MEMBUDAYAKAN WASATIYYAH

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada 17 hingga 19 Januari 2012 akan datang akan berlangsung satu persidangan antarabangsa tentang Gerakan Kesederhanaan Global di ibu negara. Persidangan ini bertemakan Ke Arah Keamanan yang Kekal dan Adil dianjurkan oleh Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa. Ia dinaungi oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Penganjuran persidangan ini harus diuar-uarkan kerana ia mempunyai beberapa kepentingan tersendiri. Pertama, usaha mempromosikan pemikiran kesederhanaan menurut perspektif agama Islam adalah suatu tuntutan. Ini kerana, salah satu dari ciri utama agama Islam ialah ajarannya yang menganjurkan kepada kehidupan yang bersifat seimbang atau ‘wasatiyyah’.

Seseorang yang bersifat seimbang dipandu oleh nilai hidup yang bercorak sederhana. Individu yang seimbang tidak melampau dan tidak pula terlalu tertutup di dalam pemikiran dan amalannya terutama di dalam mendepani dan memberi tindakbalas terhadap perubahan yang terjadi di dalam persekitaran. Pemikiran dan amalan mereka didorong oleh ajaran agama Islam yang bersifat benar, adil dan sederhana sepanjang masa. Dalam hubungan ini, kesederhanaan ialah antara prinsip dan nilai utama ajaran agama Islam. Untuk itu, ia harus dihayati dan dibudayakan di dalam segenap aspek kehidupan manusia di seluruh dunia ini.

Nilai luhur ini bukan hanya khusus untuk diamalkan oleh penganut agama Islam sahaja. Ia adalah nilai hidup yang harus menjadi teras akhlak dan moral oleh seluruh kemanusiaan sejagat. Ia juga sejajar dengan kefahaman tentang agama Islam sebagai sebuah rahmat bagi seluruh alam –rahmatan lil ‘alamin. Kepentingan kedua usaha mempromosikan prinsip dan nilai kesederhanaan ini dapat dilihat dari sudut pemikiran dakwah masa kini.

Dalam era moden hari ini, usaha dakwah berdepan dengan pelbagai cabaran yang bersifat dalaman dan luaran. Pada masa kini, cabaran terbesar dakwah ialah bagi menangani salah faham terhadap agama Islam oleh sesetengah masyarakat di dunia. Salah faham ini telah membawa kepada munculnya satu perspekif yang negatif dan prejudis terhadap penganut ajaran agama Islam.

Sebagaimana banyak dilaporkan oleh akhbar, kedapatan sebahagian besar masyarakat dunia yang berasa curiga terhadap kandungan ajaran al-Quran. Mereka menganggap sumber rujukan asasi kehidupan orang-orang Islam ini mengandungi ajaran yang tidak sesuai dengan kehidupan dunia moden semasa. Sebahagian yang lain pula menuduh ajaran al-Quran mendorong penganutnya melakukan kegiatan yang bercorak ganas dan membenci penganut agama lain.

Mereka juga pada tahap tertentu meremeh-remehkan ajaran agama Islam sebagai suatu yang kolot atau ketinggalan zaman. Salah faham terhadap ajaran agama Islam juga menyebabkan sebahagian dari masyarakat dunia memandang Nabi Muhammad SAW bukan seorang rasul yang harus dicontohi. Oleh kerana itu, kita telah didedahkan dengan pelbagai peristiwa dan tindakan memburuk-burukkan perwatakan Nabi Muhammad menerusi tulisan dan lakaran.

Di samping itu, beberapa pengamalan hidup orang Muslim seperti berpakaian secara menutup aurat dilihat sebagai amalan yang mengongkong kebebasan. Sikap curiga juga tergambar pada perbuatan mengintip kegiatan penganut agama Islam di pusat-pusat kegiatan Islam di beberapa negara di Amerika Syarikat dan Eropah. Sikap prejudis dan curiga ini dirujuk sebagai dalam diskusi semasa sebagai ‘Islamophobia’. Ia suatu fenomena yang terbit hasil dari sikap melampau dan pemikiran tertutup oleh sesetengah masyarakat dunia hari ini terhadap realiti sebenar agama Islam.

Keadaan ini antara lain berpunca dari ketidakupayaan mereka memahami Islam secara objektif dan rasional. Perasaan curiga dan pemikiran yang serong telah membentuk pandangan negatif terhadap agama dan penganut agama Islam sehingga berleluasanya fenomena Islamophobia di dunia hari ini. Sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab, kita harus menyumbang dan terlibat di dalam usaha membetulkan salah faham terhadap ajaran agama Islam ini. Ini adalah tanggongjawab dakwah terbesar dan utama pada masa kini. Dalam hubungan ini kita merasakan usaha mempromosikan pemikiran kesederhanaan tepat pada masanya.

Masyakat dunia harus diberikan perspektif yang lebih murni dan benar tentang keluhuran ajaran Islam sebagai satu agama yang menjunjung kemuliaan kemanusiaan sejagat dan membina sebuah kesejahteraan yang kekal dan adil. Cita-cita luhur akan dapat dicapai menerusi penghayatan prinsip dan nilai hidup yang bersifat sederhana dan seimbang sebagai dianjurkan ajaran agama Islam yang terkandung prinsip kebenaran dan penuh keadilan. Bagi penganut agama Islam, kita harus menjadikan pemikiran kesederhanaan sebagai suatu nilai luhur yang dihayati sepenuhnya dalam kehidupan. Ini bererti, kita harus membudayakan pemikiran dan amalan yang diasaskan secara objektif dan rasional. Kita harus mengelakkan diri dari dipandu oleh sikap yang melampau serta emosional kerana ia suatu cara hidup yang bertentangan dengan prinsip dan nilai kesederhanaan yang dianjurkan oleh ajaran Islam.

This entry was posted in Budaya, Dakwah, Dialog Peradaban, Kenegaraan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s