BERKORBAN KE ARAH KESEDERHANAAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 12 November 2011.

 
Semangat perayaan Aidiladha masih terasa. Bagi masyarakat Muslimin, pengajaran utama dari perayaan ini ialah tentang pengorbanan jiwa dan raga yang ditunjukkan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail bagi memenuhi tuntutan kehambaan dan ketaatan kepada perintah Allah taala. Baginda berdua menunjukkan kesediaan yang penuh menyempurnakan seruan dan bimbingan wahyu untuk dilaksanakan di dalam apa juga keadaan di kehidupan dunia ini.

Pengajaran dari semangat Aidiladha ini harus menjadi iktibar dan penghayatan kepada kita semua. Seluruh ajaran agama yang tersandar di dalam seruan wahyu dan petunjuk Sunnah harus dijadikan asas dan sumber bagi tujuan penghayatan di dalam aspek kefahaman, ucapan dan tindakan.


Pedoman wahyu dan sunnah terkandung banyak pengajaran dan petunjuk kepada kita.  Salah satu dari ajaran terpenting Islam ialah seruan kepada penganutnya berpegang kepada prinsip kesederhanaan di dalam segenap perlakuan hidup. Di dalam al-Quran, kesederhanaan dirujuk sebagai ‘wasatiyyah’. Hal ini tergambar di dalam surah al-Baqarah, ayat 143, di mana istilah ‘ummatan wasatan’digunakan. Istilah ini memberi gambaran tentang gambaran masyarakat Islam yang terpuji kerana memiliki watak kesederhanaan. Tahap pencapaian ini diperoleh kerana masyarakat Islam mengamalkan sifat benar dan adil dalam kehidupan mereka. Dalam hubungan inilah, Dr. Yusuf al-Qaradawi meletakkan wasatiyyah sebagai salah satu dari ciri utama agama Islam. Seseorang Muslim yang membudayakan cara hidup yang bersederhana sesungguhnya sedang menterjemahkan salah satu dari ciri agama Islam yang terpenting dalam kehidupannya.

Panduan sunnah di dalam menunjukkan tauladan akan kehidupan bersederhana sebagaimana tuntutan agama tergambar di dalam beberapa rakaman peristiwa. Di dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad saw pernah menegur seseorang yang berjanji untuk berpuasa sepanjang tahun, tidak akan berkahwin selamanya dan beribadah sepanjang waktu kerana perbuatan tersebut sebenarnya telah melanggar sunnah atau sifat dirinya sendiri sebagai seorang pesuruh Allah.

Bagi menegaskan sifat agama Islam yang bersifat sederhana, Nabi Muhammad pernah meminta seseorang untuk mengubah penampilannya yang kusut sebelum menunaikan ibadah atas asas bahawa agama menyukai watak penganutnya yang kemas dan rapi. Di dalam urusan perhubungan sosial, sifat kesederhanaan Nabi Muhammad tergambar di dalam wataknya yang amat meninggikan kehormatan dan menyanjung hubungan kemanusiaan walaupan dengan masyarakat yang bukan dari kalangan penganut agama Islam. Kisah di mana Nabi Muhammad bangun berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi yang diusung adalah antara salah satu dari tauladan yang jelas tentang sifat dan keperibadian yang berwatak sederhana berkaitan perhubungan hidup antara agama. 

 
Sesungguhnya, sifat dan ciri kesederhanaan sebagai salah satu dari ajaran terpenting agama Islam ini harus menjadi salah satu dari kayu ukur atau neraca perjuangan dakwah di negara ini. Dalam kata lain, cita-cita bagi melahirkan sebuah masyarakat yang berciri sederhana merupakan salah satu dari agenda  perjuangan seluruh anggota masyarakat di negara ini. Untuk itu, kita semua hendaklah meningkatkan tahap pengorbanan diri ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang berbudaya sederhana di dalam segala urusan kehidupan berasaskan prinsip kebenaran dan keadilan yang dipandu oleh ajaran Islam yang murni.

Tuntutan untuk kita meningkatkan penghayatan terhadap ciri dan nilai kesederhanaan ini menjadi amat mendesak sekali pada hari ini. Hal ini kerana masyarakat kita kini sedang hidup di satu zaman baru yang sering kita namakan sebagai era masyarakat terbuka. Di era ini kita terdedah dengan pelbagai arus dan aliran pemikiran dan nilai kehidupan yang pada keadaan-keadaan tertentu terasa begitu asing sekali sekiranya ia dibandingkan dengan jatidiri kemelayuan dan keislaman yang diwarisi oleh majoriti masyarakat di negara ini sejak zaman-berzaman.

Sejak beberapa tempoh kebelakangan ini, ciri dan nilai kesederhanaan yang menjadi prinsip keagamaan dan watak masyarakat kita sedang tercabar. Beberapa arus dan aliran yang bersifat keterlaluan atau melampau seolah kini mula merebak dan menjadi amalan dalam kehidupan sebahagian warga masyarakat kita. Arus dan aliran yang bercorak keterlaluan ini telah mula muncul secara terbuka dan semakin jelas sebagaimana tergambar di dalam beberapa perlakuan awam ditunjukkan oleh sesetengah perkumpulan masyarakat sivil di negara ini.

 
Di samping kita perlu sentiasa memperingatkan masyarakat kita agar tidak terjebak dengan kegiatan yang bercorak keterlaluan membangkitkan persoalan berkaitan agama dan kaum sehingga mengguris hati masyarakat majmuk di negara ini, pada masa yang sama juga, kita harus berjaga-jaga dan lebih berwaspada terhadap kemunculan kegiatan yang memperjuangkan fahaman dan aliran yang bercorak liberal secara melampau seperti dalam isu berkaitan hak asasi dan kesamarataan sehingga melanggari secara jelas batas susila masyarakat beragama sejak zaman berzaman.

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Dakwah, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s