HALA TUJU ABIM

Berikut ialah teks temubual saya bersama akhbar SIASAH 18-24 Febuari  2011.

Di era tahun-tahun 70an Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menjadi badan dakwah dan gerakan Islam yang cukup berwibawa bukan saja di negara ini, di seluruh nusantara ini. Tidak salah kalau dikatakan perkembangan Islam hari ini sedikit sebanyak disumbangkan oleh Abim. Bagaimana pun sesudah Presidennya, Anwar Ibrahim menukarkan wadah dengan menyertai politik, peranan Abim juga agak menurun. Paling dirasakan ABim juga seolah kehilangan halatuju. Benarkah realiti ini dan apakah Abim menghadapi suatu keadaan yang dihuraikan. Wakil Siasah menebual Presiden Abim Dr. Muhamad Razak Idris bagi mengentahui perkembangan dalam Abim waktu ini.

S: ABIM sekarang ini kelihatan tidak bermaya, tidak seperti dulu, sejauh mana kebenarannya?

 Sekiranya yang dimaksudkan ‘tidak bermaya’ ialah tidak bersuara lantang mengkritik dasar dan amalan politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, barangkali penglihatan tersebut ada sedikit benar. Ini kerana, sejak beberapa tahun lalu, keadaan sosio-politik negara kita sudah berubah. Kelantangan suara yang dimainkan oleh ABIM sebelum ini telah diambil alih oleh beberapa pertubuhan politik yang sedia kita tahu. Suara kritis tersebut kini tersalur menerusi perikatan pembangkang seperti Barisan Alternatif sebelum ini dan sekarang ini diambil alih pula oleh Pakatan Rakyat.

Di dalam perubahan sosio-politik negara ini, maka ABIM telah banyak menumpukan kegiatannya di dalam bidang asasinya sebagai sebuah gerakan Islam iaitu menjalankan usaha dakwah dan tarbiyyah kepada masyarakat. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan ABIM dari awal, peranan pertubuhan ini sebagai ‘the critical mind of society’ atau ABIM sebagai suara dan minda kritis masyarakat sebenarnya masih berterusan. Cuma kadar nadanya berbeda antara satu waktu ke waktu yang lain. Sebab perbezaan kadar nadanya itu telah disebutkan tadi iaitu kerana perubahan sosio politik dalam negara.

Tentu kita semua masih ingat, semasa era Reformasi bermula sekitar tahun 1998, di mana pada waktu tersebut masih belum wujud lagi pakatan pembangkang sebagaimana yang telah terjelma kini, kadar nada suara kritis ABIM amat tinggi sekali. ABIM ialah pertubuhan yang terkehadapan di dalam membangkitkan kesedaran masyarakat dan memberikan mereka kefahaman tentang persoalan sebenar disebalik peristiwa tersebut. Akibatnya, beberapa pimpinan kanan ABIM telah ditahan dibawah ISA.

Oleh kerana itu, tanggapan yang melihat ABIM tidak bermaya pada pendapat saya adalah satu pandangan yang terbit dari penglihatan yang tidak menyeluruh dan ketidakfahaman terhadap sifat pergerakan dakwahnya di pentas masyarakat Malaysia.

S: Saudara baru mengambil alih kepimpinan ABIM. Apakah halatuju atau misi di bawah kepimpinan sdr?

ABIM ialah salah sebuah pergerakan masyarakat madani atau sivil yang berorentasikan Islam. Peranan pergerakan dan institusi masyarakat madani amat penting sekali di dalam struktur masyarakat moden hari ini terutama bagi sebuah negara yang menjadikan demokrasi sebagai amalan dalam pentadbiran. Dalam kerangka ini, kita akan membangunkan ABIM sebagai sebuah pertubuhan masyarakat madani yang berpengaruh, berwibawa dan kuat.

 Bagi tujuan tersebut, dalam beberapa waktu akan datang, kita akan mengukuhkan identiti ABIM dari aspek kepimpinan ilmu atau intelektual leadership kepada masyarakat terbanyak. Ia bermaksud, kita ingin kehadapan di dalam memimpin masyarakat terutama dari pembangunan fikrah atau kerangka pandang tentang sesuatu persoalan dalam pelbagai aspek kemasyarakatan dan kenegaraan. Fikrah yang akan dibangunkan ini tentu sekali bersandarkan asas kefahaman Islam yang bersifat menyeluruh dan universal atau sejagat dan berpandukan prinsip kebenaran dan keadilan.

