REALITI POLITIK BARU DI MESIR

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada 25 Januari lalu, sebahagian besar rakyat Mesir berhimpun di Dataran Tahrir bagi menyambut setahun fasa baru peralihan negara. Tarikh tersebut menjadi sejarah kerana ia adalah satu titik waktu di mana seluruh semangat dan impian rakyat bagi membina Mesir baru yang sebelum ini terlindung telah tertonjol dan tergabung secara terbuka dan berani di sebuah medan besar di ibu kotanya. Sebagaimana sedia diketahui, gabungan semangat baru rakyat ini menuntut korban nyawa yang tinggi apabila hampir ribuan meninggal dunia.

Namun, hasil pengorbanan ini tercapai atau dalam bahasa harian disebut ‘berbaloi’ apabila pemerintahan kuku besi selama berdekad-dekad yang diamalkan oleh Presiden Hosni Mubarak berjaya digulingkan dan terkubur. Sejak setahun lalu, rakyat Mesir memulakan kehidupan politik dalam suasana baru yang dinamik. Pemerintah sementara harus mengikut arus perubahan yang dituntut rakyat. Pandangan rakyat kini menjadi ‘suara keramat’. Ia bermaksud, proses kehidupan politik baru membabitkan seluruh kepentingan dan ruang yang wujud. Suara rakyat dalam erti pemikiran, hasrat dan agenda mereka kini mewakili sebuah kepentingan baru yang perlu diambil kira secara terhormat dalam sistem pemerintahan.

Ia berbeza di zaman regim Mubarak kerana ia mengamalkan proses perubahan bermula dari atas ke bawah. Hanya pandangan pemerintah menjadi keutamaan. Dalam realiti politik baru pasca Mubarak, proses perubahan tidak lagi bersifat hiraki atau berstruktur. Malah, politik baru ini juga bukan bermaksud proses perubahan harus bermula dari bawah ke atas. Proses perubahan dalam realiti baru politik ini boleh bermula di mana-mana saja samada di bawah, di atas, di kiri atau di kanan. Ini kerana semua sudut-sudut perubahan ini berada dalam sebuah sistem yang satu dan sepadu yang saling berkait antara satu dengan yang lain.

Dalam sistem baru ini, tidak ada lagi satu-satu unsur perubahan yang lebih dominan dari yang lain kerana semuanya mendapat ruang dan kedudukannya yang tersendiri malah diktiraf di dalam satu ekosistem yang dinamik dan diyakini. Gambaran sebuah pencapaian dalam peralihan baru pemikiran dan amalan politik ini terjelma di dalam perjalanan pilihanraya yang lalu. Penelitian terhadap proses pemilihan tersebut amat ditunggu oleh para penganalisis kerana ia adalah yang pertama dilaksanakan dalam satu sistem yang terbuka dan telus. Jelas, segenap elemen dan unsur yang berkeupayaan untuk menyumbang di dalam pembentukan kuasa di Mesir diberi ruang yang saksama. Kita mendapati pelbagai aliran pemikiran politik yang bercorak kiri, kanan dan tengah tumbuh dan terlibat di dalam proses mempengaruhi rakyat dengan menawarkan cita-cita dan hasrat pemerintahannya yang tersendiri.

Rakyat telah menentukan kehendaknya dengan sedar memilih parti-parti politik yang diyakini boleh memenuhi aspirasi semasa mereka. Ternyata, tiada sebarang pertumpahan darah atau pengkhianatan dalam proses pemilihan dilaporkan. Kini terserah kepada para pimpinan politik yang terpilih pula menjalankan proses rundingan bagi memenuhi segala kehendak dan keperluan semasa di dalam sebuah permainan politik tersendiri di negara tersebut. Apa juga bentuk dan corak permainan politik yang dijalankan oleh pelaku-pelaku politik bukanlah menjadi kepentingan khusus kita kerana ia memerlukan penelitian yang terperinci. Namun yang harus menjadi iktibar tentulah tentang kepentingan sebuah sistem yang absah, berwibawa dan dihormati yang dibangunkan secara tulus pasti menjamin dan mendorong sebuah proses perubahan yang segar dan dinamik dalam sesebuah negara.

Kisah peralihan politik di Mesir harus didekati secara berterusan oleh kita di negara ini. Ada banyak kepentingan tersendiri dari realiti sejarah baru yang sedang terjadi di negara ini dan beberapa negara lagi di Timur Tengah sekarang. Dari sudut akademik, fenomena kebangkitan rakyat Mesir dan beberapa negara Arab tersebut mula dibahaskan dengan rancak kini kerana ia mewakili sebuah realiti dalam perbincangan berkaitan citra ‘politik baru’ di dunia Islam. Sekiranya ditelusuri secara mendalam nanti, kita akan diperlihatkan tentang pelbagai arus berfikir dan keyakinan nilai yang sedang berkembang dan saling bertembung dalam satu proses yang agak panjang sedang berlangung di celah-celah fenomena kebangkitan tersebut.

Diskusi tentang realiti politik baru ini suatu yang menarik dan perbincanganya nanti akan membawa kita memahami peranan pelbagai pergerakan agama dan budaya di negara-negara terbabit. Kepentingan lanjut tentang realiti kebangkitan rakyat Mesir ini juga merujuk kepada pengaruhnya nanti kepada masyarakat di Alam Melayu secara khusus dari aspek pemikiran, budaya dan nilai. Ini kerana hubungan Alam Melayu dan Timur Tengah telah berlangsung berabad-abad. Interaksi kependidikan berterusan hingga ke hari ini dan Kaherah masih merupakan pusat atau ‘lubuk’ keilmuan penting dalam dunia Islam semasa.

Dari segi naluri dan emosi juga, hubungan yang akrab antara Alam Melayu dan Timur Tengah bertambah intim sebagaimana tergambar dalam fenomena berpakaian terutama fesyen wanita Islam. Suasana intim kian terserlah apabila sejak akhir-akhir ini minat masyarakat Melayu terhadap masakan ala Arab luar biasa. Restoran Nasi Arab tumbuh ibarat cendawan. Bagaimana pula pengaruh pemikiran politik barunya?

This entry was posted in Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s