Kemudi ABIM di Tengah Arus Pertembungan Politik

Berikut salinan temubual saya bersama Majalah i pada Julai 2011

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membuat proses peralihan kepimpinan baru dua tahun lalu. Pada muktamar ke 38, Dr. Muhammad Razak Idris, telah dipilih menjadi  Presiden ABIM ketujuh. ABIM yang satu ketika dulu sinonim dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tentu ramai yang ingin tahu ke mana haluan ABIM ketika ini memandangkan tokoh yang sinonim dengan ABIM  ini ketika ini menjadi ketua pembangkang dalam negara.

“ABIM akan bekerjasama dengan kedua-dua perikatan politik, sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, dalam usaha menjaga kepentingan umat Islam dan Masyarakat Malaysia seluruhnya di Negara ini,” ujar Razak, menggambar betapa beliau cuba memimpin ABIM dengan  mengutamakan kepentingan dakwah dan umat Islam keseluruhannya di atas kepentingan segala-galanya.

Ikuti temu bual wartawan Majalah I, NOR ASHIKIN MOHAMAD MOHAJIR  dengan  Dr. Muhammad Razak Idris, Presiden ABIM  ketujuh, menyingkap wawasan dan kepimpinan beliau dalam menerajui ABIM di tengah arus politik yang memperlihatkan wujudnya dua kumpulan bekas tokoh kepimpinan ABIM, antara menyokong perikatan politik Pakatan Rakyat  dan yang menyokong perikatan politik Barisan Nasional.

 Apa perasaan Dr. ketika dilantik menjadi Presiden ABIM yang kelima Ogos 2009 lalu?

Perasaan saya berbelah bahagi. Ini kerana memikirkan beban tanggungjawab yang harus dipikul. Kepimpinan sering merujuk kepada amanah, bukan kemegahan. Oleh itu, perasaan demikian muncul apabila memikirkan tentang keupayaan yang dimiliki bagi menyahut tanggungjawab baru yang berat ini. Sebagai sebuah organisasi yang besar, ia menuntut komitmen yang luar biasa. Tambahan pula, ABIM bukan sebuah pertubuhan belia yang umum kita ketahui. Ia dibina di atas semangat dan roh dakwah Islamiah.

ABIM ialah sebuah pergerakan Islam yang disokong oleh golongan belia Islam. Oleh yang demikian, cabaran kepimpinannya turut berlainan. Ia bukan sahaja memerlukan kecergasan fizikal tetapi daya tahan jiwa dan kualiti intelektual yang tersendiri. Inilah perkara yang berlegar di ruang fikiran saya apabila terpilih. Putaran amanah kepimpinan kini beralih kepada saya. Dengan sokongan rakan-rakan pimpinan dan seluruh warga ABIM, kita perlu meneruskan tugas dakwah ini.

Dr. pernah menyebutkan mengenai gelombang dakwah kedua. Boleh Dr. huraikan?

Saya merujuk kepada cabaran generasi baru ABIM di arena dakwah hari ini dan masa depan yang mana ia adalah untuk memastikan ketahanan arus dakwah berterusan dan berkekalan pada masa depan. Sebagai contoh dalam bidang kehidupan ehwal sahsiah, peningkatan kesedaran masyarakat untuk menghayati cara hidup berlandaskan agama amat ketara. Antara beberapa fenomena yang menunjukkan keberkesanan arus dakwah yang digerakkan dalam gelombang pertama adalah komitmen sebahagian besar masyarakat terhadap pelaksanaan solat lima waktu dan kesesakan umat Islam di masjid-masjid dalam mengerjakan solat Jumaat pada setiap minggu.

Gelombang dakwah kedua dapat dilakukan dengan usaha memastikan arus dakwah tidak sahaja terus bertahan dan maju dalam bidang-bidang yang sedia ada, namun dalam masa yang sama memastikan risalah dakwah terjelma dalam bentuk sistem yang menyeluruh dalam setiap aspek kemasyarakatan dan kenegaraan. Dalam pada itu juga, ia juga dapat memastikan umat Islam menjadi satu kelompok yang produktif, berdaya saing dan tonggak dalam setiap aspek kehidupan. Oleh kerana ia merupakan tanggungjawab yang besar maka, perancangan yang jelas dan teratur serta tuntutan untuk kita menyediakan ABIM sebagai satu organisasi dakwah yang mantap sebagai organ penterjemahan agenda besar ini.

