GELORA DAN HARAPAN SEPANJANG TAHUN 2011

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 29 November 2011, Khamis.

Banyak kenangan manis dan pahit terjadi sepanjang setahun yang lalu di pentas negara dan antarabangsa. Di celah-celah perjalanan waktu ini juga terkandung pelbagai gelora dan harapan. Peristiwa paling manis dikenang tahun 2011 barangkali ialah perkahwinan antara pasangan di Raja Britain Putera William dan Kate Middleton.  Menurut rekod, lebih 70 juta masyarakat dunia menonton siaran langsung majlis perkahwinan mereka.

 
Manakala gegaran dan tsunami yang melanda Jepun ialah peristiwa paling pahit dan menyayat hati. Menurut rekod Agensi Polis Kebangsaan Jepun, peristiwa tersebut meragut seramai 15, 890 kematian manakala lebih 125,000 pelbagai bentuk bangunan musnah. Lebih membimbangkan ialah kerana beberapa rektor nuklear yang terletak di sekitar bandar Fukushima mengalami kebocoran dan mengancam keselamatan seluruh penduduk. Krisis ini menurut Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan adalah yang paling buruk dan mencabar dalam sepanjang 65 tahun yang perlu ditangani Jepun selepas Perang Dunia ke 2.

  
Di pentas politik pula, kebangkitan masyarakat Arab di beberapa buah negara bagi menuntut hak dan peluang kehidupan yang lebih adil adalah peristiwa yang tidak disangka sama sekali. Ia bermula di Tunisia sebelum merebak ke negara Mesir, Yamen, Libya dan Syiria. Revolusi masyarakat Arab terhadap pemerintah mereka ini ialah jelmaan gelora perasaan tersembunyi sekian lama. Kisah tentang tekanan pemerintah sesetengah negara Arab terhadap rakyatnya terutama dalam bidang politik bukanlah suatu rahsia. Keadaan tekanan ini sering menjadi tajuk perbahasan dan tulisan terutama dalam dunia akademik.

 
Namun, perbicangan tentang tajuk ini sering menjadi kelu apabila tiba kepada persoalan penyelesaian. Jelas sekali, ibarat kata pepatah, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’, hanya rakyat negara tersebut yang mengentahui jalan penyelesaian yang sesuai terhadap kemelut yang mereka tanggung. Ternyata, ‘revolusi’ ialah jawapan mereka terhadap kemelut yang sekian lama dihadapi.
Realiti kebangkitan masyarakat Arab ini walaupun perit untuk diikuti mengandungi sejuta harapan. Kini sintesis baru sedang tumbuh. Gelora yang berlalu telah menumbuhkan impian dan cita-cita masa depan yang nampaknya bertambah menyakinkan. Proses pilihanraya yang telah berlangsung di Tunisia dan Mesir baru-baru ini menunjukkan betapa masyarakat Muslim di dunia Arab ini telah mengalami suatu tahap penghayatan kematangan yang tinggi. Jelas keterbukaan dalam amalan politik mengukuhkan lagi keyakinan masyarakat terhadap kerajaan. Manakala amalan politik yang bercorak keras dan tertutup bukan lagi suatu pilihan untuk digunakan ke atas masyarakat hari ini yang sedang berada pada era keterbukaan dunia tanpa sempadan.

 
Di negara kita juga, tahun 2011 menyaksikan beberapa peristiwa yang wajar dikenang dan diambil iktibar oleh kita semua.  Baru-baru ini, seluruh rakyat negara ini menyaksikan peralihan tugas ketua negara Yang di Pertuan Agong (YDPA). Tuanku Mizan Zainal Abidin, YDPA ke 13 telah menamatkan tempoh pemerintahan baginda selama lima tahun dan diganti oleh Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai YDPA yang ke 14. Peralihan dan pergiliran yang berlaku secara tenteram dan penuh adat warisan harus dihargai dan dikenang oleh seluruh rakyat. Sesungguhnya, banyak makna tersirat dari peristiwa ini. Ternyata, ia adalah gambaran bagaimana kedudukan dan peranan institusi kesultanan Raja-Raja Melayu yang amat tinggi sebagai payung negara menyumbang sebagai paksi kesatuan dan kesalingan hidup seluruh rakyat Malaysia. Peranan penting ini harus selamanya dipertahankan tambahan lagi kerana institusi kesultanan adalah tunjang utama kelangsungan peradaban Melayu Islam sejak sekian lama.

 
Di sepanjang tahun ini juga, negara kita tidak dapat lari dari berdepan dengan gelora politik dan sosial. Memandangkan tempoh pilihanraya diwar-warkan bakal berlangsung pada tahun 2012, pelbagai isu berkaitan politik bergema dan tumbuh sepanjang 2011 yang lalu. Seperti musim-musim pilihanraya sebelumnya, Suruhanjaya Piliharaya (SPR) mendapat perhatian dan tumpuan banyak pihak. Sebagai agensi yang diamanahkan mengendalikan pilihanraya umum, seluruh pihak mempunyai harapan tersendiri terhadap institusi ini. Satu perhimpunan khusus telah dianjurkan oleh sekumpulan masyarakat sivil bagi menuntut SPR melaksanakan perubahan-perubahan tertentu berkaitan peraturan dan amalan pilihanraya. Tuntutan ini menjadi perbicangan hangat dan nampaknya mendapat perhatian khusus setelah Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan Parlimen bagi mengkajinya dengan mendalam. Apapun, semua pihak inginkan tahap amalan pilihanraya yang terbaik kerana ia adalah inti dalam sistem demokrasi. Pemilihan yang dilangsungkan secara telus dan terbuka tentu akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap apa juga keputusan yang bakal ditentukan oleh para pemilih pilihanraya akan datang.

 
Di samping aspek pilihanraya, negara kita nampaknya masih berdepan dengan beberapa peristiwa pertembungan pendapat dalam isu-isu berkaitan agama. Kes penterjemahan kitab Injil ke dalam bahasa Melayu dan berkembangnya gejala murtad di kalangan masyarakat Islam menyebabkan keadaan perhubungan antara agama sedikit terganggu dan tidak tenteram. Namun, usaha pemulihannya sedang serius dijalankan kini menerusi penubuhan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) di bawah seliaan kabinet. Agenda memupuk keharmonian hidup antara penganut agama harus menjadi keutamaan seluruh rakyat untuk tahun mendatang. Semoga tahun 2012 menjanjikan harapan hidup yang lebih muhibbah untuk seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai ruang kehidupan.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s