Demokrasi Liberal Dalam Persoalan

Oleh Muhamad Razak Idris

Berita Harian, I Mac 2011

Tumpuan para penganalisis politik antarabangsa sejak seminggu lalu ialah terhadap krisis kepimpinan yang berlaku dalam Parti Buruh di Australia. Dalam ‘drama’ politik tersebut, bekas Perdana Menteri, Kevin Rudd telah menyahut cabaran kepimpinan yang dibuka oleh Perdana Menteri Julia Gillard. Sebarang bentuk sahutan dan cabaran politik dalam tradisi parti Buruh menuntut ahli-ahli Parlimen mereka menentukan sikap dan memilih antara dua calon tersebut bagi mengemudi kepimpinan parti untuk tempoh seterusnya.

Sebenarnya, tradisi cabar mencabar dan pertandingan adalah sebahagian ciri asasi politik yang mengamalkan sistem demokrasi liberal. Jatuh dan bangun seorang pemimpin adalah lumrah bagi para pelaku atau pemain politik di dalam sistem politik sebegini. Politik dilihat seumpana padang permainan dan demokrasi boleh difahami sebagai peraturannya. Sekiranya dalam permainan bolasepak, tumpuan pelakunya ialah untuk memperoleh jaringan terbanyak, bagi permainan ‘politik’, mencapai kemuncak kuasa ialah cita-cita tertinggi. Kemenangan dalam permainan ini ialah pada keupayaan para pelaku-pelaku politik menjalankan kelicikan dalam mengatur strategi kejayaan.

Strategi politik ini termasuklah mewujudkan kumpulan atau ‘kem’ politik di dalam parti sendiri, mencipta senario masa depan yang tidak menentu,  membangunkan harapan baru yang lebih menyakinkan, mencipta aib dan mendedahkan kelemahan pihak yang bertentangan, kesemuanya bertujuan bagi menjustifikasi pertandingan, permusuhan dan krisis. Dalam sistem demokrasi liberal, ‘krisis’ seolah seperti ramuan bagi perubahan dan mencapai tujuan politik. Krisis pada sesuatu keadaan segaja diciptakan dan ia dijalankan oleh pelobi-pelobi politik yang bergerak di belakang tabir kepimpinan. Pelobi ini boleh diibaratkan seperti jurujual politik, menawarkan idea-idea dan calon-calon tertentu untuk dinobatkan sebagai hero baru atau menjatuhkannya di dalam sebuah pentas politik yang disusun berasaskan skrip yang terancang.

Pertembungan Rudd and Gillard secara khusus dan krisis politik yang melanda parti Buruh ialah antara manifestasi baru sistem demokrasi liberal yang dijalankan di Australia. Para peneliti politik dan ahli falsafah amat menekuni drama politik membabitkan dua tokoh ini kerana ia ada kaitan langsung dengan persoalan sejauhmana sistem demokrasi liberal merupakan sebuah model terbaik bagi menjamin kestabilan dan ketahanan politik sesebuah perkumpulan politik khusus dan negara secara keseluruhan. Apakah manipulasi politik yang membawa kepada krisis parti Buruh ini dianggap rakyat Austalia sebagai sebuah permainan seumpama mereka sedang menonton sebuah ‘opera’ klasik yang dipersembahkan secara terbuka dan percuma? Adakah rakyat Australia berasa seronok dan puas menonton opera politik ini setalah saling bertepuk tangan kegembiraan menonton kemunculan hero baru atau mangsa yang dibunuh oleh pementasannya?

Sekiranya berpandukan kepada pengutan suara atas talian yang dijalankan beberapa agensi di Autralia, ternyata rakyat Australia dalam keadaan gundah dan gelisah menonton keburukan moral dan akhlak yang terbit dan tertonjol dari sistem demokrasi liberal yang diamalkan negara mereka. Ini dapat dilihat menerusi sikap mereka yang terus memilih Rudd sebagai calon Perdana Menteri yang paling popular berbanding Gillard dan Tony Abbott, ketua pembangkang dari parti Liberal beraliran konservatif. Sikap rakyat Autralia ini boleh juga ditanggap sebagai satu bentuk protes terhadap permainan politik tidak bermoral yang dilakukan oleh kumpulan penentang Rudd dari parti Buruh yang telah menjatuhkan beliau pada Jun 2010.
Seperti sebahagian besar rakyat Australia yang lain, Rudd menganggap proses menjatuhkan beliau dan menaikkan Gillard sebagai pemimpin utama parti Buruh dan Perdana Menteri selepas beliau dilakukan secara ‘rampasan kuasa’ walaupun ialah dilakukan menurut peraturan demokrasi.

Bagi Rudd, tindakan pelobi-pelobi politik tersebut yang beliau gelarkan sebagai kumpulan yang ‘tidak berwajah’ atau faceless telah melakukan kesilapan sejarah yang mengaibkan dan tindakan tersebut adalah sebuah kesalahan akhlak yang buruk kerana ia telah mengkhianati amanah rakyat Australia yang telah memilih dan memberikan keyakinan kepada beliau untuk memimpin Australia dalam pilihanraya pada tahun 2007.

Oleh kerana itu, salah satu dari hujah beliau menyahut cabaran menentang Gillard ialah bagi membetulkan kembali kesilapan sejarah yang telah berlaku dan memberikan kembali amanah kepimpinan kepada pilihan yang telah diputuskan oleh rakyat Australia terbanyak. Beliau meminta rakan-rakan ahli parlimen memilih beliau semula bagi menjamin masa depan parti Buruh terus kekal berkuasa di dalam satu sistem politik demokrasi yang menyakinkan.

Namun, pemikiran politik yang ideal seumpana ini bukanlah sebuah ‘kuasa ajaib’ yang bersifat mukjizat yang boleh mengubah pandangan dan sikap ahli-ahli Parlimen terhadap beliau. Pemikiran ideal sebegini seolah amat asing dalam sebuah sistem politik yang dilingkari pelbagai kepentingan politik dan kuasa. Rudd akhirnya tumbang apabila majoriti ahli parlimen terus mengekalkan Gillard.

Banyak pengajaran dari krisis politik parti Buruh dan pertembungan antara Rudd dan Gillard ini. Wibawa parti Buruh kini dalam persoalan dan sedang berhempas pulas membina semula keyakinan rakyat terhadapnya. Setelah krisis ini, Rudd dan Gillard bukan lagi rakan yang akrab. Nilai dan erti persahabatan terburai. Menurut penganalis, masa depan politik Rudd telah tiba ke penghujung. Andai telahan ini betul, Australia kehilangan seorang lagi pemimpin muda dan berbakat. Seperti beberapa pemimpin berbakat sebelum ini yang telah hilang di arena kepimpinan,  Rudd ialah mangsa terbaru politik yang ‘dibunuh’ secara berperaturan oleh sistem demokrasi liberal yang menjadi pegangan dan amalan parti dan negaranya sendiri.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

One Response to Demokrasi Liberal Dalam Persoalan

  1. abahzahidinmahmood says:

    Biso adik Jak kito.Tahniah dari abah..! keep on writting…syukran..salam…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s