PERKUKUH SISTEM PENGAGIHAN ZAKAT

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian pada 27 Ogos 2011

Arus kefahaman Islam yang bertambah meluas di kalangan masyarakat Islam di negara ini sejak beberapa dekad yang lalu telah meningkatkan tahap kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab menunaikan ibadah berzakat yang juga merupakan salah satu dari rukun agama Islam. Kesedaran yang mulia ini didokong pula oleh kerancakan ekonomi negara yang terus tumbuh melahirkan ramai dari kalangan umat Islam yang berkemampuan menunaikan perintah ibadah ini. Syarikat-syarikat yang ditadbir oleh orang-orang Islam juga tidak lupa menyempurnakan ibadah berzakat.  Kesannya amat jelas sekali.  Pengumpulan wang zakat setiap tahun sentiasa berganda sehingga berjumlah ratusan juta ringgit.

Bagi menguruskan wang zakat ini, institusi pengurusan zakat telah ditubuhkan dalam bentuk lembaga atau juga dikenali sebagai Baitulmal. Ia beroperasi di bawah pengawasan Majlis Agama Islam di setiap negeri. Lembaga Zakat atau Baitulmal ini bertanggungjawab menguruskan proses kutipan zakat dan pengangihannya kepada pihak-pihak yang memerlukan menerusi pengenalan pelbagai skim bantuan. Menerusi peranan ini, sudah ramai dari kalangan masyarakat Islam mendapat manafaat langsung terutama dari kalangan fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan para musafir dan  golongan fisabillah. 


Kita berasa gembira memerhatikan banyak kemajuan yang telah dicapai oleh institusi pengurusan zakat ini terutama dari segi kecekapan proses kutipannya. Kini, dengan bantuan teknologi yang canggih, masyarakat Islam boleh menunaikan ibadah zakat menerusi mesin ATM atau sistem pesanan ringkas – SMS menggunakan telefon, di samping khidmat pembayaran di kaunter-kaunter pungutan yang terus wujud.

Di samping peningkatan aspek kecekapan kutipan zakat yang wajar dipuji, institusi pengurusan zakat di negara ini perlu juga memberi tumpuan yang tinggi ke arah peningkatan aspek pengagihannya. Hal ini penting sekali kerana ia menjadi perhatian utama kepada para penunai zakat untuk memastikan ibadah yang disempurnakan tersebut boleh dimanafaatkan secara meluas dan berkesan kepada mereka yang memerlukan. Pengagihan yang cekap akan membina keyakinan yang tinggi kepada umat Islam untuk meningkatkan penyempurnaan ibadah berzakat pada masa-masa seterusnya dengan lebih komited.

Untuk itulah, kita merasakan salah satu dari pendekatan penting bagi meningkatkan kecekapan pengagihan zakat ialah menerusi pengukuhan usahasama pintar institusi pengurusan zakat dengan pelbagai pihak terutama dengan  institusi masyarakat madani dan badan-badan bukan kerajaan.

Dalam pemerhatian kita, terdapat empat aspek penting yang perlu diberi tumpuan oleh institusi pengurusan zakat ke arah pengukuhan kecekapan pengagihan. Kempat aspek ini akan dapat dijayakan dengan lebih berkesan dan meluas sekiranya ia dijayakan menerusi pendekatan usahasama pintar. 

Aspek-aspek tersebut ialah pertama penghebahan. Aspek ini adalah terlalu asas. Maklumat tentang institusi pengurusan zakat dari segi alamat, nama pegawai, nombor perhubungan, syarat-syarat kelayakan, skim-skim yang diperkenalkan dan manual permohonan serta tempoh kelulusan hendaklah diketahui oleh masyarakat terbanyak. Penghebahan maklumat lemah akan menutup ruang kepada masyarakat yang memerlukan mendapatkan bantuan dalam keadaan mereka memerlukan pertolongan.

