PERSIAPKAN MINDA HADAPI MUSIM PILIHANRAYA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 21 oktober 2011

Bajet 2011 telah dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 14 Oktober yang lalu. Bajet pada tahun ini mengundang banyak tumpuan dari pelbagai pihak. Ia juga mendorong pelbagai tafsiran menarik. Bagi kebanyakan rakyat, bajet menjadi tumpuan kerana mereka menunggu pengumuman apakah ‘durian runtuh’ yang bakal diterima pada kali ini. Memang banyak berita baik yang diumumkan menerusi bajet tahun ini. Sektor pendidikan terus mendapat keutamaan dengan peruntukan lebih RM 50 bilion. Manakala sektor kebajikan juga mendapat perhatian. Banyak imbuhan diperoleh warga tua, orang kurang upaya, suri rumah dan kanak-kanak.

Namun, bagi penganalisis politik, tumpuan mereka pada perkara yang lain. Dalam banyak laporan media dan reaksi yang diikuti, para penganalisis mengibaratkan pembentangan bajet kali ini ibarat ‘paluan gendang’ bermulanya kempen bagi musim pilihanraya umum ke 13. Dalam kata lain, tarikh bagi musim pemilihan para perwakilan baru ke Dewan Rakyat atau Parlimen semakin hampir. Pembentangan bajet yang lalu seharusnya memberi petunjuk kepada seluruh rakyat untuk mula bersedia mempersiapkan minda dan emosi bagi menghadapi pilihanraya baru.

Sebagai rakyat, ada beberapa persiapan minda yang perlu dilakukan. Pertama, kita harus terlebih dahulu memahami iaitu pilihanraya ialah satu amalan penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem politik berasaskan demokrasi. Negara kita sejak kemerdekaannya telah memilih sistem politik ini sebagai salah satu amalan utama dalam pemerintahan.

Apakah sifat utama amalan ini dan apakah kepentingannya kepada kita sebagai rakyat? Salah satu sifat utamanya ialah penegasan tentang konsep kekuasaan yang disandarkan kepada rakyat sesebuah negara. Dalam kata lain, rakyat menjadi sumber bagi terbentuknya sebuah kuasa pemerintahan dalam negara. Perspektif ini menjelaskan iaitu setiap individu rakyat memiliki satu unit kuasanya yang tersendiri. Apabila setiap unit kuasa rakyat ini digabungkan di dalam satu jumlah yang ramai atau majoriti, maka gabungan kuasa ini menjadi asas atau sandaran kepada pembentukan satu kuasa pemerintahan yang diperakukan bagi sesebuah negara.

Di sini jelas menunjukkan kepentingan pilihanraya kepada kita sebagai rakyat. Pilihanraya boleh difahami sebagai satu proses penterjemahan unit-unit kuasa yang dimiliki oleh setiap individu rakyat. Menerusi amalan demokrasi, unit kuasa yang dimiliki adalah hak mutlak setiap individu rakyat. Ia tidak boleh sama sekali diganggu, dimanipulasi atau dibeli oleh sesiapa sahaja. Ini kerana dalam sistem politik berasaskan demokrasi, rakyat adalah sumber kuasa pemerintahan. Jatuh dan bangunya sesebuah kuasa pemerintahan ditentukan oleh unit-unit kuasa yang dimiliki oleh setiap rakyat.

Kefahaman akan kepentingan pilihanraya dan hubungannya dengan rakyat adalah asas dalam konteks persiapan minda bagi mendepaninya. Persiapan minda kedua yang harus dimiliki setiap rakyat ialah menghargai kuasa yang dimiliki tersebut untuk dimanafaatkan sebaiknya demi kepentingan bangsa dan negara secara menyeluruh dan jangka panjang. Persiapan minda ini memerlukan setiap rakyat menjayakan langkah-langkah tertentu.

Antara langkah utama dan penting ialah tuntutan kepada seluruh rakyat untuk meningkatkan kepekaan yang tinggi terhadap diskusi isu-isu politik semasa yang berkembang dengan amat meriah sejak akhir-akhir ini. Sebagaimana kita tahu, kegiatan politik dijayakan oleh ramai pelaku-pelakunya. Dalam banyak perbicangan akademik, pelaku politik sering dipecahkan kepada dua bentuk. Pertama, pelaku politik yang menggunakan saluran parti. Di negara kita terdapat pelbagai parti-parti politik dan ia dipecahkan kepada kumpulan kerajaan dan pembangkang. Kedua kumpulan ini nampaknya sejak akhir-akhir ini semakin aktif menggerakkan kegiatan politik menerusi pelbagai acara dan kegiatan. Mereka juga saling bersaing bagi menawarkan suatu pemikiran politik yang paling terbaik untuk dijadikan pilihan kepada rakyat apabila tiba musim pilihanraya nanti.

Pelaku politik kedua ialah terdiri dari perkumpulan masyarakat sivil. Dalam istilah akademik, mereka ini mewakili perkumpulan politik budaya. Kita tentu sering mendengar laporan di media-media tentang pelbagai kegiatan dan program yang dianjurkan oleh perkumpulan politik ini seperti desakan dan perhimpunan bagi meminta pihak bertanggungjawab mengatasi kelemahan atau meningkatkan kecekapan dalam pelbagai aspek pentadbiran dan pemerintahan.

Bagi pelaku politik budaya, mereka menyakini iaitu urusan kekuasan dan pemerintahan dalam sesebuah negara tidak harus diserahkan kepada golongan ahli politik sahaja. Seluruh warga rakyat yang tidak terlibat di dalam pergerakan parti politik juga mempunyai hak dan ruang yang diiktiraf oleh undang-undang untuk menentukan arah dan landasan pembangunan negara. Pada masa ini, kita dapati tahap kegiatan politik budaya di negara kita bertambah tinggi. Ini dapat dilihat menerusi pertumbuhan pelbagai perkumpulan masyarakat sivil dan kerancakan mereka mengemukakan pandangan dan tuntutan di dalam pelbagai isu dan persoalan.

Tentu kita harus menggalakkan pertumbuhan pelbagai kumpulan masyarakat sivil ini. Kehadiran mereka bergandingan dengan parti-parti politik tidak sahaja memeriahkan pentas politik tanahair, malah menyumbang dengan amat bermakna di dalam meningkatkan kefahaman rakyat tentang pelbagai persoalan politik yang berkembang pada hari ini.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Puisi. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s