KREATIVITI MESTI BERTERASKAN PRINSIP TAUHID DAN AKHLAK

Oleh Muhamad Razak Idris

Tersiar di Berita Harian, 16 Jun 2011, Khamis.

Berbudaya kreatif ialah sebahagian dari ajaran Islam. Oleh kerana itu, banyak ayat al-Quran yang menyeru dan mengajak umat manusia supaya memanafaatkan daya fikir dan kuasa akal yang dikurnia Allah bagi meneliti dan mempelajari hikmah tersirat dari seluruh kejadian alam dan kehidupan ini. Tentu menerusi penelitian ini akan menimbulkan fikiran-fikiran baru yang bersifat kreatif untuk memenuhi keperluan hidup manusia di dalam segala bidang kehidupan mereka di muka bumi.

Bagi memastikan budaya hidup kreatif menjadi satu bentuk ibadah, ia harus direalisasikan secara bersungguh-sungguh dan mesti berada di dalam kerangka ajaran tauhid dan batasan tatasusila luhur berpandukan prinsip akhlak Islamiyyah. Ia bermaksud, daya usaha kreatif harus mendorong kepada penemuan keangungan Ilahi dan menggalakkan setiap individu ke arah pembangunan martabat diri berteraskan nilai akal budi yang tinggi. Kreativiti yang terhasil di dalam apa juga ruang kehidupan yang memenuhi maksud dan cita-cita ini adalah satu bentuk amal ibadah dan sebahagian dari amal saleh yang akan dihitung sebagai satu sumbangan jariah kita sebagai seorang Muslim di hari akhirat kelak. Manakala, sebarang bentuk kreativiti yang melanggari prinsip tauhid dan batasan akhlak hendaklah ditolak kerana ia bukan sebuah ibadah. Kreativiti bersifat sebegini adalah sebuah amal buruk yang menyalahi ajaran mulia agama Islam.

Berasaskan kerangka pemikiran inilah, kita amat bersetuju dengan banyak komentar yang mengkritik secara terbuka sebuah karya muzik yang dihasilkan oleh Gambit Saifullah yang berbentuk klip video yang membabitkan dua artis baru, Prema Yin dan Shahz Jasle baru-baru ini. Ternyata setelah meneliti klip ini, ia bukan sebuah hasil kreatif yang boleh dikategori sebagai suatu ibadah. Ini kerana ia begitu terpengaruh dengan corak seni bebas masyarakat asing dan dalam masa yang sama begitu berani melakukan gaya dan aksi yang menghairahkan. Karya sebegini ini secara jelas telah melanggari kerangka susila dan prinsip akhlak yang dianjurkan oleh ajaran agama Islam dan tidak wajar ditonton dan berada di pasaran. Timbul beberapa persoalan dalam fikiran saya apabila meneliti perkembangan seni sebegini di Malaysia.

Dalam kes video ini, apakah mereka yang terlibat di dalam pembikinan hasil seni sebegini sudah hilang sensitiviti terhadap persekitaran masyarakat di negara ini yang amat kuat pegangan agama dan nilai-nilai ketimuran? Adakah perkara ini suatu yang memang disegajakan dengan agenda yang tersendiri bagi menimbulkan provokasi kepada masyarakat Islam? Apakah kita boleh menjadikan kes ini sebagai petanda iaitu dunia seni di negara ini dalam keadaan hilang arah panduan sehingga sanggup menggadaikan prinsip akhlak hanya semata-mata memperoleh populariti dan keuntungan? Inilah antara beberapa persoalan yang bermain dibenak fikiran setelah mengikuti kontroversi kes ini.

Adalah jelas iaitu suatu penelitian terhadap keadaan semasa dan masa depan dunia seni dan hiburan di negara kita memerlukan langkah dan tindakan segera dari pihak bertanggungjawab. Karya seni dalam apa juga bentuk seharusnya membawa imej dan jatidiri kenegaraan. Ia tidak sepatutnya sebuah karya yang bercorak mengulangi citra nilai yang bebas oleh masyarakat asing. Karya seni ialah wajah masyarakat Malaysia dan seharusnya tergambar di dalam segala perlakuan dan perwatakan para seniman yang sebenarnya ialah duta-duta kebudayaan negara. Orang luar boleh mengasihi dan menghormati kita sebagai sebuah bangsa menerusi hasil karya budaya dan seni yang halus, indah dan berjiwa luhur.

Namun, keadaan dunia seni tanahair kita masih belum mencapai tahap yang diimpikan. Dalam keadaan tertentu menyedihkan. Tanpa menafikan beberapa karya seni yang baik dan terpuji, namun jumlahnya masih belum mampu menengelamkan citra seni yang masih menekankan unsur bebas, seram, lawak dan ganas secara keterlaluan. Barangkali satu kajian terperinci harus dilakukan secara bersama oleh badan-badan sivil negara kita bagi mencari jalan keluar terhadap isu yang telah lama dibahaskan dalam media.

Kita tidak boleh lagi menyerahkan tugas membina dan membentuk model seni dan budaya yang berjatidiri kepada perkumpulan seniman sahaja. Ahli akademik, aktivis sosial, tokoh agama dan pembuat dasar negara harus bersama-sama bagi membentuk satu ekosistem yang sihat untuk kecemerlangan dunia seni tanahair. Pengajaran yang jelas dari kes klip video ini ialah, kita yang selama ini hanya menjadi penonton kepada hasil kreatif golongan seniman tidak boleh lagi berpeluk tubuh dan menerimanya tanpa sebarang kritikan.

This entry was posted in Belia, Budaya, Dakwah, Isu Semasa, Kenegaraan, Sastera, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s