AKHBAR SEBAGAI KARYA TINGGI

Oleh Muhamad Razak Idris
 
Akhbar Berita Harian kini telah boleh ditatapi di awal pagi Sabah dan Sarawak. Ini suatu berita yang mengembirakan terutama kepada para pengunjung dari Semenanjung yang juga peminat akhbar ini apabila berada di kedua negeri Malaysia Timur tersebut. Namun, apa yang lebih penting lagi di sebalik perkembangan dan pencapaian ini ialah bagaimana akhbar ini nanti akan menjadi lidah baru di dalam menyumbang ke  arah pembangunan fikrah rakyat secara lebih menyeluruh.

Sejak akhir-akhir  ini  banyak perbincangan akademik berkenaan dengan cabaran dan masa depan akhbar-akhbar yang berbentuk cetakan keras seperti Berita Harian di dalam mendepani perubahan zaman. Sebagaimana diketahui, zaman baru kini telah menghasilkan satu bentuk sumber berita yang boleh diperolehi menerusi saluran atas talian atau online. Memandangkan pertumbuhan dunia komunikasi begitu pesat sekali kini, ia telah memberikan satu saingan baru kepada akhbar berbentuk cetakan keras. Peralihan minat masyarakat di dalam memperoleh sumber berita kepada akhbar atas talian terutama di kalangan generasi muda benar-benar memberi cabaran baru terhadap industri akhbar yang bercorak tradisional. Oleh kerana itu, dalam  banyak pendapat, tahap daya tahan akhbar berbentuk cetakan keras tidak akan berkekalan lama sekiranya tidak disusuli dengan strategi dan pendekatan baru bagi menangani cabaran baru ini.

Dalam hubungan ini, kita melihat langkah akhbar Berita Harian memperluaskan sebarannya ke Sabah dan Sarawak merupakan satu strategi yang tepat. Menerusi peningkatan kapasiti teknologi penerbitan dan pengedaran, langkah ini tentu akan membantu meningkatkan jumlah jualan dan ini secara langsung akan mengukuhkan daya tahannya di pentas persaingan yang serba mencabar.
Di samping kepentingan untuk kita melihat aspek ketahanan akhbar di era keterbukaan ini, kita juga tidak harus lupa iaitu pencapaian baru akhbar Berita Harian di Sabah dan Sarawak menyumbang dan memberi kesan berganda dari aspek pembangunan sosio-budaya dan keutuhan agenda pembinaan bangsa Malaysia.

Kita harus mengakui iaitu negara kita masih di dalam proses menuju negara maju. Sebagai sebuah negara membangun, peranan akhbar terlalu asasi sebagai sumber penyebar maklumat dan lidah bagi pembangunan fikrah. Akhbar dalam hubungan ini ialah sebuah wahana yang berperanan mengasah dan membentuk kerangka berfikir seluruh rakyat ke arah satu cita-cita yang sama-sama disepakati. Gagasan dan agenda bagi membina dan membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu dan teguh harus dihayati seluruh rakyat samada di Semenajung atau di Sabah dan Sarawak.

Dalam hubungan inilah, peranan akhbar sebagai lidah pembina fikrah rakyat amat penting. Kita harus mengakui juga bahawa, walaupun tahap perkembangan teknologi maklumat semakin berkembang di negara ini, namun tidak semua rakyat berpeluang dan berkeupayaan untuk mencapai sumber berita menerusi saluran atas talian. Bagi masyarakat yang berada di luar bandar, kebanyakan mereka masih bergantung kepada sumber maklumat yang disebarkan oleh akhbar-akhbar cetakan keras. Keupayaan sesebuah akhbar menyebarkan seluas mungkin pengedarannya ke setiap desa dan pendalaman adalah suatu yang pasti dihargai oleh setiap lapisan rakyat.

Di samping keupayaan pengedaran, ketahanan akhbar juga banyak bergantung kepada kualiti kandungannya. Sebagai pembaca, kita mempunyai banyak pilihan akhbar. Namun yang membezakan setiap akhbar ialah pada wacana ilmu yang dibahaskan oleh para penulis dan pemberita. Dalam kata lain, akhbar bukan sekadar saluran penyampaian maklumat dan berita tentang pelbagai peristiwa yang terjadi. Akhbar yang berkualiti ialah yang dapat menghidupkan wacana ilmu yang segar dan memberikan perspektif atau sudut pandang yang unik dan baru tentang pelbagai persoalan yang berlaku di dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat samada di dalam atau di luar negara.

Aspek kandungan ini suatu yang penting diberi perhatian oleh sidang pengarang dan pengusaha akhbar tempatan. Dalam kata lain juga, sesebuah akhbar harus dibangunkan kualitinya sebagai sebuah karya tinggi. Akhbar yang mencapai taraf ini tidak sekadar memaparkan pembaca berita dan maklumat yang juga disebarkan oleh akhbar-akhbar lain, namun menonjolkan sebuah garapan idea-idea bernas yang dirasakan pembaca mampu memandu mereka memahami sesuatu persoalan secara tersurat dan tersirat. Inilah antara lain yang dimaksudkan akhbar sebagai lidah pembina fikrah rakyat.

Hal ini merupakan satu aspek yang penting ditelusuri oleh para pengarang dan pengusaha akhbar. Untuk itu, strategi khusus harus dirangka. Barangkali kerjasama pintar akhbar dan institusi pengajian tinggi perlu ditingkatkan agar wacana ilmu yang sarat dengan idea dan fakta baru yang berkembang di peringkat menara gading dapat disebarkan kepada seluruh rakyat menerusi saluran akhbar tempatan dengan corak bahasa awam yang mudah.

Kita dapati peranan wartawan dan pemberita di dalam menyumbang ke arah menjadikan akhbar sebagai sebuah karya tinggi juga penting. Wartawan dalam hubungan ini bukan lagi berperanan sebagai pelapor semata-mata namun sebagai pembentuk fikrah. Setiap berita mempunyai konteksnya dan ia memerlukan penganalisaan yang menyeluruh bagi memandu fikrah rakyat memahaminya secara tepat. Bagi tujuan ini juga akhbar harus menunjukkan sikap yang jujur dan telus di dalam proses penyampaian dan pemberitaan. Akhbar yang bertaraf karya tinggi tidak akan terjebak di dalam sebarang bentuk polemik yang bersifat fitnah yang boleh mengundang perpecahan masyarakat atau mengaibkan seseorang individu.

This entry was posted in Budaya, Isu Semasa, Kenegaraan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s