DIALOG MENANGANI KEMAJMUKAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Realiti tentang wacana peradaban dalam pemikiran Islam mula dikesan secara jelas setelah provokasi pemikiran berkaitan tentang idea tentang tamadun dan masa depannya dicetuskan oleh beberapa sarjana dari Barat. Karya Francis Fukuyama tentang ‘Berakhirnya Sejarah dan Manusia Menuju Pengakhiran’ dan Samuel Huntington ‘Pertembungan Tamadun’ telah menjadi antara teks wacana peradaban yang amat diberi tumpuan. Dari cetusan dan provokasi inilah, pemikiran Islam mula menyedari keperluan untuknya menyumbang di dalam wacana peradaban dunia dan tidak hanya menyerahkan kepada kesarjanaan dari Barat untuk mempengaruhi kandungannya.

Setelah kesedaran itulah kita telah dapati tindakbalas pemikiran dari kesarjanaan Islam tumbuh dengan jelas. Muhammad Khatami, seorang sarjana dan pemimpin politik dari Iran dirujuk sebagai salah seorang dari ramai sarjana Islam yang memulakan tindakbalas pemikiran terhadap provokasi peradaban dari kesarjanaan Barat tersebut secara lantang dengan mengemukakan idea tentang dialog antara tamadun. Beberapa konsep Islam tentang idea berkaitan perhubungan antara sesama manusia yang bersifat rencam dan pelbagai dibangunkan oleh Muhammad Khatami sebagai satu bentuk tawaran baru pemikiran kepada masyarakat dunia. Pemikiran iaitu kemajmukan ialah realiti yang telah ditentukan oleh Tuhan dan keharmonian hidup manusia boleh dicapai sekiranya mereka mengamalkan ‘ta’aruf’ atau berkenal-kenalan dan saling memahami antara satu dengan lain telah menjadi asas kepada idea dialog antara tamadun yang dibangunkan oleh Muhammad Khatami.

Wacana tentang dialog peradaban menarik kerana ia mempunyai latarbelakang pemikiran yang tersendiri. Dialog peradaban sebagai sebuah proses boleh difahami juga sebagai sebuah idea dan model tentang perubahan yang boleh digarap dari tradisi pemikiran keagamaan Islam. Dalam kata lain, proses perubahan dalam kehidupan manusia dan peradaban ini boleh berlaku secara harmoni dan muhibbah apabila seluruh ruang kehidupan ini dibuka bagi membolehkan segenap masyarakat saling mempelajari antara satu sama lain.

Model ini tentu amat bebeza sekali dengan karangka faham yang dibangunkan dan dianuti oleh beberapa sarjana Barat yang melihat bahawa realiti kehidupan ini secara semulajadi adalah dalam keadaan pertembungan yang berterusan. Proses pertembungan samada akan dan terus berlaku dalam pelbagai ruang kehidupan membabitkan kehidupan sosial, agama dan politik. Dalam kerangka kefahaman ini, pertembungan ialah suatu lumrah semulajadi dan ia adalah sumber kepada perubahan dunia pada masa kini dan akan datang.

Tradisi berfikir yang dianuti oleh sebahagian ahli fikir dari Barat ini tergambar dalam tesis-tesis yang dikemukakan oleh sarjana Fukuyama dan Huntington yang dinyatakan diatas. Analisis Fukuyama bahawa sejarah dan kemanusiaan sedang berada ditahap pengakhiran ialah sebuah kefahaman yang dibangunkan bersandarkan kepada idea tentang perubahan yang berada pada keadaan yang progresif. Kini, pada perspektif beliau peradaban berada pada tahap pengakhiran kerana ia telah mencapai kesempurnaan dari segi idea dan amalannya sebagaimana tergambar dalam sistem pasaran bebas dan amalan demokrasi yang sedang diterima dan diamalkan oleh seluruh masyarakat dunia hari ini. Pencapaian ini adalah suatu natijah terhasil dari satu proses pertembungan yang panjang dalam perjalanan sejarah sebelum ini.

Manakala Huntington berusaha menggambarkan iaitu kesempurnaan pencapaian ketamadunan Barat ini bukan suatu yang abadi kerana potensi pertembungan akan sentiasa berterusan. Beliau membayangkan beberapa sumber pertembungan yang bakal memberi ancaman kepada pencapaian dan kesempurnaan tamadun barat hari ini antaranya berpunca dari perkembangan budaya dan agama yang sedang tumbuh dan pesat dari sebelah Timur terutamanya dari sumber peradaban Cina, India dan Islam.

Dalam konteks ini, dialog peradaban sebagai sebuah wacana suatu yang menarik untuk ditelusuri kerana ia menggandungi perspektif baru sebagai jawapan terhadap tradisi berfikir yang berkembang dan diwarisi oleh kesarjanaan dari Barat. Dalam kata lain, dialog peradaban ialah jawapan yang bersifat keislaman terhadap idea tentang perubahan dalam kehidupan ini. Dari perspektif ini, kemajmukan realiti kehidupan dan kemanusiaan tidak dilihat sebagai sumber pertembungan malah sebagai satu potensi yang boleh membawa kepada kebahagian masyarakat dunia. Untuk itu, masyarakat harus menguruskan kemajmukan dan kepelbagaian ini secara terhormat berasaskan prinsip-prinsip akhlak keagamaan.

Dialog peradaban adalah sebuah tema besar dalam wacana pemikiran Islam semasa hari ini. Aspek-aspeknya kini semakin mencapah. Kita sering terdedah dengan perbincangan berkenaan kemajmukan kaum dan bangsa manusia. Di samping realiti yang jelas ini, realiti kemajmukan juga wujud dalam bidang kepercayaan, nilai dan budaya hidup, politik dan kenegaraan. Dalam bidang pemikiran tinggi, idea-idea yang berkembang juga tumbuh dengan rencam sebagaimana tergambar dalam idea tentang perubahan yang amat rencam dari segi corak dan pola wacananya. Realiti kerencaman dan kemajmukan sudah tidak boleh dielakkan lagi. Peranan kita kini ialah untuk terus berdialog bagi memahami dan menanganinya.

This entry was posted in Dialog Peradaban, Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

One Response to DIALOG MENANGANI KEMAJMUKAN

  1. Constance says:

    Why people still use to read news papers when in this technological world everything is accessible on web?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s