MENANGANI LIBERALISASI BUDAYA

Oleh Muhamad Razak Idris

Negara kita sedang berhadapan dengan cabaran liberalisasi budaya. Cabaran ini antara lain disebabkan oleh berkembangnya era masyarakat terbuka pada hari ini. Di era ini, peralihan budaya terjadi begitu mudah dan tanpa batasan. Teknologi komunikasi dan media menjadi menjadi penyalur dan penyebar pelbagai budaya dunia ke dalam kehidupan kita tanpa henti. Proses peralihan budaya ini menjadikan kita seolah seperti sangat terbiasa dengan pelbagai budaya yang sebelumnya adalah suatu yang bersifat terlalu asing.

Malah kedapatan sesetengah kebudayaan yang bersifat asing ini seolah telah mula menjadi sebahagian dari sifat atau identiti budaya kita. Begitulah realiti kebudayaan yang sedang berkembang di negara kita hari ini. Proses liberaliasi budaya telah membawa suatu peralihan budaya dari luar secara berleluasa sekali. Keadan ini boleh diperhatikan dengan amat jelas sekali di dalam pelbagai kegiatan budaya di negara kita sejak akhir-akhir ini. Kegiatan budaya terutama dalam bidang seni hiburan, lakonan dan peragaan yang berkembang dengan amat pesat di negara kita hari ini jelas sekali memperlihatkan perkembangan liberalisasi budaya yang amat meluas.

Secara keseluruhan, sekiranya kita perhatikan fenomena kebudayaan yang terjelma menerusi kegiatan seni dan hiburan ini, kita boleh menyimpulkan iaitu pengaruh kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat Barat kini begitu dominan sekali mewarnai corak kebudayaan masyarakat kita hari ini. Ini semua adalah antara kesan proses liberalisasi budaya yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Contoh kesan liberalisasi ini dapt kita telusuri dalam beberapa acara penganugerahan seni yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan syarikat-syarikat media tempatan sejak akhir-akhir ini.

Kita mendapati, di acara-acara yang mendapat liputan yang begitu meluas sekali ini, pengaruh budaya masyarakat Barat amat dominan sekali. Ini boleh diperhatikan pada penampilan dan peragaan sebahagian para seniman tanahair di acara-acara tersebut. Kedapatan sebahagian penampilan mereka terlalu bebas dan seksi. Bagi pemerhati budaya yang mementingkan nilai keagamaan, penampilan sebahagian seniman ini amat merimaskan sekali. Sekiranya kita menonton acara-acara penganugerahan seni di negara ini, corak pengajuran dan persembahannya seolah-olah tidak ubah seperti acara yang dianjurkan di negara-negara Barat. Baru-baru ini, acara hiburan bercorak realiti Akademi Fantasia mula bersiaran semula. Acara ini yang pernah menimbulkan kritikan dari pelbagai pihak sebelumnya ternyata masih mengekalkan identiti seninya yang bercorak bebas.

Liberalisasi budaya begitu terserlah sekali di dalam acara hiburan ini yang tergambar di dalam bentuk pergaulan, penampilan dan rentak hiburan yang dipamerkan oleh beberapa remaja-remaja terpilih. Saya secara peribadi amat bersimpati sekali dengan remaja-remaja ini yang seumpama terjebak di dalam arus liberalisasi budaya yang berkembang pesat hari ini. Banyak lagi fenomena yang sama dapat kita telusuri di dalam pelbagai acara hiburan popular yang dihidangkan kepada masyarakat menerusi pelbagai saluran media di negara kita.

Pada pandangan saya, proses liberalisasi budaya di negara kita kini yang banyak menonjolkan pengaruh kebudayaan masyarakat Barat perlu ditangani secara serius dan dihentikan dengan cepat. Ini kerana, sekiranya ia dibiarkan berleluasa, liberalisasi budaya ini pasti akan melunturkan jatidiri budaya masyarakat Malaysia yang berpaksikan tatasusila ketimuran, kemelayuan dan keislaman. Kita harus sentiasa menyedari iaitu budaya ialah cerminan jiwa bangsa.

Oleh kerana itu, corak kebudayaan yang perlu diperkasakan di negara ini hendaklah sesuatu yang sejajar dengan jatidiri bangsa Malaysia. Sebarang unsur kebudayaan yang berkembang yang dilihat bertentangan dengan jatidiri nilai dan pekerti bangsa seharusnya dikawal dan ditegah dari berkembang secara dominan. Barangkali sudah tiba masanya untuk kita menilai semula pencapaian Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang telah digubal sejak beberapa dekad yang lalu.

Dasar ini telah menghuraikan ciri-ciri kebudayaan yang harus dibangunkan dan ia digubal berasaskan semangat kebanggaan terhadap jati diri sebagai umat Melayu dan bangsa Malaysia. Penilaian keseluruhan dasar ini akan membawa kita untuk melihat ruang dan hambatan secara keseluruhan serta mengenalpasti peluang-peluang masa depan bagi memperkasakan agenda pembangunan jatidiri kebudayaan kebangsaan. Agenda memperkasakan jatidiri kebudayaan kebangsaan hendaklah dilihat satu perjuangan yang setanding dengan dengan langkah memperkasa kegiatan pendidikan dan ekonomi masyarakat.

Oleh kerana itu, pelan rancangan pembangunannya harus jelas dan bersifat sepadu. Tugas ini tidak harus lagi terletak pada satu-satu agensi kerajaan. Penglibatan seluruh elemen kemasyararakatan dan kenegaraan perlu digerakkan bagi cita-cita menjayakan pembangunan jatidiri budaya bangsa. Dalam hubungan ini, kepimpinan media tempatan haruslah menjadi agen utama agenda pemerkasaan jatidiri budaya bangsa. Saluran media yang amat berpengaruh ini harus ditumpukan kepada usaha mengembangkan kegiatan kebudayaan dalam bentuk acara seni, hiburan dan lakonan yang menonjolkan jatidiri kebudayaan kebangsaan.

Kegiatan kebudayaan yang menampilkan wajah kebudayaan yang bertentangan dengan jatidiri budaya kebangsaan haruslah disekat. Dalam hubungan ini, media tempatan tidak harus dilihat sebagai agen bagi proses liberalisasi budaya berasaskan model kebudayaan masyarakat Barat. Usaha pemerkasaan jatidiri budaya bangsa ini perlu juga melibatkan agenda penyediaan bahan atau kandungan kebudayaan itu sendiri yang mencukupi dan menarik.

Dalam hal ini, kita perlu membangunkan kegiatan kesusasteraan yang dinamik dan melahirkan lebih ramai penerbit, pengarah dan penulis skrip dan lirik seni yang berjiwa dan berjatidiri kebangsaan. Umat Islam harus menanggap agenda ini sebagai jihad dakwah. Nilai-nilai ketimuran dan keagamaan seperti tema kasih sayang antara manusia dan Pencipta dan manusia sesama manusia, nilai pengorbanan, kesungguhan, keadilan dan kesopanan harus lebih tertonjol di dalam seluruh kandungan kebudayaan. Menerusi penonjolan nilai-nilai ini, kita akan mampu memperkasakan jatidiri budaya bangsa seterusnya menyekat liberalisasi budaya berasaskan kebudayaan masyarakat asing dari terus tersebar dan berkembang di dalam kehidupan kita.

This entry was posted in Belia, Budaya, Dakwah, Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s