 Bagaimanakah ABIM berperanan dalam menghadapi serangan-serangan yang cuba menjauhkan umat Islam di negara ini daripada jati dirinya?

Ini adalah cabaran terbesar dakwah abad ini. Zaman kita kini berada pada era masyarakat terbuka. Penyebaran budaya asing yang cuba mengikis jati diri umat amat meluas dan berpengaruh sekali. Di peringkat ABIM, kita berpandangan usaha menghadapi serangan ini menuntut kita mengukuhkan benteng moral dan akhlak generasi Muslim sejak di awal usia. Oleh itu, ABIM kini sedang memperkasa program terasnya iaitu Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (Taski). Kanak-kanak Islam perlu dibudayakan dengan cara hidup keagamaan dari usia muda bagi membolehkan mereka memiliki ketahanan yang kukuh berdepan dengan serangan global ini.

Di samping itu, ABIM juga akan menumpu di dalam bidang pembangunan keluarga. Ini kerana proses pembudayaan Islam harus disokong oleh institusi keluarga asasnya. Satu modul program keibubapaan sedang dalam proses penggubalan oleh pakar-pakar kekeluargaan ABIM. Dalam masa yang sama, dalam hal ini, ABIM akan terus mengkritik dasar dan amalan yang dilhat terlalu liberal oleh pihak kepimpinan negara. Kami berasa amat sedih sekali pada hari ini melihat bagaimana dasar kebudayaan kebangsaan seperti sudah tidak diendahkan lagi oleh para pelaksana dasar. Akibatnya amat jelas sekali di mana serangan ini ternyata telah melunturkan jati diri agama dan kehidupan sosial masyarakat.

 Apakah pendekatan atau perubahan yang akan dilakukan untuk melonjak ABIM sebagai pertubuhan yang berilmu?

ABIM akan mengembangkan institusi pendidikannya kepada masyarakat awam secara lebih meluas. Program Taski, Sekolah Rendah Islam (SRI) dan Sekolah Menengah Islam (SMI) akan ditingkatkan keupayaannya dan digandakan pengembangannya di seluruh negara. ABIM juga akan memulakan langkah meningkatkan keupayaan program pendidikan tinggi yang kini diusahakan menerusi Kolej Dar al-Hikmah. Ada satu produk baru pendidikan ialah program pendidikan lanjutan akan diperkenalkan dalam masa terdekat. Ia bagi membuka ruang terutama kepada belia untuk meningkatkan kefahaman Islam dan kemahiran di waktu malam atau di hujung minggu di pusat-pusat pengajian yang kita akan tubuhkan.  Ini adalah antara inisiatif bagi menjadikan ABIM pertubuhan berilmu menerusi pembangunan institusi.

Dalam masa yang sama, kita akan memperbanyakkan lagi kegiatan pendidikan masyarakat menerusi penganjuran wacana, seminar dan konvensyen dalam pelbagai isu secara berkala. Bagi tujuan ini, kita akan mempertingkatkan jaringan ilmuwan dan ulama di peringkat nasional dan antarabangsa bagi mendukung agenda penting ini. Salah satu inisiatif yang sedang dibangunkan ialah usaha penerbitan buku dan majalah bercorak ilmiah sebagai rujukan masyarakat. Kita sedang merancang untuk mempunyai syarikat penerbitan sendiri yang lebih cekap dan kedai buku khusus bagi pengedarannya kepada masyarakat terbanyak.

 Sebagaimana amanah yang diberikan sebagai Pengerusi ABIM sekarang, apakah pengalaman berharga yang Dr peroleh ketika menjadi pemangku Presiden PKPIM yang dapat di aplikasi dalam ABIM?

Ia sangat bermakna kerana pada waktu itu, saya dan rakan-rakan kepimpinan pelajar Islam yang lain berkesempatan menyaksikan satu peristiwa penting dalam sejarah negara yang merupakan titik mula penting terhadap sejarah politik masyarakat Malaysia iaitu merujuk kepada era reformasi. Detik tersebut telah menyumbang kepada kemunculan satu keyakinan baru di dalam jiwa sebahagian masyarakat tentang konsep baru berkaitan corak dan budaya kepimpinan dan pemerintahan bagi negara Malaysia.