Kita yakin, dengan sandaran fikrah ini, ABIM nanti akan dikenali sebagai sebuah pertubuhan masyarakat madani yang bersifat independence – iaitu memiliki kewibawaan sendiri. Saya berpandangan ABIM berkeupayaan memainkan peranan di dalam masyarakat di bidang ini kerana latar keahlian warga ABIM yang kebanyakan dari kalangan golongan ahli akademik dan profesional. Di samping menumpu di bidang kepimpinan ilmu, kita juga akan memperluaskan kegiatan dakwah ABIM dari aspek perkhidmatan sosial dan kemasyarakatan.

Beberapa institusi sedia ada di bawah naugan ABIM seperti di bidang dakwah kepada orang bukan Islam dan saudara baru, bidang pendidikan asas, rendah, menengah dan tinggi akan diperkasakan. Antara bidang perkhidmatan lain ialah pembangunan ekonomi belia, pembangunan keluarga dan wanita serta bantuan bencana dan kemanusiaan.

Kita yakin, dua bidang ini, ilmu dan perkhidmatan akan dapat mengukuhkan kedudukan ABIM sebagai sebuah pergerakan masyarakat madani di negaraini. Namun, ini tidak pula bermakna kita akan melupakan tugas utama ABIM sebagai sebuah gerakan dakwah massa. ABIM akan terus memberikan sikapnya yang jelas dan tegas di dalam memartabatkan kedudukan agama dan umat Islam di negara ini dan akan terus berperanan sebagai jurubicara umat pada sepanjang masa.

S: Apakah pendekatan atau perubahan yang sdr akan lakukan untuk melonjak ABIM sebagai pertubuhan yang berilmu?

Kita bercadang untuk memperluaskan amalan perkongsian pintar atau smart partnership dengan institusi ilmu di dalam dan luar negara. Jaringan kerjasama dengan institusi pemikiran dan pusat pengajian tinggi akan terus diperhebatkan dalam beberapa waktu akan datang. Jaringan pintar ini juga akan melibatkan usaha pengukuhan kerjasama dengan golongan ilmuwan dan cendekiawan dalam segenap peringkat. ABIM pada masa depan harus di dokong oleh golongan ini terutama dari kalangan ilmuwan muda di dalam pelbagai kepakaran.

Ini penting bagi membolehkan kita menyumbang peranan secara berkesan di dalam aspek kepimpinan ilmu sebagaimana telah dihuraikan tadi. InsyaAllah, di dalam kita melonjakkan identiti ABIM sebagai pertubuhan ilmu, kita akan meningkatkan jumlah penerbitan buku-buku ilmiah terutama di bidang dakwah, pemikiran, kenegaraan dan ketamadunan. Siri wacana, konvensyen dan seminar berkaitan pelbagai isu-isu utama dakwah masa kini seperti persoalan Islam, demokrasi dan globalisasi akan lebih rancak dianjurkan pada beberapa waktu mendatang.

Kalau ABIM sekarang memang terdapat perbezaan dengan ABIM sewaktu di bawah pimpinan sdr DS Anwar Ibrahim dan rakan-rakan nya terdahulu, apa yang paling ketara pada sdr. Kenapa berlaku perbezaan itu. Apakah peranan dan misi ABIM telah berubah? Kalau kita memahami sifat dakwah ABIM yang bersifat dinamik dan progresif, kita akan dapati iaitu tidak ada sebarang perbezaan antara era DS Anwar Ibrahim dan era-era kepimpinan selepasnya.

Perbezaan-perbezaan yang dilihat wujud tersebut sebenarnya ialah jelmaan atau manifestasi dakwah yang muncul akibat dari tindak balas terhadap persekitaran masyarakat yang berbeza. Prinsip atau sumber kemunculan jelmaan-jelmaan ini tetap sama iaitu cita-cita bagi melakukan proses islah atau usaha pembaikan, perubahan dan pembaharuan dalam masyarakat agar sejajar dengan cara hidup Islam yang menyeluruh. Perbezaan-perbezaan yang wujud di pelbagai era tersebut juga terjadi kerana kelainan tumpuan dan fokus kegiatan dakwah pada zaman-zaman yang berbeza.

