Dua pola pemikiran baru warnai wacana politik Malaysia

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 29.9. 2011, Khamis 

SELURUH masyarakat di negara ini perlu memahami wacana politik baru yang tumbuh dan berkembang dengan pesat. Kesedaran akan realiti politik baru ini tergambar dalam beberapa inisiatif dan komitmen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada ucapan sambutan Hari Kemerdekaan dan perayaan Hari Malaysia baru-baru ini berkenaan agenda transformasi politik kerajaan.

Beberapa inisiatif transformasi yang dicadangkan seperti cadangan penggubalan baru dan penggantian beberapa akta tidak relevan dalam konteks perkembangan masyarakat dan negara seperti pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akta berkaitan kebebasan media dilihat sebagai satu bentuk pernyataan penerimaan terhadap realiti politik baru di negara ini.

Pengumuman ini jika dipandang dari sudut pemikiran adalah satu paparan sikap yang bermakna sebagai suatu titik tolak penting anjakan kesedaran dan kematangan pemikiran politik kerajaan berdepan dengan arus deras wacana politik baru di Malaysia. Dalam penelitian saya tindak balas masyarakat terhadap pengumuman ini, sambutannya pelbagai. Sebahagian jelas mengalu-alukannya terutama individu dan perkumpulan masyarakat moden kelompok kelas menengah.

Namun, kedapatan juga yang mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’. Ini kerana barangkali mereka belum mencapai tahap kepercayaan penuh terhadap kewibawaan kerajaan menunaikan janji politik berasaskan pengalaman lalu. Kita yakin sikap berwaspada ini dapat dihilangkan jika kerajaan boleh menunjuk dan menterjemahkan inisiatif dan komitmen itu secara tegas dan ikhlas dalam waktu terdekat. Hal ini penting kerana komitmen dan inisiatif transformasi politik yang diumumkan itu adalah antara langkah penting dalam konteks wacana politik baru hari ini. Langkah yang ditunjukkan menerusi inisiatif itu memberikan petunjuk kepada masyarakat sikap dan pendirian kerajaan dalam mendepani realiti baru politik Malaysia.

Ia juga menggambarkan pemikiran baru bercorak dinamik dan progresif kerajaan mengenai politik semasa. Pada masa ini, wacana politik Malaysia diwarnai beberapa pola pemikiran baru. Pola pertama ialah pertumbuhan wacana politik yang diasaskan pada arus pemodenan. Kemunculan pelbagai pertubuhan sivil dan perikatan politik menuntut amalan ketelusan dan keterbukaan dalam pelbagai aspek kehidupan bermasyarakat adalah contoh terdekat memahami realiti pola moden dalam wacana politik baru.

Arus ini menuntut pengamalan sistem demokrasi yang menyeluruh membabitkan kepentingan satu amalan kesaksamaan dalam penggunaan sumber media dan kebebasan berhimpun dan bersuara. Kegiatan politik yang didorong arus ini ialah amalan yang disertai semua peringkat masyarakat. Arus ini juga menuntut penghormatan tinggi terhadap hak asasi manusia serta memperjuangkan kesaksamaan kewarganegaraan tanpa dibatasi halangan kaum dan agama.

Pola kedua pemikiran politik yang mewarnai wacana politik Malaysia ialah arus berteraskan agama. Pengaruh pemikiran politik berasaskan Islam semakin mengakar dalam kehidupan masyarakat. Pola ini sering juga dirujuk di dalam wacana akademik sebagai ‘Islam politik’ atau political Islam. Pola pemikiran ini juga akan terus tumbuh dan berkembang kerana persoalan politik adalah sebahagian perbahasan penting ajaran agama. Malah, dari perspektif ajaran Islam, agama ialah sumber utama pembangunan pemikiran dan amalan politik. Kedua-duanya iaitu agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Ini kerana antara seruan agama terpenting ialah menuntut penganutnya memperjuangkan sistem kehidupan yang saksama, makmur dan adil untuk seluruh warga penduduknya. Semua seruan ini adalah persoalan asas dalam wacana pemikiran politik.

Oleh kerana itulah, pemikiran politik dibawa arus Islam akan terus segar mewarnai wacana politik di negara ini. Berasaskan kerangka pola pemikiran politik inilah, kita menyatakan langkah bakal dijayakan menerusi inisiatif transformasi politik yang diumumkan Perdana Menteri bertepatan landasan pertumbuhan wacana politik baru di negara ini. Kedua-kedua pola pemikiran yang menyumbang di dalam wacana politik baru ini sama ada ia dari arus pemodenan atau agama mempunyai persepakatan asas dan saling berkongsi inspirasi terutama memperjuangkan prinsip nilai yang bersifat sejagat.

Dalam hubungan inilah, wacana politik baru menolak amalan dan tindakan bersifat tekanan, ugutan dan pemaksaan menggunakan saluran perundangan khusus bagi mengekang kritikan dan menyekat kebebasan dan keterbukaan. Wacana politik baru melihat amalan pemerintahan sebegini sebagai ketinggalan dan untuk itu ia perlu diperbaharui dan diperbetulkan

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s