Kedua ialah data golongan yang memerlukan. Cabaran penting dalam aspek ini ialah memperoleh maklumat mereka yang ditimpa malang dan tergolong dalam asnaf yang layak secara tepat dalam suasana masyarakat Melayu terutamamya yang sikap malu menunjukkan kesusahan yang dihadapi. Data maklumat ini juga harus sentiasa dikemaskini dalam satu tempoh yang cepat.
Ketiga ialah proses pengagihan. Program pengagihan memerlukan pusatnya yang tersendiri dan mudah untuk dihubungi. Ia juga menuntut kepada kewujudan pegawai zakat yang sentiasa bersedia. Pengagihan yang berkesan harus bersifat turun padang mengenalpasti mereka yang memerlukan di peringkat akar umbi secara langsung.

Keempat ialah program lanjutan pembangunan diri. Ia bermaksud perlaksanaan pelbagai skim bertujuan meningkatkan keupayaan golongan yang daif untuk bebas dari lingkaran kemiskinan terutama dalam bentuk kependidikan dan latihan.
Inilah empat aspek penting pengagihan yang dalam pemerhatian kita perlu diberi perhatian dan tumpuan oleh institusi pengagihan zakat dalam rangka memastikan kecekapannya. Sebagaimana dijelaskan, proses pembinaan kecekapan ini akan lebih berkesan sekiranya usahasama pintar dapat dijayakan sepenuhnya.

Dalam kaitan berkenaan dengan penghebahan dan perolehan data golongan yang memerlukan, kita ingin mengesyorkan supaya kerjasama pintar lebih erat institusi pengurusan zakat dengan masjid-masjid di peringkat qariah ditingkatkan. Malah, masjid qariah perlu dibangunkan sebagai cabang rangkaian bagi proses pengagihan zakat. Masjid qariah ialah institusi akar umbi yang berhubung langsung dengan masyarakat terbanyak. Tambahan pula kewujudannya memang diketahui oleh semua masyarakat.

Di samping masjid qariah, pertubuhan sukarela Islam juga berkeupayaan membantu institusi pengurusan zakat terutama dari aspek proses pengagihan zakat dan program latihan pembangunan lanjutan. Untuk itu, kerjasama pintar dengan pertubuhan sukerela Islam yang berkemampuan perlu dikukuhkan. Badan-badan ini mempunyai keupayaan tersendiri dari segi menyediakan para sukarelawan bagi berhubung langsung dengan golongan yang memerlukan dan tenaga pakar dibidang latihan. Malah, amat wajar menerusi kerjasama pintar, pertubuhan sukarela Islam ini diiktiraf sebagai rakan pengagihan zakat dengan memanafaatkan pejabat – pejabat pertubuhan ini sebagai antara kaunter kutipan dan pengagihan zakat kepada mereka yang memerlukan.

Tanggungjawab meningkatkan kecekapan pengagihan zakat adalah keutamaan penting institusi pengurusan zakat di negara ini pada masa kini.  Ini bagi memastikan kejadiaan sesetengah umat Islam mendapat bantuan kebajikan dari pertubuhan yang dinaungi oleh agama lain tidak berulang lagi. Ia adalah satu peristiwa yang sungguh memalukan kita semua selaku umat Islam dan telah menjejaskan imej agama Islam itu sendiri.

Tuntutan pengagihan ini bertambah mendesak lagi kepada golongan fakir dan miskin sekarang memandangkan umat Islam bakal menyambut hari lebaran Aidilfitri tidak berapa lagi.

This entry was posted in Dakwah, Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan. Bookmark the permalink.

One Response to PERKUKUH SISTEM PENGAGIHAN ZAKAT

  1. One thing that goes in complete favor of corporate apartments is that there
    are no hidden charges. Today, the city is making a concerted effort to position itself as a global
    energy hub with the Energetica project, a 750m energy and technology scheme which is predicted to
    generate an estimated 500m annually. If you are staying in a hotel however, you
    cannot cook food yourself. You can cook for yourself in your serviced
    apartment and enjoy the food of your choice.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s