NUZUL AL-QURAN HARI PERAYAAN KELAHIRAN UMAT ISLAM

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Nuzul al-Quran iaitu hari di mana al-Quran diturunkan. Al-Quran ialah kalam Allah SWT yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan rasul terakhir kepada umat manusia. Al-Quran diturunkan ketika Nabi Muhammad sedang beribadah di Gua Hira’. Pada ketika itu, baginda yang belum lagi diangkat sebagai rasul menyisihkan diri dari persekitaran hidup masyarakatnya yang mengamalkan kepercayaan penyembahan berhala dan nilai-nilai budaya yang rendah. Dalam keadaan pencarian kebenaran dan cara hidup yang suci inilah, Allah telah memancarkan wahyuNya kepada Nabi Muhammad menerusi perantaraan malaikat Jibril.

 Peristiwa bersejarah ini telah diabadikan Allah di dalam al-Quran sebagaimana firmanNya di dalam surah al-Baqarah, ayat 185: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah”. Menurut Al-Quran di dalam surah al-Qadar, ayat 1-5, wahyu Allah ini mula diturunkan pada malam lailatul-qadar iaitu pada satu dari sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan sebagaimana firmanNya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr, dan apakah engkau dapat mengentahui apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan”.

Sesungguhnya peristiwa nuzul al-Quran ini amat besar kedudukannya di sisi agama Islam dan sejarah peradaban umatnya. Penurunan kitab suci termulia umat Islam ini merupakan satu titik tolak penting yang telah membawa kepada kemunculan sebuah peradaban masyarakat baru yang dikenali sebagai umat Islam. Peristiwa ini telah memisahkan masyarakat Islam dengan masyarakat jahiliyyah yang wujud pada zaman tersebut.

 Atas asas kemuliaan dan kebesaran peristiwa nuzul al-Quran ini, Muhammad Imarah di dalam bukunya Al-‘Ata’ al-Hadhari li’l Islam (Anugerah Islam Untuk Ketamadunan) menganjurkan umat Islam seluruh dunia agar mengangkatnya sebagai hari perayaan kelahiran umat Islam. Menurut beliau, “Justeru, bagi kaum Muslimin, erti perayaan yang sebenarnya dapat direalisasikan ketika umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan dan sekaligus merayakan detik-detik turunnya al-Quran, Sesungguhnya al-Quran adalah pendiri asas-asas bagi pembinaan satu umat”. Begitulah kebesaran nuzul al-Quran yang merupakan detik kelahiran umat Islam itu sendiri. Oleh kerana itu ia wajar dirayakan dengan semeriahnya sebagai suatu gambaran tentang hari bermulanya penciptaan umat baru yang terbina berasaskan petunjuk wahyu Ilahi.

 Sebagaimana kita telah telusuri sejarah kebangkitan umat Islam dari awal, setelah bermulanya detik kelahiran ini, umat Islam seterusnya telah membentuk sebuah perkumpulan masyarakat beragama yang unik dan kuat, tumbuh dan berkembang dengan rancak dan meluas sehingga terbina sebuah peradabannya yang tersendiri di pentas sejarah kemanusiaan hingga ke hari ini.

Persoalan yang sering diajukan ialah bagaimanakah al-Quran berkemampuan menyumbang kepada pembinaan sebuah peradaban baru di pentas sejarah kemanusiaan ini? Sebagai wahyu dan kalam suci dari Allah, al-Quran ialah sumber wawasan dan pengentahuan, petunjuk dan hidayah kepada manusia di dalam segala ruang kehidupan. Dalam kata lain, penghayatan dan pengamalan ajaran al-Quran akan membawa masyarakat kepada satu cara dan tata kehidupan yang harmoni seterusnya produktif di dalam membangunkan persekitaran untuk kemajuan dan pembinaan sebuah peradaban. Sebagai kitab terangung, ia mengandungi ajaran yang lengkap untuk kehidupan manusia seluruhnya.

Dalam hal ini Allah berfirman di dalam surah Yunus, ayat 57: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, serta menjadi hidayah (untuk keselamatan) dan sebagai rahmat bagi orang yang beriman”. Ajaran al-Quran yang lengkap ini menjadi wawasan dan dasar perjuangan umat Islam untuk dihayati dan diterjemahkan di dalam seluruh dimensi kehidupan masyarakat manusia.

 Dalam hubungan inilah, Sheikh Dr Yusuf al-Qardawi di dalam bukunya “Kaifa Nata’amalu Ma’a al-Qur‘ani al-Azim” (Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Quran) membahagikan kesempurnaan ajaran al-Quran kepada beberapa tema utama. Menurut beliau, peranan penting ajaran al-Quran kepada umat manusia ialah pertama, meluruskan aqidah dan kepercayaan, kedua, menetapkan kemuliaan manusia dan hak-haknya, ketiga, menyeru kepada penyembahan Allah dan bertaqwa kepadaNya, keempat, membersihkan jiwa manusia, kelima, membentuk keluarga dan berlaku adil kepada kaum wanita, keenam, membentuk umat yang menjadi saksi bagi manusia dan ketujuh dan terakhir ialah mengajak umat manusia membangunkan alam dengan saling tolong menolong.

Begitulah keluasaan dan kesempurnaan ajaran al-Quran yang telah menyumbang dan menjadi sumber wawasan utama pembinaan sebuah peradaban yang utuh dan dihormati sepanjang sejarah hingga ke hari ini. Selaku umat yang kini mewarisi al-Quran, marilah kita menghargai anugerah dan kurniaan wahyu ini dengan sebaiknya. Al-Quran sebagai mukjizat harus dihargai kerana ia adalah pedoman hidup yang mendorong kepada kehidupan yang makmur dan sejahtera.

Cabaran terpenting umat Islam hari ini ialah untuk menterjemahkan ajaran al-Quran yang serba sempurna di dalam seluruh dimensi kehidupan masa kini yang moden dan rencam. Cabaran penterjemahan ini merupakan tugas dan tangungjawab keagamaan terpenting. Ternyata untuk menjayakan amanah ini, tiada pilihan lain bagi umat Islam kecuali mereka harus memulakan dengan memahami pengajarannya secara menyeluruh dan menjayakan mesej dan nilai utama seruannya di dalam seluruh aspek kehidupan samada di peringkat peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.

Selamat menyambut nuzul al-Quran dan merayakan hari kelahiran umat Islam.

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Dakwah, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s