MISI PEMBAIKAN PERADABAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Sambutan Maulidul Rasul pada tahun ini meriah dan mengesankan. Kita harus memberikan perghargaan dan pujian kepada semua pihak yang menyumbang buah fikiran dan usaha bagi mengenang hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Peranan media cetak dan elektronik dalam hal ini amat besar sekali terutama di dalam membangkitkan dan mengukuhkan rasa kasih dan cinta kepada keperibadian dan misi kenabian Rasulullah di muka bumi menerusi pelbagai bentuk hebahan dan pengisisan program.

Perkara utama sekali yang harus kita hargai di dalam menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad ialah berkenaan tentang misi pengutusan baginda ke muka bumi ini. Misi ini tertumpu di dalam tema yang disebut sebagai ‘islah dan tajdid’. Islah bererti pembaikan dan tajdid bermaksud pembaharuan. Dalam hubungan ini, menjayakan islah dan tajdid atau usaha pembaikan dan pembaharuan ialah misi utama dan terpenting pengutusan Nabi Muhammad.

Apakah yang ingin diperbaiki dan diperbaharui oleh baginda Rasulullah? Ia adalah peradaban manusia. Sekiranya kita menelusuri sejarah kemanusiaan pada ketika pengutusan Nabi Muhammad, keadaan peradaan manusia berada dalam keadaan yang lemah dan tidak menentu. Seorang ilmuwan Islam, Sayyid Abu Hassan Ali An-Nadwi pernah merakamkan keadaan peradaban manusia yang begitu lemah sebelum dan pada ketika pengutusan Nabi Muhammad di dalam bebeberapa karyanya. Dalam tulisannya yang diterjemahkan iaitu “Apakah kerugian dunia dengan kemunduran masyarakat Muslimin’, Sayyid Abu Hassan menelusuri realiti sejarah kerajaan besar Rom, Parsi, India dan Cina pada waktu itu dan mendapati di sebalik kemegahan dari segi pencapaian tamadun kebendaan yang dimiliki mereka, ternyata dari sudut tamadun kerohanian masyarakatnya berada di dalam keadaan yang amat mundur dan merosot sekali.

Dalam kata lain, keadaan peradaban manusia pada ketika pengutusan Nabi Muhammad boleh disimpulkan berada dalam keadaan yang ‘tempang’.  Di sebalik kemegahan bangunan dan kekuatan bala ketenteraan kerajaan-kerajaan besar ini, ia tidak dapat memenuhi tuntutan sebuah peradaban yang sempurna apabila wujud pencerobohan yang berleluasa terhadap hak-hak golongan miskin dan daif oleh penguasa-penguasa yang zalim manakala masyarakat wanita tidak berada pada darjat yang sepatutnya melainkan sebagai objek keseronokan. Pada ketika itu, struktur sosial ditadbir berasaskan sistem puak atau kabilah dan mereka berada di dalam hierarki yang tersendiri. Sistem yang bercorak kasta membataskan perhubungan kemanusiaan dan menjadikan sebahagian antara mereka kelompok dan rendah dan tinggi dari segi kemulian dan darjat kehidupan. Inilah sebahagian dari realiti peradaban yang tempang yang menjadi suatu fenomena ketamadunan pada ketika pengutusan Nabi Muhammad.

Timbul persoalan pula iaitu mengapakah keadaan ini boleh terjadi? Dalam kefahaman berasas pandangan Sayyid Abu Hassan, ia terjadi akibat dari kemerosotan dan kemunduran agama dan gerakannya. Pada sebelum pengutusan Nabi Muhammad, agama-agama besar Yahudi dan Nasrani dilihat berada di dalam keadaan tidak berpotensi untuk menjadi satu arus dan sumber yang boleh membentuk dan memimpin kebangunan sebuah peradaban yang sempurna. Peristiwa-peristiwa dalam sejarah keagamaan ini yang membawa kepada kemerosotan gerakan keagamaan mereka harus ditekuni pada diskusi terperinci nanti. Penekanan penting di sini ialah kemerosotan tersebut menyebabkan peradaban manusia terbina tanpa asas dan pedoman kerohanian yang kukuh dan menjadikannya tempang atau tidak seimbang lagi.

Apabila Nabi Muhammad diutuskan , baginda harus berdepan dan menangani realiti kemunduran peradaban manusia ini yang juga tergambar jelas dalam realiti kehidupan masyarakat di Semenanjung Arab, tempat kelahiran baginda. Dalam catatan sejarah, fenomena peradaban yang tempang di kalangan masyarakat Arab waktu ini dirakam dalam pelbagai peristiwa seperti merebaknya pemujaan manusia kepada patung-patung yang tidak bernyawa, permusuhan dan kebencian sesama manusia akibat dari perbezaan darjat dan kemuliaan diri dan puak, hak kanak-kanak. wanita dan golongan miskin yang terabai serta kezaliman para penguasa tanpa belas kasihan terhadap golongan penentang kepentingan mereka dari segi politik dan ekonomi.

Berasaskan latar peradaban manusia yang tempang ini, misi terpenting kerasulan Nabi Muhammad bermula. Berpandukan risalah agama Islam yang syumul, ia menjadi panduan dan pedoman yang kukuh tentang idea sebuah peradaban manusia yang  harus dibangunkan. Peradaban baru yang ingin dibangunkan oleh Nabi Muhammad berasaskan prinsip rabbaniah dan insaniyyah dalam pengertiannya yang menyeluruh. Prinsip rabbaniah menekankan aspek kesatuan dan kesepaduan  berteraskan kefahaman falsafah Tauhid yang dipandu oleh rasa ketaatan menyeluruh kepada Ilahi sebagai sumber utama segala penciptaan. Prinsip insaniyyah pula menekankan kepentingan agenda pembangunan sebuah kehidupan yang saksama dan adil kepada seluruh kemanusian sebagai makluk yang setaraf di sisi Allah sebagai Pencipta. Inilah antara dua asas kerohanian bagi pembangunan peradaban baru yang syumul.

Sesungguhnya misi pembangunan peradaban syumul ini ialah inti dari risalah kerasulah Nabi Muhammad. Ia boleh difahami sebagai satu tawaran baru terhadap peradaban yang tempang yang sedang dilalui oleh masyarakat dunia pada waktu itu. Misi ini ialah sebuah agenda dan perjuangan yang bersifat ‘alami atau sejagat yang perlu diteruskan pada hari ini. Selaku Muslim, misi islah dan tajdid ini kini diwarisi kepada kita semua untuk menjayakannya.

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Dakwah, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s