insentif kepada para pelabur sebagai daya tarikan dan keyakinan mereka.

Para pelabur atau pemodal, di mana-mana juga memiliki sifat yang serupa iaitu hanya akan menanam modal di tempat atau negara yang dapat memastikan mereka akan memperoleh keuntungan yang sebanyak mungkin sebagai balasan dan pulangan dari pelaburan mereka. Begitulah tabiat ekonomi dalam sistem yang mengamalkan nilai dan amalan kapitalisme. Sebagai tindakbalas terhadap tabiat ekonomi ini, sesebuah negara akan saling bersaing bagi memperkenalkan peluang-peluang yang unik kepada pelabur bagi menjamin keyakinan terhadap pelaburan yang dicurahkan. Salah satu dari tawaran yang sering digunakan bagi tujuan ini ialah kos buruh yang rendah.

Para pemodal pula mudah terdorong untuk melabur di negara-negara yang menawarkan kos buruh yang rendah kerana ia akan memastikan jaminan keutungan berlipat kali ganda. Tabiat ekonomi bercorak kapitalisme inilah antara faktor yang menjadi punca tuntutan terhadap dasar gaji minimum yang telah sekian lama diperjuangkan ini baru kini dapat dilaksanakan. Pemerintah yang tidak memiliki keinginan politik yang tidak sanggup memperkenal dasar yang menyebabkan para pemodal hilang minat melabur dalam negaranya kerana ia boleh menjejaskan kegiatan ekonomi yang aktif.

Dari perspektif inilah, kita melihat penetapan dasar ini suatu pencapaian penting kerana negara kita nampaknya kini telah memiliki tahap keberanian tersendiri bagi melanggar tabiat ekonomi kapitalisme ini yang gemar mengutamakan kepentingan para pemodal. Justeru, perkenalan dasar gaji minimum oleh kerajaan ini suatu yang amat wajar sekali dan ia sejajar dengan perkembangan negara kita sendiri. Ia juga satu langkah penting kerajaan bagi memastikan hak pekerja berpendapatan rendah terpelihara dalam arus pembangunan negara. Dasar ini tentu secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan jurang pendapatan antara rakyat.

Kewajaran langkah ini juga ialah kerana sememangnya menjadi tangungjawab asasi setiap pemerintah memastikan golongan yang berada diparas rendah dari segi pendapatan mereka ditingkatkan secara berterusan sehingga mereka berada pada tahap yang selesa dan sederhana. Sebuah negara yang seimbang ialah yang mempunyai sedikit peratusan jumlah penduduk yang berpendapatan rendah. Selagi jumlah mereka masih tinggi dalam keadaan kemajuan negara bertambah berkembang, ia bukan suatu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi sesebuah negara.

Kita perlu menegaskan iaitu tangungjawab meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah adalah peranan semua pihak. Ia tidak hanya tertanggung kepada pihak kerajaan semata-semata, apatah lagi untuk kita mengharapkan sebahagian golongan pemodal yang hanya mementingkan keuntungan untuk membela nasib pekerja bawahan. Dalam tradisi keagamaan dan ketamadunan Islam, selain pemerintah, institusi masyarakat memainkan peranannya yang tersendiri bagi menjayakan tanggungjawab ini.

Syukur kerana dalam tradisi keagamaan Islam, perintah berzakat adalah kewajipan keagamaan. Baitulmal merupakan institusi kemasyarakatan yang penting, berfungsi membela nasib golongan bawahan yang berkemungkinan tercicir dan terpinggir dari arus kemajuan negara. Golongan fakir dan miskin, warga emas, anak-anak yatim dan golongan kurang upaya mendapat keutamaan tertinggi baitulmal kerana kerana kelemahan fizikal, peluang dan modal dalam menjalankan kehidupan. Tentu sekali, sekiranya usaha dan keprihatinan ini diusahakan secara sepadu dan berterusan oleh pemerintah dan institusi masyarakat, segenap lapisan rakyat pasti tidak akan tercicir dan dapat bersama-sama menikmati kemakmuran negara secara saksama.

This entry was posted in Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s