MANAFAATKAN AIDILFITRI UNTUK PERKUKUHKAN PERSAUDARAAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Aidilfitri ialah perayaan yang amat bermakna bagi seluruh umat Islam. Perayaan ini harus dihayati sebagai satu kurnia dan lambang kasih sayang Allah SWT kepada hambanya setelah berjaya menyempurnakan perintah berpuasa sepanjang Ramadhan yang lalu. Sebagai hamba, kita hendaklah menyahut dengan setingginya dan dengan penuh tulus terhadap kurnia kasih sayang Allah ini .

 
Terdapat dua cara yang boleh kita jayakan bagi menyahut kurnia kasih sayang Allah yang dijelmakan menerusi sambutan Aidilfitri ini. Pertama ialah dengan kita menunjukkan kesyukuran berterusan kepada Allah selaku hambaNya. Kesyukuran ini boleh ditunjukkan menerusi pengukuhan amal ibadah serta memperbanyakkan ingatan dan renungan terhadap kebesaran dan kemegahan penciptaan Allah ke atas seluruh kejadian. Oleh kerana itu, amalan bertakbir dan bertahmid iaitu membesarkan dan memuji-muji Allah sepanjang sambutan Aidilfitri perlu diperbanyakkan. Amalan ini ialah antara lambang bagi menunjukkan kesucian ikatan kasih sayang manusia kepada Tuhannya yang Maha Agung.


Cara kedua yang boleh kita lakukan bagi menyahut kasih sayang Allah di Aidilfitri ialah menerusi amalan mengukuhkan tali dan ikatan persaudaraan sesama kita. Sesungguhnya, amalan ini adalah antara inti utama di sebalik sambutan perayaan ini di sisi agama Islam. Apabila manusia sesama manusia saling memperteguhkan ikatan persaudaraannya, ia secara hakikatnya ialah sebuah jelmaan kasih sayang Tuhan di dalam kehidupan kemanusiaan seluruhnya. Makna kasih sayang Ilahi yang tinggi kepada manusia kini tersebar luas di dalam kehidupan manusia menerusi keteguhan persaudaran manusia sesama mereka.

Begitulah kebesaran erti Aidilfitri sebagai perayaan terpenting umat Islam. Perayaan ini sekiranya kita telusuri dari sudut falsafah keagamaan dan kemanusiaan memiliki maksud yang suci dan murni.  Ternyata, Aidilfitri ialah sambutan hadirnya sebuah pendamaian dan perhubungan kasih sayang yang tinggi antara Allah dan manusia seluruhnya. Inilah hakikat perayaan Aidilfitri. Sambutan ini boleh juga dihayati sebagai kemuncak penterjemahan makna Islam sebagai agama pendamaian dan kasih sayang.
Untuk itulah, kurnia Aidilfitri ini harus dihargai setulusnya sebagai sebuah anugerah terbesar kasih sayang Allah kepada kita selaku umat Islam. Bagi menghargai kurnia tersebar ini, kita hendaklah memanafaatkan sambutan perayaan ini dengan menyebarkan mesej pendamaian dan kasih sayang kepada seluruh umat manusia. Banyak langkah yang boleh kita lakukan bagi menyebarkan mesej ini. Salah satunya ialah menerusi usaha mengukuhkan jalinan persaudaraan sesama kita.

Tradisi perayaan Aidilfitri di negara kita saban tahun menunjukkan terdapat banyak amalan mulia yang boleh mendorong ke arah pembinaan keutuhan persaudaraan umat Islam.  Dalam hal ini, budaya ‘balik kampung’ adalah antara contoh amalan yang harus sentiasa didorong dan digalakkan. Bagi para perantau, tentu kesempatan pulang ke desa halaman perlu dijadikan kesempatan untuk mempertautkan kembali ikatan perhubungan sesama sanak saudara dan sahabat handai. Setelah beberapa waktu terpisah oleh jarak kerana pelbagai tuntutan kehidupan, peluang balik kampung adalah saat yang tidak harus dilepaskan untuk kita memperharui rasa kasih sayang terhadap kampung halaman dan seluruh ahli masyarakatnya.

Di Aidilfitri, umat Islam hendaklah memanafaatkannya dengan merancakkan amalan ziarah menziarahi ke rumah-rumah sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Budaya ini sebenarnya bukan suatu yang asing dalam kehidupan masyarakat kita. Namun, dalam suasana moden hari ini, penghayatan amalan ini nampaknya semakin menurun. Hambatan waktu dan tuntutan tugas sering menghalang amalan mulia ini dijalankan.

Bagi yang berkeluarga, Aidilfitri ini adalah saat terbaik untuk kita mempertemukan dan mempertautkan ikatan hubungan kekeluargaan terutama generasi anak-anak kita. Hal ini penting kerana kita dapati sudah begitu ramai dari kalangan generasi muda anak-anak kita yang sudah tidak mengenali dan berhubungan secara akrab dengan sepupu dan saudara mara terdekat masing-masing. Hubungan persaudaraan anak-anak kita dengan saudara mara terdekat dari sebelah ibu atau ayah masing-masing perlu dipereratkan. Menerusi amalan dan budaya berziarahan, ikatan hubungan kekeluargaan ini pasti akan dapat dipupuk dan dikukuhkan secara berterusan. 

Di sepanjang Aidilfitri juga, umat Islam hendaklah saling bermaafan. Amalan ini adalah satu tuntutan terpenting ajaran Islam. Kasih sayang dan ikatan persaudaraan yang kukuh hanya akan terjelma apabila kita saling bermaafan dari segala kesilapan dan kesalahan antara sesama kita. Selaku insan, kita memang terdedah dengan pelbagai kelemahan. Dengan menghulurkan kemaafan, kita berpeluang membetulkan kembali kesalahan lalu. Bermaafan juga akan menyucikan jiwa kita dari sikap benci dan dendam yang boleh mendorong kepada permusuhan secara berlanjutan. Ayuh kita saling bermaafan di hari mulia ini. Ikatan suci persaudaraan pasti akan mekar dan terjalin kembali menerusi amalan bermaafan yang tulus sesama kita.

Adalah penting untuk kita menganjurkan agar umat Islam tidak melupai jiran tetangga dan sahabat handai dari kalangan bukan Islam sepanjang sambutan Aidilfitri. Menurut ajaran agama Islam, masyarakat bukan Islam ialah adalah saudara seinsan kita. Untuk itu, kita hendaklah sentiasa memanjangkan jemputan kepada mereka ke acara-acara sambutan Aidilfitri terutama pada acara ‘rumah terbuka’ yang kini telah menjadi satu tradisi penting bagi masyarakat Malaysia apabila menyambut sesuatu perayaan. Semoga menerusi amalan-amalan ini di Aidilfitri, mesej pendamaian dan kasih sayang agama Islam terus subur dan mekar dalam kehidupan kemanusiaan hari ini yang sungguh mencabar dan kompleks.

Selamat menyambut Aidilfiti, maaf zahir dan batin.

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Dakwah, Isu Semasa, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s