WAJAH TIMUR LIDAH BARAT: Permasalahan Imperialisme Linguistik

 Oleh Muhamad Razak Idris

‘Wajah Timur Lidah Barat’ ialah judul karya terbaru Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Beliau mempersembahkan kandungan karya ini kepada umum menerusi Syarahan Penabayu di UKM baru-baru ini. Karya ini memiliki kepentingannya tersendiri kerana ia merakamkan kesedaran betapa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini suatu perjuangan suci yang masih mendepani banyak cabaran terutama sekali bagi menangani permasalahan imperialisme linguistik.

 ‘Imperialisme’ ialah istilah bagi menggambarkan realiti penguasaan atau dominasi. Imperialisme boleh terjadi dalam pelbagai bidang kehidupan. Dalam bidang politik, imperialisme akan membawa kepada terjadinya penjajahan atau kolonialisme satu kumpulan masyarakat yang kuat terhadap yang lemah. Negara kita pernah menjadi sebuah tanah jajahan oleh beberapa negara dari sebelah Timur dan Barat. Imperialisme juga berlaku dalam bidang-bidang lain seperti ekonomi, sosial dan budaya. Banyak diskusi akademik dapat dirujuk tentang realiti imperialisme di bidang-bidang yang dinyatakan tersebut. Ia berlaku sejak sekian lama dan akan berterusan. Kini, terdapat perbahasan dinamakan ‘neo-imperialisme’. Ia adalah gambaran tentang keadaan keterjajahan yang terus berlaku dan wujud dalam pelbagai situasi di dunia moden hari ini.

Menurut Dr. Anwar, bidang kebahasaan di negara kita juga tidak terlepas dari dihambat oleh permasalahan imperialisme. Dalam kata lain, bahasa Melayu sebenarnya sedang berdepan dengan ancaman imperialisme linguistik atau penjajahan bahasa yang masih tidak berkesudahan walaupun negara ini telah lebih lima dekad mencapai kemerdekaan dari penjajahan negara asing. Keadaan ini adalah kebenaran yang amat pahit untuk ditelan namun itulah hakikatnya. Banyak bukti menunjukkan kedudukan dan martabat bahasa Melayu masih berada di persimpangan dilema walaupun ia adalah bahasa pertuturan majoriti rakyat negara ini malah perundangan dinobatkan sebagai bahasa rasmi negara. Namun, kedudukannya tidak sebagaimana yang dinobatkan apabila ketinggiannya ini seperti tidak dihormati malah dalam keadaan tertentu dinodai sekiranya penelitian terhadap pengamalan bahasa Melayu dalam urusan kehidupan ditelusuri.

Dalam satu penelitian, tahap penggunaan bahasa Melayu di dalam semua urusan rasmi kerajaan dalam keadaan pengucupan sejak beberapa waktu terkini. Ini mendorong Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan Perkeliling Bil. 9 Tahun 2011 bertajuk “Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam”. Perkeliling ini dari satu satu sudut ialah penegasan dan peringatan kepada para pegawai supaya mengubah tabiat dan budaya penggunaan bahasa asing lain dalam urusan harian dan kenegaraan. Pengucupan penggunaan bahasa Melayu ini bertambah parah sekiranya pengamalannya diteliti di dalam aspek pengiklanan dan papan tanda perumahan, perbankan dan kewangan, sistem pendidikan, undang-undang dan kehakiman serta media, komunikasi dan penyiaran.

Keadaan ini bertambah mendukacitakan apabila pengamalan bahasa Melayu tidak dihormati oleh sesetengah para pemimpin negara sendiri yang seharusnya menjadi tauladan dalam penggunaannya. Kita berasa amat sedih sekali setiap kali mendengar pengucapan sesetangah pimpinan menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi negara sepenuhnya walaupun diketahui khalayaknya merupakan rakyat Malaysia yang memahami bahasa Melayu.

Penodaan terhadap martabat bahasa Melayu dan sikap tidak menghormati kedudukannya di negara ini mencapai kemuncak apabila kerajaan menerusi Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 di bawah pemerintahan Perdana Menteri keempat ketika itu telah mengarahkan Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (atau dasar PPSMI) di semua sekolah. Arahan yang dilaksanakan tanpa kajian mendalam ini tidak sahaja mengharu-birukan guru-guru, para pelajar dan ibu bapa, malah ternyata telah mencabul secara terang-terangan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam pendidikan.

Inilah sebahagian dari dilema bahasa Melayu di negara kita setelah beberapa dekad mencapai kemerdekaan. Penelitian ini menunjukkan iaitu bahasa Melayu secara khusus masih berdepan dengan cengkaman penjajahan walaupun secara zahir negara kita telah pun berjaya membebaskan dirinya dari imperialisme atau penjajahan politik. Nampaknya, permasalahan imperialisme lingusitik masih bermaharaja lela. Permasalahan ini adalah cabaran berterusan dalam bidang kebahasaan di negara ini.

Cabaran ini adalah sebuah ancaman besar yang perlu didepani secara bersama sekiranya kita ingin merealisasikan cita-cita mengangkat martabat dan peranan bahasa Melayu secara lebih bermakna di negara ini. Bagaimanakah cabaran dan ancaman imperialisme linguistik ini boleh ditangani?

Menurut Dr. Anwar, ada dua langkah penting. Pertama, kita perlu terus memberikan keyakinan bahawa bahasa Melayu ialah sebuah bahasa besar dan maju sebagai telah tersurat dalam perkembangan sejarah sejarah bangsa. Hakikat telah banyak dibicarakan dan boleh dihayati dalam banyak karya. Kedua, mengenalpasti kendala linguistik atau penghambat bahasa dari kalangan kita sendiri. Langkah ini amat memeritkan namun kita tiada pilihan lain. Kendala ini perlu diawasi kerana ia ibarat ‘musuh dalam selimut’ bagi kemajuan bahasa Melayu kerana peranannya sebagai ‘talibarut’ imperialisme linguistik. Kendala ini ‘berwajah timur tetapi berlidah barat’. Dalam istilah sarjana Frantz Fanon, mereka ini ‘berkulit hitam berselindung di balik topeng-topeng berwarna putih’.

This entry was posted in Budaya, Isu Semasa, Kenegaraan, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s