Saya berpendapat, pertarungan idea berhubung wajah negara Malaysia pada masa depan ini akan berlanjutan untuk beberapa dekad ini dan masa depan masyarakat Malaysia akan mencapai yang terbaik jika dilaksanakan secara sihat. ABIM juga tidak boleh terpinggir dalam pertarungan idea ini. Peranan strategik ABIM pada masa depan ialah menampilkan kepimpinan pengimbang kepada perkembangan baru sejarah demi memastikan kepentingan agama dan umat Islam terus terjamin di hujung pengakhirannya.

 ABIM sebelum ini dilihat sangat rapat dengan Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim, bagaimana ABIM bersikap sekarang?

Sikap ABIM terhadap beliau tidak pernah berganjak. Sejak beliau difitnah pada 1998, ABIM tetap bersama beliau malah mempertahankan beliau secara kuat sekali. Selaku pimpinan ABIM hari ini, saya boleh mengaku secara terbuka iaitu ABIM menganggap tuduhan yang terjadi terhadap beliau adalah satu bentuk fitnah dan bercorak politik. Pertalian ABIM dengan beliau yang saya anggap bermakna adalah dari sudut perkongsian semangat dan fikrah dakwah. Walaupun dari segi pendekatan antara ABIM dan beliau berbeza, namun saya perhatikan ABIM saling berkongsi aspirasi dan cita-cita bagi menjayakan usaha meningkatkan kualiti penghayatan hidup beragama, membangunkan kedudukan umat Islam dan saling berusaha untuk menjadikan umat Islam sebagai umat yang dihormati dan berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Kita berpegang kepada prinsip Syariah apabila berdepan dengan isu membabitkan pertuduhan jenayah. Selagi mana tiada saksi yang mencukupi sebagaimana dikehendaki Syariah, kita tidak boleh menuduh seseorang terlibat dalam perbuatan yang mengaibkan. Kedua, kita menganggap beliau sebagai salah seorang insan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan agama dan ummah di negara ini. Beliau juga adalah antara suara penting mewakili dunia Islam pada hari ini membangkitkan pelbagai kepentingan umat di pentas global.

Sebagaimana kita menghargai jasa dan sumbangan sesiapa saja yang mampu mengangkat kedudukan agama dan umat, beliau adalah salah seorang tokoh pemimpin Islam yang wajar diiktiraf. Oleh itu, ABIM akan terus membantu dan menyokong sebarang usaha baik yang ingin beliau jayakan. Dalam era kepimpinan beliau, ABIM amat berjaya dalam menjana gelombang kesedaran Islamiah di kalangan masyarakat. Malah status ABIM sebagai pertubuhan Islam berpengaruh amat dirasai dan dikenali di setiap peringkat. ABIM sentiasa mendoakan agar beliau dan keluarganya diberikan kekuatan dalam mengharungi apa juga cabaran di dalam arus perjuangan dakwah dan tabah dalam usaha membangun agama dan ummah. 

 Dr memimpin ABIM dalam keadaan iklim politik yang sudah wujud peranan check and balance yang lebih kemas, apabila muncul Pakatan Rakyat dengan barisan kepimpinan yang segar dan tenaga, ideologi politik yang memikat, ditambah pula dengan ramai bekas kepimpinan ABIM berada di sisi Pakatan Rakyat. Bagaimana Dr meletakkan peranan ABIM dalam konteks ini?

Sejak awal pergerakannya, ABIM sentiasa menganggap politik sebagai salah satu aspek penting yang perlu ditangani dan dijayakan dalam membangunkan usaha dakwah di Malaysia. Perkembangan baru iklim politik ini memberi peluang yang baik kepada ABIM dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan kepentingan belia dan umat Islam dengan lebih ke depan. Pandangan dan suara yang diketengahkan oleh pertubuhan Islam seperti ABIM tidak harus dipandang kecil bagi mengekalkan kedudukan dan sokongan dalam masyarakat. ABIM akan meneruskan kegiatan mempengaruhi pandangan penggubal dasar dalam merangka rancangan yang baik terhadap umat Islam dan menjadi suara wakil umat Islam dalam mengemukakan pandangan dan hasrat kepada pemerintah.

