Menanti Penubuhan Dewan Pentadbiran Islam

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 27 Okt 2011, Khamis
 
Ekosistem pembangunan Islam di Malaysia bertambah kukuh hasil dari penganjuran Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia baru-baru ini. Kongres julung kali ini berjaya menghimpunkan hampir seluruh lapisan warga termasuk Raja-Raja Melayu, ulama dan cendekiawan, para pemimpin politik dan masyarakat, media dan kakitangan awam.

Bagi sesetengah masyarakat, kedapatan mereka melihat penganjuran kongres tersebut tidak lebih dari perhimpunan biasa yang sering diadakan oleh pelbagai agensi dan sektor awam. Namun, hakikatnya tidak sedemikian sekiranya ia dipandang dari sudut pemikiran. Kongres ini ialah sebuah manifestasi penting yang menandakan bermulanya satu titik tolak penghayatan falsafah kesepaduan dan faham keseluruhan dalam pemikiran pembangunan Islam di Malaysia. Penghayatan ini juga dililihat sebagai sebuah jelmaan kematangan baru tahap kesedaran para pemimpin dan pentadbir agama di negara ini untuk melihat kecemerlangannya pada masa depan. Tahap penghayatan dan kematangan baru ini ialah satu pencapaian penting dalam konteks menyumbang secara bermakna kepada proses pengukuhan ekosistem pembangunan Islam di Malaysia secara keseluruhan.


Dalam teori pemikiran, sesuatu realiti wujud di dalam satu ekosistem yang kompleks dan dinamik. Agama sebagai suatu realiti juga tidak terlepas dari rukun kewujudan ini. Dalam kata lain, agama dalam sesebuah masyarakat wujud dan berkembang sejajar dengan realiti ekosistemnya.

Di negara kita, pentadbiran agama Islam berada di dalam satu ekosistemnya yang unik. Ekosistem ini terbentuk kesan dari pelbagai faktor. Aspek sejarah penjajahan negara banyak mempengaruhi bentuk dan rentak ekosistemnya selama ini. Realitinya, ekosistem pentadbiran dan pengurusan agama Islam di Malaysia berada dalam keadaan terpecah dalam tempoh yang agak lama. Di dalam ekosistem ini, setiap negeri di Malaysia mempunyai struktur kuasanya yang tersendiri terhadap urusan pentadbiran hal ehwal keagamaan.

Keadaan ekosistem ini mempunyai nilai baik dan buruknya. Struktur kuasa pentadbiran yang bersifat autonomi ini dalam keadaan tertentu adalah positif kerana ia memberi kebebasan yang luas kepada pembangunan Islam di setiap negeri berkembang dan tumbuh. Namun, wujud kelemahan juga dari struktur pentadbiran yang terpecah ini. Antara kesannya, tahap pertumbuhan pembangunan Islam tidak berlaku secara serata di antara negeri-negeri. Di samping itu, kedapatan keadaan di mana berlaku perselisihan pendapat dan amalan dalam hal ehwal keagamaan terutama di dalam aspek perundangan atau hukum hakam. Dalam kata lain, struktur pemecahan ini di samping mempunyai kebaikan, namun dalam masa yang sama, sekiranya tiada keseragaman yang jelas, ia boleh membantut pertumbuhan Islam secara menyeluruh.  Pada keadan tertentu juga, realiti ini merugikan terutama dari segi pemanfaatan sumber daya di mana pada bidang-bidang tertentu barangkali berlaku pertindihan peranan dan fungsi. 

 
Dalam konteks inilah, penelitian kita terhadap penganjuran kongres yang lalu menjadi amat menarik.  Ini kerana, kongres menunjukkan suatu sikap keterbukaan yang jelas terutama dari segi kesediaan fikiran bagi mengatasi halangan keterpecahan struktur kuasa yang  bersifat tersendiri yang kini menjadi amalan dalam ekosistem pentadbiran agama Islam di Malaysia.
Berasaskan kepada kertas-kertas kerja yang disampaikan serta beberapa resolusi yang dihasikan, ia menyerlahkan suatu keadaan kesedaran baru dan kematangan berfikir dari kalangan para perancang pembangunan Islam yang seumpama memperakui iaitu proses pembangunan Islam di Malaysia akan menjadi lebih  segar dan rancak sekiranya wujud suatu kesatuan pandangan dan amalan dalan pentadabiran dan pengurusannya. Dalam kata lain, kemajuan pembangunan Islam di negara ini akan lebih subur sekiranya satu bentuk ekosistem baru dari segi pentadbiran dan pengurusannya dibangunkan berasaskan falsafah kesepaduan dan faham keseluruhan.Ia bermaksud, kepelbagaian struktur kuasa dan keberagaman tumpuan dan agenda pembangunan Islam di setiap negeri hendaklah digembeling secara sepadu di dalam satu ekosistem yang bersifat dinamik dan menyeluruh.

Ekosistem baru yang sepadu dan menyeluruh ini tidak bermakna bahawa setiap struktur kuasa yang sedia ada harus dihapuskan. Falsafah kesepaduan dan faham keseluruhan mengimpikan suatu ekosistem pentadbiran keagamaan yang bersifat kesatuan dalam kepelbagaian. Dalam kata lain, struktur pemecahan kuasa pentadbiran agama setiap negeri wajar dipertahankan namun dari segi pertumbuhan ia harus seiring dengan satu perancangan, agenda dan keutamaan pembangunan Islam di peringkat nasional yang telah disepakati bersama.

Sehubungan dengan inilah, kita harus mengalu-alukan salah satu resolusi di kongres tersebut yang mencadangkan penubuhan sebuah dewan pentadbiran Islam di bawah naugan Majlis Raja-Raja. Resolusi ini pada pandangan saya harus diberi keutamaan untuk dilaksanakan. Ini kerana kita yakin, menerusi satu sistem pentadbiran berpusat, ia akan menyumbang di dalam merangka agenda pembangunan Islam yang bersifat sepadu dan menyeluruh di peringkat kebangsaan untuk fasa-fasa pembangunannya dalam tempoh jangka panjang dan pendek. Dewan ini nanti sudah tentu akan menjadi satu paksi baru ke arah pengukuhan ekosistem pembangunan Islam yang lebih rancak dan segar.

This entry was posted in Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s