5 formula Nik Anuar atasi konflik selatan Thai

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 10 November 2011

PROFESOR Emeritus Datuk Dr Nik Anuar Nik Mahmud sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 28 Oktober 2010 lalu sempat meninggalkan ‘formula’ bagaimana konflik di Selatan Thailand atau Pattani harus ditangani dan diselesaikan oleh kerajaan Thailand. Formula penyelesaian Nik Anuar ini dibukukan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Bagi menghargai sumbangan pemikiran beliau terhadap masyarakat dan negara, satu majlis Syarahan Kenangan Nik Anuar dilangsungkan ATMA baru-baru ini yang disampaikan Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.

Ternyata, Nik Anuar sebagai seorang ilmuwan dalam bidang sejarah harus dikenang terutama oleh generasi muda negara ini. Sumbangan dan ketekunan beliau dalam bidang ilmu pengetahuan terutama bidang sejarah Malaysia dan isu persempadanan seperti pembabitan beliau dalam kumpulan penyelidikan isu tuntutan bertindih Pulau Ligitan dan Sipadan serta Pulau Batu Putih. Satu daripada sumbangan pemikiran Nik Anuar yang penting ialah dalam sejarah Siam atau Thailand. Penumpuan beliau dalam kajian ini membawa Nik Anuar menelusuri penuh teliti punca konflik melanda Selatan Thailand yang sehingga kini belum berkesudahan.

Dalam bukunya, Mencari Perdamaian di Asia Tenggara, Merungkai Konflik di Selatan Thailand, Nik Anuar menjelaskan kegagalan penyelesaian konflik itu berpunca daripada ‘keengganan kerajaan Thailand melihat masalah di tiga wilayah itu dari perspektif sejarah’. Beliau menambah sejarah sudah membuktikan ibu segala masalah di wilayah itu ialah apabila Pattani dikecualikan daripada perjanjian Bangkok 1909.

Untuk makluman, pada perjanjian Bangkok 1909, hanya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis saja diserahkan kepada Britain, manakala Pattani yang juga antara wilayah penting kerajaan Melayu-Islam ketika itu kekal sebagai sebahagian tanah jajahan Siam. Keadaan ini terpaksa dilakukan demi kepentingan Britain di Asia Tenggara iaitu bagi memastikan Siam tidak menjemput kuasa luar lain menguasai Tanah Besar Asia Tenggara. Dalam kata lain, Pattani adalah taruhan bagi menjaga hati Siam walaupun diketahui bahawa ia salah sebuah kerajaan Melayu-Islam yang penting ketika itu.

Pengekalan Pattani sebagai tanah jajahan Siam memburukkan keadaan dan mengukuhkan gerakan penentangan terhadap kerajaan Siam yang sebenarnya sudah wujud sejak negeri itu ditakluki Siam pada 1786. Sepanjang sejarahnya, Siam sudah menjayakan banyak langkah bagi mengukuhkan penguasaannya di Pattani. Menurut Nik Anuar, antara langkah kontroversi ialah pengenalan sistem Thesaphiban iaitu satu kaedah pentadbiran di mana pentadbiran wilayah dikumpulkan dan ditadbir seorang pesuruhjaya. Menerusi sistem ini, autonomi atau kedaulatan pemerintahan Raja Pattani mula terhakis.

Keadaan ini menjadi lebih parah lagi apabila pemerintah Siam memperkenalkan dasar Thai Rathaniyom atau program asimilasi budaya dan adat Thai secara paksaan. Dasar ini ternyata mendorong kebangkitan perjuangan rakyat Pattani. Mereka mula berasakan jati diri mereka telah diceroboh dan masa depan ketamadunan mereka bakal runtuh menerusi dasar paksaan kebudayaan. Beberapa nama pejuang awal Pattani ialah antaranya Haji Mat Pauh, Tuan Guru Haji Bermin atau Haji Wan Ahmad bin Wan Idris, Haji Hasan dan Haji Abdullah Embung bangkit bagi menghalang usaha penjajahan secara kebudayaan ini.

