UMAT ISLAM PERLU DIBINA DAYA TAHAN DALAMAN

Oleh Muhamad Razak Idris

 Disiarkan di Berita Harian, 12 Ogos 2011, Jumaat

Ancaman terhadap peradaban ummah pelbagai dan meluas. Ancaman ini datang dari dalam dan luar masyarakat Islam itu sendiri. Pada beberapa waktu dahulu, umat Islam berdepan dengan ancaman luar bersifat penjajahan berbentuk ketenteraan dan penguasaan politik oleh bangsa asing di tanahairnya. Ancaman ini masih berlangsung di sesetengah negara Islam sebagaimana terjadi di Iraq, Afghanistan dan Palestin. Bentuk ancaman ini bersifat fizikal.

Pada masa kini, ancaman bersifat luaran tidak lagi sekadar berbentuk fizikal. Selepas era penjajahan, ancaman berbentuk halus berkembang dengan amat pesat sekali. Ancaman ini didorong oleh perubahan zaman yang bersifat terbuka dan ia digerakkan dengan deras oleh arus yang dikenali sebagai globalisasi.  Ancaman ini tidak sejelas penjajahan ketenteraan. Namun, kesan dan akibat dari ancaman ini lebih besar. Ancaman berbentuk halus menerpa kehidupan dan peradaban umat Islam terutama dalam bentuk pemikiran, kebudayaan dan kepercayaan.

Barangkali kita pernah mendengar kisah negara Turki. Negara ini dalam sejarahnya berjaya mengatasi ancaman penjajahan berbentuk fizikal. Namun, dalam sejarah moden negaranya, ia telah dilanda penjajahan dalam bentuk halus terutama dari sudut pemikiran dan kebudayaan. Fahaman sekularisme yang melampau yang dianuti oleh para pemimpin utamanya dan menjadi prinsip dalam segala aturan kehidupan bermasyarakat dan bernegara telah memberi kesan kebudayaan yang amat pahit dan pilu kepada rakyatnya yang beragama Islam. Sehingga ke hari ini, sebahagian umat Islam di Turki masih belum mampu mengamalkan ajaran keagamaannya secara bebas walaupun dalam persoalan yang paling ringan seperti berpakaian menutup aurat bagi wanita kerana ia dipandang bertentangan dengan dasar negara. Begitulah antara contoh kesan ancaman halus yang bercorak pemikiran dan kebudayaan terhadap kehidupan dan peradaban umat Islam.

Masyarakat Islam di Malaysia juga harus lebih bersiap sedia dalam mendepani pelbagai ancaman yang wujud di dalam kehidupan yang serba terbuka pada hari ini. Setakat hari ini, kita patut bersyukur iaitu negara kita bebas dari ancaman penjajahan fizikal dari bangsa asing. Sumbangan para pejuang kemerdekaan harus sentiasa berada dalam kenangan. Namun, ia tidak bermakna kita telah bebas dari penjajahan yang bercorak halus dari segi pemikiran, kebudayaan dan kepercayaan. Adalah nyata, ancaman halus ini wujud dan kesannya semakin hari semakin tertonjol.

Antara kesan langsung ancaman bercorak halus ini dapat kita lihat di dalam debat berkaitan kemerosotan kualiti nilai dan akhlak sebahagian masyarakat terutama dari kalangan muda mudi. Hal ini telah dibicarakan dengan panjang lebar oleh media utama. Peningkatan kadar jenayah, jumlah penagihan yang belum surut dan pertambahan kes buli dan buang bayi adalah manisfestasi kesan ancaman yang bercorak halus yang dinyatakan. Realiti ini sebahagiannya adalah kesan dari pengaruh kebudayaan liberal yang berkembang dalam kehidupan masyarakat sehingga melemahkan kualiti penghayatan agama yang seharusnya menjadi tuntutan.

Baru-baru ini pula, masyarakat kita digemparkan dengan debat berkenaan dengan usaha sesetengah pihak yang cuba mempengaruhi jatidiri kepercayaan umat Islam di negara ini. Dalam keadaan sebahagian masyarakat Islam lemah dari segi kualiti kefahaman agama, kebudayaan hidupnya yang dipengaruhi cara hidup yang bersifat bebas dan liberal serta dalam keadaan tertentu pula masyarakat Islam menghadapi tekanan akibat kos hidup yang semakin tinggi, sebarang dorongan yang cuba mempengaruhi jatidiri kepercayaannya menjadi amat mudah. Keadaan ini adalah antara contoh bagaimana umat Islam sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman sekiranya mereka tidak berwaspada.

Kita berpandangan, persediaan penting umat Islam mendepani pelbagai cabaran dan ancaman ini ialah dengan memperkukuhkan daya ketahanan dalaman umat Islam itu sendiri. Daya ketahanan tersebut harus dibina berasaskan kepada pengukuhan cita-cita bersama iaitu bagi membangun negara ini sebagai sebuah peradaban ummah yang kuat dan dihormati. Cita-cita ini sebagai sebuah idealisme harus difahami dan dihayati oleh seluruh anggota masyarakat Islam.

Berasaskan idealisme ini, strategi bagi pemerkasaan ketahanan umat Islam harus sama-sama dirangka. Dalam strategi ini, penekanannya tentulah terhadap usaha pengukuhan kesatuan ummah dalam pelbagai aspeknya, pengemblengan sumber secara bijak terutama dari segi modal insan dan ekonomi, dan yang penting sekali ialah bagaimana kita harus bersama-sama mengukuhkan kedudukan kepimpinan umat  Islam yang beramanah, berwawasan dan cerdas di dalam menyusun dasar-dasar yang bersifat membina ketahanan umat Islam secara jangka pendek dan jangka panjang.

Agenda pengukuhan kekuatan dalaman ini memerlukan keikhlasan dan dokongan semua pihak. Ia harus digerakkan satu perkumpulan masyarakat yang boleh diterima oleh semua lapisan umat Islam di negara ini. Dalam kata lain, perkumpulan ini perlulah satu institusi yang dihormati kerana peranannya melewati batas-batas geografi atau aliran politik yang mewakili umat Islam di negara ini. Dalam hubungan ini, peranan Majlis Raja-Raja Melayu amat mustahak. Barangkali wajar untuk kita menganjurkannya untuk memulakan inisiatif merencanakan penubuhan sebuah badan yang berfungsi dalam bentuk dewan atau suruhanjaya dibawah naugannya bagi merancang usaha membina ketahanan dalaman umat Islam secara menyeluruh bagi mendepani pelbagai cabaran peradaban ummah pada hari dan akan datang.

This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s