 Selaras itu, ABIM akan bekerjasama dengan mereka dalam rangka menjaga kepentingan umat Islam dan masyarakat Malaysia. Ia sejajar dengan dasar non-partisan atau dasar tidak berpihak kepada mana-mana parti politik yang diamalkan oleh ABIM. Kita akan memanfaatkan perhubungan, ruang dan sumber yang dimiliki oleh kedua-dua perikatan sama ada menerusi bekas-bekas ahli ABIM yang terlibat dalam medan politik dan sesiapa yang menghormati sikap dakwah ABIM bagi tujuan pembangunan umat Islam dalam bidang-bidang kritikal seperti pengupayaan ekonomi masyarakat, pemasyarakatan pendidikan, pembinaan generasi muda dan pengukuhan institusi sosial.

 Apa pendapat Dr mengenai isu fitnah sebagai ancaman umat akhir zaman?

Bagi sesiapa yang menganggap fitnah ialah satu anugerah dan nikmat, maka orang ini boleh dianggap sebagai telah terpesong dari ajaran agama. Oleh itu, bagi sesiapa yang mengaku dirinya sebagai mukmin, maka dia harus menolak budaya fitnah dan jangan sesekali terlibat di dalam kegiatan yang buruk ini.

Sekiranya kita teliti falsafah agama Islam, ternyata terasnya ialah akhlak. Agama Islam ini diturunkan Allah bagi menyempurnakan akhlak manusia. Dalam hal ini, perbuatan menyebarkan fitnah ialah  amalan yang paling bertentangan sekali dengan prinsip akhlak. Oleh itu, nilai dosanya sebagaimana dijelaskan al-Quran seumpama dosa membunuh. Dengan fitnah, ia meruntuhkan seluruh kesatuan, kemuliaan dan kehormatan manusia dan masyarakat. Kehidupan boleh membawa porak-peranda sekiranya budaya fitnah tidak terkawal. Apabila hidup sudah porak-peranda, maka itu adalah petanda tentang tibanya akhir zaman.

 Menurut hemat Dr mengapa masyarakat sering bertelagah sesama sendiri dan siapakah yang patut dipertanggungjawabkan?

Faktor utamanya ialah kerana masyarakat kehilangan wawasan, kejahilan ilmu dan kualiti penghayatan Islam yang rendah. Pertelagahan yang kita sering dengar di dalam bidang keagamaan dan kehidupan politik dan sosial sehingga mengundang perpecahan ialah kerana faktor-faktor di atas. Sekiranya kita perhatikan pertelagahan ini, ternyata sebahagian umat Islam tidak berkongsi wawasan tentang tuntutan untuk kita menunjukkan dan menjadikan umat Islam sebagai model masyarakat terbaik kepada masyarakat dunia. Pada masa kini, dunia sedang menunggu contoh umat terbaik sebagai ikutan. Umat Islam di Malaysia adalah salah satu dari model yang sedang diberi perhatian. Namun, oleh kerana permusuhan dan pertelagahan berterusan sesama masyarakat, imej kita semakin menurun.

Pertelagahan ini juga menunjukkan masyarakat kita masih jahil tentang ilmu berbeza pendapat atau adab berbeza pandangan menurut  ajaran Islam. Di sisi agama, perbezaan pandangan bukan semuanya dilihat sebagai suatu kelemahan malah dianggap sebagai rahmat. Namun ia harus berlaku secara harmoni dan dalam tatasusila yang menjunjung prinsip akhlak Islamiah. Tetapi sayang sekali, kita dapati, akibat berbeza pandangan dan fahaman dalam sesuatu perkara, ia menjadi punca pula kepada sikap tuduh menuduh, fitnah memfitnah dan saman menyaman. Suasana ini jelas memperlihatkan tahap penghayatan akhlak sebahagian masyarakat kita yang rendah. Sebahagian masyarakat kita masih mementingkan ego, tidak ikhlas dalam kehidupan dan mementingkan diri sendiri. Akibatnya, timbul budaya salah menyalahkan dan kesukaran untuk mengakui kelemahan diri.

This entry was posted in Belia, Dakwah, Gerakan Islam, Institusi Islam, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s