Pada zaman DS Anwar, jelmaan kegiatan dakwah ABIM terbentuk dalam bentuk protes dan kelantangan kritikan yang sebahagiannya diluahkan menerusi demonstrasi. Kegiatan ini barangkali sesuai pada era tersebut di mana masyarakat Melayu terutama berada pada tahap keterpinggiran yang amat menyayat terutama dalam aspek peluang pendidikan dan ekonomi. Ia adalah akibat dari perasaan kecewa masyarakat terbanyak terhadap beberapa langkah pemerintah yang dilihat tidak serius membela dan mengangkat martabat rakyat terbanyak. Namun, setelah era awal tersebut, keadaan masyarakat telah berubah. Masyarakat era 1980an dan 1990an sebagai contoh berada di era perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah memperlihatkan kemunculan dan penambahan kelompok kelas menengah dari kalangan Bumiputra. Pemerintah juga mengambil sikap lunak dan bertimbangrasa terhadap beberapa tuntutan masyarakat terutama dari aspek pembangunan agama dan pendidikan.

Realiti baru menuntut kepada suatu tindak balas dakwah yang berlainan dari era sebelumnya. Oleh kerana itu, di era-era ini, ABIM lebih dikenal sebagai rakan dalam pembangunan negara. Pada alaf baru ini, cabaran dakwah ABIM berdepan dengan era masyarakat terbuka dan globalisasi. Kita berdepan dengan era di mana agama Islam berdepan dengan fenomena Islamophobia – rasa gerun dan takut terhadap unsur-unsur keislaman. Dalam konteks negara pula, kita menyaksikan berlaku banyak salah faham antara pelbagai penganut agama. Tahap keharmonian masyarakat majmuk kini dilihat retak.

Kita juga sedang menyaksikan era kebangkitan kesedaran masyarakat untuk berpartisapasi di dalam satu sistem demokrasi yang adil dan saksama. Mereka juga mula memahami tentang kepentingan untuk kita menegakkan satu bentuk tatakelola kerajaan yang berintegriti dan telus bagi ketahanan dan pembangunan negara di pentas globalisasi. Kesemua realiti baru masyarakat ini menuntut ABIM hari ini membentuk satu tindakbalas dakwah yang berlainan dengan pengalaman ABIM semasa di era 70an, 80an dan 90an. Dalam kata lain, perbezaan-perbezaan tersebut ialah kerana kelainan zaman yang dialami oleh setiap generasi kepimpinan ABIM.

S: Isu perpaduan ummah menjadi isu sepanjang masa, khususnya membabitkan orang politik. Serius atau hanya isu yang bermusim sahaja?

Sebarang agenda besar yang ingin diperkenalkan hanya akan berjaya apabila ia dapat menunjukan dengan jelas di dalam hati dan sanubari rakyat terbanyak akan kepentingan umumnya atau maslahah am nya. Sekiranya rakyat terbanyak merasakan sesuatu usaha perjuangan digerakkan bagi tujuan-tujuan yang singkat atau untuk mencapai matlamat yang tidak menyeluruh, maka ia tidak mungkin akan dapat dijayakan. Dalam konteks agenda perpaduan ummah ini, ABIM sejak dari dulu lagi mendokong akan kepentingannya.

Namun, prinsip kita di dalam memperjuangkan isu ini ialah bagi memastikan seluruh kepentingan umat dan negara dicapai. Perpaduan ummah ialah asas bagi mencapai keutuhan seluruh rakyat Malaysia. Untuk itu, ia harus melibatkan seluruh pihak yang menjadi unsur dan segmen ummah tersebut. Saya melihat sekiranya agenda perpaduan ummah ini hanya dikhususkan kepada dua parti utama iaitu UMNO dan PAS sahaja, selagi itu ia tidak akan dapat dijayakan. Ia juga seharusnya melibatkan parti PKR dan institusi masyarakat madani yang pelbagai dan meluas yang berkongsi cita-cita dan aspirasi ummah yang sama.

Penglibatan semua pihak ini juga harus disandarkan kepada satu matlamat yang jelas pula iaitu bagi tujuan untuk kita membina satu sistem kehidupan bernegara yang berlandaskan hukum di atas prinsip keadilan dan kesaksamaan Islam yang bercorak sejagat. Sekiranya hal-hal asas ini tidak dapat disempurnakan, selama itulah ia akan ditanggap sebagai satu bentuk isu yang bermusim.

S: Di dalam hal ini bagaimana sikap dan di garis mana ABIM berdiri… apakah peranan dan nasihat ABIM?