Inilah sebahagian kutipan ringkas penjelasan Nik Anuar mengenai sejarah konflik dan perjuangan rakyat Pattani bagi mempertahankan maruah dan jati dirinya. Sehingga saat ini, perjuangan ini belum tamat. Ia menjadi lebih rumit lagi sejak berlakunya peristiwa berdarah di masjid Krisek dan pembunuhan di Tabal pada 2004.

Bagi Nik Anuar, konflik di Selatan Thailand ini boleh diselesaikan menerusi formula berikut: Kerajaan Thailand perlu mempertimbangkan kemungkinan mewujudkan satu bentuk Pentadbiran Istimewa di wilayah majoriti Melayu. Pentadbiran ini akan diurus oleh penduduk tempatan dalam kerangka negara Thailand. Kerajaan Thailand perlu menerima hakikat akan keunikan orang Melayu. Mereka mesti diberi kebebasan untuk mengamalkan adat resam dan kebudayaan mereka. Kerajaan Thailand perlu mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi wilayah berkenaan, manakala agama Islam diberi keistimewaan khusus. Hubungan antara wilayah istimewa dengan kerajaan Pusat perlu berasaskan kerangka federalisme. Wilayah istimewa perlu diberi hak yang adil ke atas hasil kekayaan ekonomi yang dimiliki. Pejuang perlu meletak senjata dan menyertai rancangan penempatan atau demobilisasi. Pelaksanaan perjanjian ini mesti dipantau oleh badan antarabangsa bagi memastikan kejayaannya. Begitulah lima formula penyelesaian konflik Selatan Thailand menurut Nik Anuar. Bagi beliau, keamanan di Selatan Thailand harus diberi perhatian kerana ia akan menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat Asia Tenggara secara keseluruhannya.

Bagi Nik Anuar, inilah formula terbaik dan ia boleh dijayakan sekiranya kerajaan Thailand ikhlas bagi menamatkan konflik yang melanda sejak sekian lama. Begitulah sumbangan ahli ilmuwan kepada masyarakat. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara ini. Kita perlu melahirkan lebih ramai tokoh ilmuwan seumpama Nik Anuar. Ahli ilmuwan ibarat pelita penyuluh kegelapan. Dalam syarahan yang diberikan, Prof Dr Abdullah menggelarkan Nik Anuar sebagai ‘Sejarawan Dalam Kenangan’.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

7 Responses to 5 formula Nik Anuar atasi konflik selatan Thai

  1. insan says:

    ..terima kasih atas info yg diberikan…

  2. callybambang says:

    Kehidupan di dunia harus ada pengorbanan untuk menjaga keamanan sesama manusia. Sejarah adalah sesuatu yang berharga untuk dijaga malah sangat berharga untuk dituntut oleh bangsa atau kaum yang menghargai sejarah kaum dan bangsanya. Namun begitu ada masa dan ketika sesuatu kaum dan bangsa itu terpaksa mengorbankan sejarah untuk mengelakkan berlaku konflik sesama manusia kerana pada zaman sekarang kaum dan bangsa di dunia harus berkongsi kehidupan dan terpaksa mengakui kehidupan bercampur pelbagai kaum dan bangsa untuk kesinambungan keamanan seluruh dunia. Terdapat banyak contoh kejadian berdarah yang berlaku apabila ada kaum yang bertegas menuntut hak keatas sejarah kaum dan bangsanya. Kita ambil contoh kaum Yahudi yang yang begitu patriotik terhadap sejarah kaum Yahudi. Sekiranya kita membenarkan dan mempercayai sejarah maka memang benar kaum Yahudi berhak menuntut hak sejarahnya di bumi Israel. Tetapi, bukankah sepatutnya kaum dan bangsa Yahudi boleh berkongsi tanah, langit, udara, seisi alam dan kehidupan dengan kaum dan bangsa lain? Terdapat juga contoh dimana kaum dan bangsa tidak ekstrimis dalam soal hak keatas sejarah kaum dan bangsanya seperti yang berlaku di Turki. Sejarah mengetahui asal usul keujudan negara Turki yang melalui penaklukan perang yang berasaskan penyebaran agama Islam. Melalui penaklukan telah berlaku perubahan senario sosial kehidupan, agama dan politik terhadap kaum asal dalam negara itu termasuk penjenamaan semula negara. Disatu pihak ianya menjadi kebanggaan manakala di pihak yang lain ianya satu keadaan yang mereka terpaksa mengenepikan sejarah kaum dan bangsanya demi untuk perkongsian kedamaian dan kesejahteraan sesama manusia. Berbalik kepada konflik di selatan Thailand yang merujuk kepada sejarah tahun 1909, bukankah lebihkurang sama dengan sejarah Sabah semasa penubuhan Malaysia? Dan kita tahu bahawa di Sabah masih ada pihak yang tidak berpuashati dengan ketelusan perlaksanaan yang terkandung dalam perjanjian 20 PERKARA. Pun begitu secara majoriti di Sabah berpendapat bahawa keharmonian, keamanan dan kesejahteraan antara kaum lebih penting daripada menuntut hak yang tertulis dalam sejarah silam dan paling penting adalah melakar sejarah masa depan yang menjamin kehidupan generasi masa depan.

