UNIVERSITI PENYELIDIKAN MERCU KECEMERLANGAN ILMU

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan Berita Harian, 13 April 2012

Institusi pengajian tinggi di negara kini sedang bersaing antara satu sama lain bagi mencapai status universiti penyelidikan. Beberapa universiti telah terpilih menjadi universiti penyelidikan sejak beberapa tahun yang lalu antaranya ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pemilihan institusi pengajian tinggi ini adalah berasaskan beberapa aspek kecemerlangan terutama dari segi penyelidikan dan pengajaran yang telah dicapai di pentas nasional dan antarabangsa sepanjang penubuhannya.

Pengenalan konsep universiti penyelidikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diasaskan kepada beberapa latar belakang yang berkembang di peringkat nasional dan global. Salah satu latar belakangnya ialah keadaan dunia semasa yang kini dibentuk oleh arus persaingan yang rancak dalam segenap aspek kehidupan. Dalam hubungan ini, institusi pengajian tinggi tidakdapat lari dan harus  berdepan dengan arus persaingan dunia sekiranya ia ingin terus relevan di masa mendatang.

Bagi berdepan dunia persaingan ini, sesebuah universiti tidakboleh lagi hanya bergantung kepada peranan tradisi yang dimainkannya. Sekiranyasebelum ini peranan universiti tertumpu dalam aspek pengajaran bagi melatih dan membangunkan anak watan untuk mengisi pembangunan negara, kini peranan ini hanya menjadi salah satu saja dari beberapa peranannya. Bagi universiti yang telah mencapai status universiti penyelidikan, peranan utamanya kini beralih kepada aspek penyelidikan di samping pada masa yang sama meneruskan peranan tradisinya di bidang pengajaran dan khidmat masyarakat. Dalam kata lain,bagi universiti yang ingin mencapai statsu universiti penyelidikan, ia harus menumpukan sekurang-kurangnya 50 peratus darisumber kekuatan yang dimilikinya bagi membangunkan bidang penyelidikan, manakala selebihnya ialah di bidang pengajaran dan khidmat masyarakat.

Apakah yang dimaksudkan dengan peranan penyelidikan? Ia boleh difahami sebagai satu kegiatan pengkajian yang dijayakan dalam segala bidang keilmuan bertujuan bagi menghasilkan inovasi di setiap bidang ilmu tersebut. Inovasi ilmu ini disebut sebagai ‘hasil penyelidikan’ yang bersifat baru dan ia dibangunkan menerusi proses aktiviti penyelidikan yang berterusan dan sistematik oleh ahli-ahli akademik di sesebuah universiti.

Persoalan selanjutnya timbul ialah mengapakah bidang penyelidikan ini penting dan apakah kaitannya dengan dunia persaingan pada hari ini?

Menjawab persoalan ini menuntut kita terlebih dahulu sedar iaitu sesebuah universiti tidak wujud secara tersendiri. Ia  berada dalam satu ekosistemnya tersendiri di mana keberadaannya saling berhubung dan berkait dengan keperluan di peringkat unsur-unsur lain dalam persekitarannya. Dalam kata lain, universiti bukan organisasi yang statik. Kerelevanan sesebuah universiti amat bergantung kepada sejauhmana ia memiliki keupayaan dan keunikan untuk menyumbang secara bermakna kepada keperluan pelbagai unsur lain yang berkembang di persekitarannya.

Dalam penelitian semasa, terdapat dua unsur yang menuntut sesebuah universiti untuk saling berhubung rapat. Unsur tersebut ialah pertama, industri dan kedua komuniti. Dua unsur ini adalah antara elemen yang akan melengkapkan kelahiran sebuah ekosistem universiti yang sihat. Dalam kata lain, hubungan padu universiti-industri-komuniti merupakan antara asas yang akan menjamin ketahanan dan kelangsungan sesebuah universiti di pentas persaingan dunia hari ini.

Bagi menjamin hubungan padu ketiga unsur ini,peranan penyelidikan menjadi amat asasi. Penyelidikan boleh ditanggap sebagai pemangkin yang akan mendorong dan menggerakan sebuah jalinan kerjasama yang sihat dalam ekosistem perhubungan yang saling berpadu antara universiti, industri dan komuniti.

Sesebuah universiti yang berupaya membangunkan hasil penyelidikan terbaik dalam pelbagai bidang ilmu tentu mengundang minat dan dorongan kerjasama yang tinggi dari pihak industri dan komuniti. Pencapaian hasil penyelidikan ini ialah jelmaan kecemerlangan sesebuah universiti dari aspek kepakaran, prarasana dan budaya kepenyelidikan akademiknya. Ia juga gambaran tentang nilai inovasi dan perubahan yang amat diperlukan dalam dunia persaingan semasa.

Status universiti penyelidikan dalam kaitan ini boleh difahami sebagai satu mercu kecemerlangan yang dicapai sesebuah universiti di pelbagai bidang akademik dan keilmuannya. Pencapaian ini ialah  suatu kelebihan yang unik dan ia menunjukkan kesediaan dan kecekapan universiti tersebut dari aspek daya saing. Pencirian ini penting kerana ia merupakan asas kepada pengukuhan keyakinan di pihak industri dan komuniti terhadap keupayaan sesebuah universiti.

Di pentas persaingan dunia kini, sifat daya saingdan keyakinan adalah ramuan yang akan menggerakkan perhubungan dan kerjasama yang berterusan antara pelbagai unsur dalam kehidupan. Dalam hubungan ini, kecemerlangan penyelidikan universiti secara langsung akan menarik minat dan keyakinan  industri untuk mengeratkan perhubungan dalam pelbagai bentuk kerjasama bersifat pelaburan kewangan dan kepakaran terutama bagi memastikan inovasi penyelidikan yang terhasil dapat dipindah manafaatnya untuk kegunaan masyarakat terbanyak. Proses yang disebut ‘knowledge transfer’ atau perpindahan ilmu adalah satu fasa kerja mencabar yang menuntut kerjasama dan jaringan pintaryang luas terutama dengan warga industri.

Pencapaian penyelidikan ini juga tentu akanmenarik minat warga komuniti.  Universiti yang mencapai mercu kecemerlangan ilmu akan menjadi tumpuan para penyelidik atauahli akademik yang berwibawa. Ia juga akan mengundang generasi pelajar terbaik dari dalam dan luar negara menyertainya seterusnya menjayakan tradisi kecemerlangan universiti dalam  bidang pembangunan ilmu demi manfaat seluruh kehidupan dan peradaban. Kecemerlangan penyelidikan ini juga adalah jaminan ketahanan dan kelangsungan sesebuah universiti di pentas persaingan pada masa kini dan akan datang.

This entry was posted in Institusi Islam, Kenegaraan, Tamadun. Bookmark the permalink.

One Response to UNIVERSITI PENYELIDIKAN MERCU KECEMERLANGAN ILMU

  1. ambe says:

    biso demo jak. ambik calon r pru 13 ni. turun ganu mari r jeram

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s