ASIA BARAT TUMPUAN PERCATURAN GEO-POLITIK DUNIA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 20 April 2012

Asia Barat nampaknya bakal menjadi pusat baru kepada proses perubahan geo-politik dunia pada masa akan datang. Peralihan ini suatu yang menarik diteliti.Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada kepada penonjolan peranan Asia Barat sebagai pusat baru dalam peralihan geo-politik dunia ini.

Pertama ialah sumber aslinya yang kaya. Sebagai lokasi utama dunia yang mengeluarkan ‘emashitam’ atau minyak, Asia Barat terus menjadi rebutan terutama oleh kuasa-kuasa besar dunia. Beberapa pencerobohan yang terjadi seperti di Iraq lebih sedekad lalu dahulu pada hakikatnya adalah didorong oleh faktor penguasaan sumber asli ini. Faktor ini akan terus menjadi aspek asasi kepentingan Asia Barat. Ketahanan kuasa-kuasa besar dipentas sejarah amat tergantung kepada sejauhmana mereka dapat menjamin sumber tenaga ini berterusan kekal menggerakkan ekonomi di negara masing-masing.

Selain itu, agama menjadi faktor kedua yang bakal mempengaruhi rentak geo-politik dunia akan datang. Beberapa fenomena keagamaan yang berlaku di Asia Barat mengesahkan keadaan dan pengaruh faktor ini. Antaranya ialah Revolusi Arab yang terjadi baru-baru menjadi antara petanda jelas bagaimana unsur agama terlalu berkesan dalam membentuk sikap dan tindakan masyarakat Asia Barat. Tuntutan bagi mencapai kebebasan yang dilakukan rakyat Arab tentu dipengaruhi oleh idealisme agama yang amat menjunjung kehormatan manusia selain kerana faktor tekanan hidup dan keperluan ekonomi yang terlalu menekan.

Kita yakin, sedikit masa lagi, faktor agama ini, dari segi pengaruh dan kedudukannya akan kelihatan lebih menonjol setelah Asia Barat kembali tenang dan berada dalam kehidupan pasca Revolusi. Ruang keterbukaan dan kebebasan yang bakal dimiliki masyarakatnya akan memberi peluang yang luas kepada mereka menonjolkan sikap terhadap pelbagai persoalan keduniaan secara lebih berani dan menyakinkan. Persoalan penting di sini ialah adakah kebangkitan kesedaran agama di Asia Barat ini akan membawa kepada kemunculan fenomena pertembungan baru antara agama dan ideologi di kalangan masyarakat dan peradaban manusia seterusnya menyumbang kepada percaturan barugeo-politik dunia?

Persoalan ini penting diteliti apabila kita cuba membahaskan faktor agama dalam mempengaruhi corak percaturan masyarakat dunia akan datang. Ia juga menarik kerana perbicangan tentang persoalan ini telah pun dibangkitkan menerusi tesis ‘pertembungantamadun’ yang sering dibicarakan dalam wacana kesarjanaan semasa. Dalam kata lain, adakah semakin tertonjol penghayatan keagamaan masyarakat Asia Barat, maka ia akan menjadi ancaman kepada peradaban manusia lain, seterusnya menjadi asas kepada pertembungan barumasyarakat dunia akan datang?

Dari satu perspektif, keadaan ini tidak mustahil boleh terjadi. Ini kerana dunia pernah mengalami keadaan pertembungan sedemikian dalam konteks pertembungan antara ideologi kapitalisme dan komunisme. Pertembungan ideologi ini adalah antara asas yang membawa kepada terjadinya Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union seterusnya mempengaruhi corak dan rentak geo-politik dunia pada waktu itu.

Namun,kemungkinan pertembungan ini tidak berlaku juga wujud. Ia amat tergantung kepada keadaan pemikiran tentang hubungan antara agama dan politik di Asia Barat selepas pasca Revolusi Arab. Wacana tentang tajuk ini sedang berkembang di Asia Barat dan pelbagai arus pemikiran yang bercorak keras, terbuka dansederhana sedang mengambil bahagian. Geo-politik dunia akan datang akan banyak terkait dengan bentuk dan arus pemikiran Islam yang dapat mempengaruhi pandanganumum rakyat Asia Barat.

Dalam penelitian semasa, arus pemikiran keagamaan yang sedang berkembang di Asia Barat nampaknya bersifat terbuka dan pragmatik. Sekiranya arus ini terus mendapat tempat dalam pandangan umum rakyat Arab, Asia Barat akan banyak bersikap menerima dan sederhana dalam berdepan dengan pelbagai kepentingan terutama dari kuasa-kuasa besar. Arus pemikiran ini menolak sikap permusuhan dan mula mendekati amalan dan nilai demokrasi dalam tata kenegaraan.

Namun, keadaan ini boleh sahaja berubah. Arus pemikiran keagamaan yang bersikap tegas boleh sahaja menjadi pandangan umum yang diterima sekiranya kuasa-kuasa besar dunia terus mengamalkan dasar yang prejudis dan memihak terutama dalam dasar luarnya. Dalam situasi ini, sikap dan pendirian yang keras juga akan tertonjol sebagai tindak balas terhadap sikap yang sedemikian juga. Ini tentu akan mempengaruhi corak dan rentak percaturan politik dunia akan datang.

Selain aspek agama, pengaruh dan kedudukan Iran di Asia Barat menjadi satu lagi unsur yang menyebabkan kawasan ini sebagai tumpuan dan perhatian pada masa depan. Iran kini dilihat sebagai satu ancaman kepadakepentingan kuasa besar dari segi ekonomi dan politik di Asia Barat. Oleh itu, kita perlu meneliti dengan mendalam dakwaan Iran sedang membangunkan senjata nuklear sebagai asas ia perlu dikenakan tekanan dan sekatan sekarang. Adakah gerakan bagi melemahkan Iran hanya diasaskanoleh ancaman tersebut? Atau kemungkinan kuasa-kuasa besar sudah mula menghidu akibat-akibat buruk yang bakal tertanggung terhadap kepentingannya andai Iran dibiarkan membina kekuatan sebagai paksi kuasa di Asia Barat.

Dalam perdebatan tentang percaturan politik dunia akan datang, kekuatan Iran di Asia Barat bukan suatu yang dialu-alukan. Ia bakal mengancam banyak kepentingan. Sikap permusuhannya dengan Israel dan AS jelas. Oleh itu, pengaruh Iran harus disekat lebih awal agar Asia Barat kekal terpelihara dari sebarang pengaruh yang boleh mengancam kestabilan geo-politik semasa dunia.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s