  3. anakPatani says:

    Satu perbandingan yang tidak tepat dan tidak adil, sabah dan sarawak diberi hak yang cukup untuk mentadbir diri sendiri, tetapi di Patani tidak sedemikian, orang Patani sama dengan saudara-saudara mereka di Malaysia dan di lain-lain negara, satu bangsa yang mudah bertolak ansur, mereka memegang senjata kerana identiti mereka mau dihapuskan dan sejarah meraka diketepikan, punca masalah sekarang ialah Kerajaan Thai, kalau mereka melayan orang Patani seperti kerajaan Malaysia melayani Sabah dan Sarawak dan semua kaum di Malaysia dengan sama rata, masalah di Patani akan selesai.
    – Alfaatihah untuk almarhum Prof. Nik Anuar.
    – 5 FORMOLA TERSEBUT ADALAH SATU-SATUNYA PENAWAR YANG MUJARAB
    – Kalau anda orang Melayu sila guna Patani bukan Pattani

    • callybambang says:

      Apabila anda melihat perbandingan dari sudut tafsiran dan sentimen sendiri maka anda melihat bahawa perbandingan yang telah saya kemukakan tidak tepat dan tidak adil. Kita rujuk secara khusus masyarakat Kristian di Sabah. Adakah benar telah berlaku keadilan dalam mentadbir hak sebagai penganut Kristian? Kita buat perbandingan perkara berikut;

      a. Di Thailand masyarakat Islam lebih dihormati sehingga kerajaan mengujudkan portfolio Jabatan Hal Ehwal Agama Islam sedangkan Thailand adalah negara bukan Islam

      Masyarakat Kristian di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak tidak diberi penghormatan sedemikian malah akan dicop sebagai tidak menghormati Perlembagaan Negara sekiranya meminta kerajaan menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Agama Kristian, malah akan dikatakan sebagai mencabar kedaulatan Melayu dan Islam.

      b. Di Thailand Kitab Al-Quran bebas untuk diedarkan kepada penganut Islam.

      Di Malaysia pengedaran Kitab Injil tidak dibenarkan secara bebas dan terpaksa melalui sekatan Kementerian Dalam Negeri dan untuk makluman anda beribu naskah Kitab Injil yang sepatutnya sampai kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak masih belum mendapat kebenaran kerajaan untuk diedarkan kepada Gereja.

      c. Penganut Islam di Thailand boleh mengamalkan kehidupan sebagai Islam, masih boleh membina masjid dan surau malah masih boleh menyebarkan ajaran agama Islam tanpa dikenakan tindakan anti murtad atau tindakan undang-undang kerana mempengaruhi orang bukan Islam untuk memeluk Islam.

      Di Malaysia juga penganut Kristian masih boleh menjalankan kehidupan sebagai orang Kristian, masih boleh mendirikan Gereja tetapi seringkali ditekan dan dikenakan ancaman undang-undang anti murtad. Sering dipersalahkan bila ada kejadian murtad di kalangan orang Islam. Institusi Gereja dipersalahkan malah Gereja juga diserbu.