Kita berpendapat, sekiranya kita jujur bagi memupuk perpaduan ummah ini, kita harus memulakan dengan mewujudkan persekitaran atau budaya perpaduan tersebut terlebih dahulu. Dalam hal ini, tuduh menuduh dan politik yang bercorak fitnah hendaklah terlebih dahulu dihentikan. Suasana ukhwah dan persaudaraan Islam hendaklah diperhebatkan dan ditunjukkan secara terbuka. Media-media haruslah lebih bertanggungjawab di dalam memupuk budaya perpaduan ini.

Apa yang diperhatikan sekarang ini tidak begitu. Apa sesetengah pemimpin berbicara tentang perpaduan, sesetengah media perdana pula berterusan membangkitkan permusuhan. Ini menyebabkan rakyat tidak melihat keikhlasan di dalam usaha ini. Ia seolah seperti bermuka-muka sahaja dan hanya sekadar isu untuk bualan politik semata-mata. Kita amat sedih dengan perkara ini.

S: Dulu timbul tanggapan ABIM mirip kepada satu pihak, maksudnya cenderung kepada parti politik tertentu terutamanya pembangkang , sejauh mana kebenaran itu?

Sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini, dinamika dakwah ABIM tidak bersifat statik. Ia bercorak progresif. Kita sebuah pergerakan yang non-partisan terhadap mana-mana parti politik. Sikap partisan atau condong kepada sesebuah parti ialah berdasarkan perkongsian isu-isu tertentu yang diperjuangkan oleh parti-parti tersebut. Kerangka prinsip kebenaran dan keadilan ialah sandaran di dalam tindak tanduk sikap politik ABIM. Di dalam sejarah pergerakan ABIM, kita pernah begitu akrab dengan pihak kerajaan terutama apabila Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam diperkenalkan beberapa dekad lalu. Manakala dalam di era reformasi, sikap kita, sebagaimana diketahui, bertentangan. Dinamika ini terjadi kerana pegangan prinsip non-partisan ABIM di dalam menanggapi pelbagai persoalan yang muncul di dalam persekitaran masyarakat.

S: Sekarang terdapat Muafakat yang digerakkan oleh bekas pimpinan ABIM atau anggota lama , apakah peranan Muafakat ini.Terdengar juga Muafakat berusaha menyatukan ABIM sejauh mana kebenarannya?

ABIM tidak menghalang inisiatif oleh mana-mana bekas ahli ABIM untuk menubuhkan institusi masyarakat madaninya. Kita yakin, pertumbuhan dan percambahan pertubuhan sivil ini akan merancakkan dan memeriahkan kegaiatan dakwah di negara ini. Pertubuhan MUAFAKAT ialah salah satu dari inisiatif tersebut. Tetapi, saya suka menyebutkan iaitu ABIM sebagai organisasi telah menubuhkan satu pertubuhan khusus untuk menyatukan seluruh warga ABIM. Pertubuhan tersebut dikenali Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Ini adalah pertubuhan yang mempunyai hubungan organisasi langsung dengan ABIM. Ia sekarang dipimpin oleh Dato Dr Siddiq Fadzil, Presiden ke 3 ABIM.

S: Macamana kedudukan lujnah (biro) dalam ABIM, misalnya Helwa Wanita dan lain-lainnya?

Biro-biro di dalam ABIM masih bergerak aktif. Kesemua struktur jawatankuasa ABIM kini dipecahkan kepada beberapa fokus utama bagi memastikan identiti ABIM sebagai organisasi ilmu, perkhidmatan dan gerakan massa dapat dijayakan secara tersusun.

S: Apakah peranan ABIM di dalam politik serantau? Atau ABIM hanya menunjukkan kepada dakwah dan tarbiah dalaman saja?

 Dakwah dan politik tidak boleh dipisahkan. Malah, urusan politik merupakan salah satu aspek penting kegiatan dakwah. ABIM tidak begitu menumpu di bidang politik serantau secara langsung. Namun, kita banyak menyumbang di dalam menimbulkan kesedaran tentang pendidikan politik demokrasi di Asia Tenggara. Beberapa seminar dan buku telah diterbitkan dibidang ini. Dalam kata lain, konsep tarbiyyah dalam ABIM bersifat menyeluruh. Ia tidak sekadar berkaitan pembangunan dalaman individu. Pendidikan politik adalah sebahagian dari unsur dari tarbiyyah ABIM. Selain itu ialah pendidikan ekonomi, pendidikan sosial, pendidikan keluarga dan pendidikan antarabangsa dalam usaha dakwah ini. .

This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s