Ibubapa Benteng Ketahanan Sosial

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 5 April 2011, Selasa.

BANYAK resolusi dimuafakati bersama wakil dari agensi kerajaan, pertubuhan sukarela Islam dan peserta Wacana Khas Gejala Sosial: Isu Anak Tak Sah Taraf ā€“ Punca dan Penyelesaian anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), baru-baru ini. Wacana ini dikelolakan sebagai reaksi terhadap laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di mana anak tidak sah taraf yang didaftarkan sehingga 2010 berjumlah 234,647 orang. Daripada jumlah ini, 80,979 atau 34.5 peratus adalah bayi yang ibu kandungnya beragama Islam.

Antara resolusi menarik yang perlu diketengahkan ialah seruan kepada kepentingan pembangunan kepemimpinan rumah tangga sebagai satu daripada jalan penyelesaian terhadap gejala anak tidak sah taraf yang sedang berkembang di negara kita hari ini. Tumpuan khusus dalam aspek ini ialah tuntutan untuk kita mengukuhkan kepemimpinan bapa atau golongan lelaki dalam keluarga dan masyarakat. Aspek ini perlu dikongsikan kepada semua kerana beberapa faktor.

Pertama, gejala sosial yang membabitkan generasi muda hari ini boleh dikawal sekiranya kepemimpinan ibu bapa di rumah dapat berperanan dengan baik. Ibu bapa sebagai suri dan tonggak sesebuah keluarga mempunyai ruang yang amat luas dan keupayaan pengaruh yang tinggi dalam membentuk corak kehidupan anak atau ahli keluarga di bawah jagaan mereka. Faktor kedua kerana institusi keluarga adalah unit sosial terpenting dalam sesebuah masyarakat dan negara. Dalam erti kata lain, institusi keluarga boleh dianggap sebagai benteng utama dalam membina ketahanan bangsa. Kualiti hidup di peringkat institusi keluarga asas kepada kehidupan berkualiti di peringkat masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Namun, peranan penting kepemimpinan ibu bapa hari ini nampaknya semakin menurun sekiranya dilihat dari sudut merebaknya gejala sosial dalam kalangan muda mudi terutama berhubung pertambahan jumlah anak tidak sah taraf. Dalam satu perkongsian pada wacana itu, terdapat kes di mana ibu bapa langsung tidak menyedari perubahan fizikal anaknya yang mengandung tanpa nikah hinggalah ke hari kelahiran. Keadaan ini sungguh mendukacitakan. Ini antara petunjuk tahap perhubungan dan pemantauan kepemimpinan rumah tangga yang lemah terhadap warga keluarganya.

Mengapakah keadaan sebegini boleh terjadi? Sesetengah pendapat mengatakan faktor tekanan ekonomi banyak mempengaruhi tahap kepemimpinan ibu bapa dalam rumah tangga. Sesetengah ibu bapa yang menghabiskan banyak masa di luar rumah kerana mencari sumber rezeki menyebabkan kualiti waktu mereka bersama anak-anak harus digadaikan. Dalam keadaan sebegini, kehidupan harian anak tidak lagi terbimbing dengan cara terbaik. Ia juga menyebabkan proses mewarisi nilai hidup mulia dari ibu bapa kepada anak terencat.

Faktor lain ialah kelemahan dari sudut pendidikan keagamaan di rumah. Faktor ini adalah disebabkan kelemahan penghayatan agama di peringkat ibu bapa sehingga gagal memberikan satu teladan yang sempurna kepada anak mereka. Beberapa aspek agama seperti bersolat secara berjemaah, didikan akhlak terutama apabila anak berada di rumah dan di luar rumah atau pembudayaan ilmu pengajian al-Quran dan kawalan terhadap budaya berhibur secara berlebihan adalah antara aspek penting yang memerlukan penegasan dan kepemimpinan langsung daripada ibu bapa.

Sekiranya asas kerukunan kehidupan keluarga ini lemah, maka ia secara langsung akan mempengaruhi kualiti budaya dan disiplin ahli keluarga secara jangka panjang. Oleh itu, tuntutan kepada pembangunan kepemimpinan keluarga harus menjadi keutamaan pada masa kini sebagai langkah penyelesaian terhadap isu pertambahan jumlah anak tidak sah taraf. Ibu bapa harus diberi pengupayaan semula dari segi kesedaran keibubapaan dan memahami realiti dan cabaran pendidikan keluarga di era masyarakat terbuka.

Ibu bapa harus menghayati peranan dan tugas asasinya sebagai tonggak dan suri rumah tangga yang bertanggungjawab dalam membangunkan satu generasi yang kuat untuk negara. Dalam kata lain, ibu bapa hari ini tidak harus lagi mengambil sikap lepas tangan dalam menjalankan tugas membangun dan memimpin institusi keluarga masing-masing. Bagi tujuan itu, program pembangunan kepemimpinan rumah tangga perlu dijayakan secara berterusan. Kita tidak harus selesa dengan pandangan setiap ibu bapa yang mendirikan rumah tangga pasti mempelajari dengan sendiri ilmu kepemimpinan rumah tangga.

Kita juga tidak harus mengambil sikap mudah iaitu ibu bapa sudah memiliki ilmu kepemimpinan rumah tangga selepas mereka berjaya menamatkan kursus pra perkahwinan yang diwajibkan sebelum majlis perkahwinan berlangsung. Ternyata, ilmu kepemimpinan rumah tangga harus dipelajari dan dibangunkan secara berterusan. Banyak isu kekeluargaan dan kemahiran keibubapaan yang berkembang yang perlu ditekuni oleh ibu bapa secara sistematik.

Sewajarnya, dengan pelbagai cabaran yang sedang menghambat masyarakat hari ini, satu program pendidikan keibubapaan selepas berkahwin harus disertai oleh seluruh ibu bapa. Pertubuhan sukarela Islam, agensi keagamaan atau institusi masjid harus membuat inisiatif mengelolakan kursus dan seminar keibubapaan dengan lebih kerap menggunakan modul yang lebih menarik dan interaktif.

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Dakwah, Gerakan Islam, Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Tamadun, Wanita. Bookmark the permalink.

One Response to Ibubapa Benteng Ketahanan Sosial

  1. Epong Auchak says:

    salam… leyh x ajar amcm nk cr isi ibu bapa dan masyarakat tonggak pembangunan islam …. .. tuk wat asgment ..šŸ˜¦

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s