    • callybambang says:

      Isu pemberontakan masyarakat Islam di Patani sebenarnya lebih kepada isu agama dan bukan isu pentabiran kerajaan. Isu ini sama seperti konflik pemberontakan masyarakat Islam di Aceh Indonesia. Perbandingan yang saya kemukakan bukan dari segi hak mentadbir kerajaan dan negeri tetapi lebih kepada keadilan membabitkan isu agama. Dan inilah yang saya maksudkan mengenai pendirian majoriti orang Kristian di Sabah dan Sarawak yang lebih mengutamakan keharmonian dan perkongsian keamanan berbanding tuntutan-tuntutan isu agama yang hanya menimbulkan ketegangan. Kesederhanaan seumpama itu sangat penting kerana tidak ada gunanya semua orang mengaku warak tentang agama tetapi pada masa yang sama mahu mengangkat martabat peperangan sebagai satu perjuangan.

  4. callybambang says:

    Kejadian bantahan Salib di Taman Medan adalah satu gambaran kepada pergolakan antara Islam dan Kristian yang sedang berlaku di seluruh dunia dan hampir kesemua pergolakan yang berlaku adalah berpunca dari penganut islam itu sendiri.

    Bayangkan, sekiranya institusi gereja bertahan untuk tidak menurunkan Salib tersebut, sudah tentunya penganut islam yang membantah akan melakukan tindakan ganas dan kebinatangan seperti mereka lakukan beberapa tahun lalu dimana puluhan Gereja dibakar di semenanjung.

    Ini adalah gambaran tentang apa yang berlaku di selatan Thai dan selatan Filipina. Begitu juga di Aceh satu ketika dulu.

    Mereka sering nengambil kesucian islam sebagai alasan untuk melakukan kekerasan, keganasan termasuk membunuh dengan mengikrarkannya atas nama Tuhan.

    Mungkin mereka tidak sedar atau sengaja tidak sedar bahawa apabila mereka mengatakan perbuatan tidak bermoral yang mereka lakukan adalah atas izin Tuhan sebenarnya mereka merendahkan Tuhan dengan menyamakan Tuhan seperti manusia yang mempunyai sifat yang tidak baik. Malah mereka juga nerendahkan Tuhan setaraf dengan binatang yang mempunyai keinginan untuk membunuh.
    Tetapi dalam masa yang sama mereka pula mengatakan golongan islam yang percaya bahawa Allah duduk di singahsana telah menghina Allah kerana menjisimkan Allah.

    Secara logik, yang mana lebih berat penghinaan kepada Allah? Adakah lebih berat kesalahan mempercayai Allah duduk di singahsana atau percaya bahawa membunuh orang bukan islam itu diizinkan Tuhan?

    Hanya orang gila tidak dapat membezakan mana buruk dan baik.

    Apabila ada ulama mengatakan bahawa wanita islam yang tidak memakai tudung sebenarnya tidak berdosa, ramai pula mengkritik ulama tersebut sebagai kafir. Walhal ulama tersebut bukannya melarang wanita islam bertudung.

    Melihat kepada gambar wanita islam yang melakukan jihad seks di kem pengganas IS, kesemua mereka memakai tudung, lalu apakah kedudukan mereka dari sudut hukum agama islam?

    Berbalik kepada konflik yang berlaku sekarang, apa benar perjuangan mereka untuk menegakkan kesucian islam?

    Kalau ya, apakah bentuk islam yang ditegakkan melalui keganasan dan pembunuhan?

    Keluhuran dan kemuliaan hatibudi seorang manusia bukan merujuk parasrupa dan susuk tubuh yang cantik melainkan tingkahlaku yang sopan dan mulia. Begitu juga dengan agama, kebenaran satu-satu agama merujuk kepada keindahan tingkahlaku umatnya sesama manusiau tanpa mengira umatnya makan nasi lemak atau KFC.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s