Mengenang Allahyarham Ilani

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 28 Febuari 2011

UMAT Islam dan seluruh penganut agama di negara ini baru saja kehilangan Datuk Hajah Ilani Isahak (1953-2011) yang kembali ke rahmatullah. Beliau seorang aktivis dan pemimpin masyarakat yang banyak menyumbang jasa kepada pembangunan negara sepanjang usianya. Beliau paling menonjol sebagai Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPKA). Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk meningkatkan jalinan muhibah antara penganut agama di negara ini.

Sebagai seorang anggota jawatankuasa ini, kehilangan Allahyarham Ilani amat dirasai. Saya sempat bersama beliau di beberapa mesyuarat dan pertemuan antara penganut agama adalah kenangan yang amat bermakna terutama untuk terus terbabit menjayakan cita-cita murni JKMPKA yang beliau pengerusikan sebelum ini. Jawatankuasa berkenaan amat penting dijayakan demi kepentingan agama dan negara dalam mendidik dan memupuk kesedaran memandangkan ia diasaskan bagi memupuk sikap masyarakat Malaysia untuk saling menghargai kemajmukan agama di negara kita hari ini.

 Antara sumbangan penting Ilani ialah mempengerusikan bengkel kerja antara pemimpin penganut agama bertujuan mewujudkan kerangka dan agenda kerja JKMPKA. Pada bengkel itu, seluruh pimpinan agama bersepakat menjayakan visi atau cita-cita bersama JKMPKA iaitu ‘Ke Arah Malaysia Harmoni dan Muhibah’.

Bagi mencapai cita-cita besar ini, ahli jawatankuasa bertekad merealisasikan misi JKMPKA iaitu ‘untuk menjadi mekanisme dialog dan mediasi bagi mewujudkan persefahaman dan keharmonian antara penganut agama ke arah membina Malaysia sebagai sebuah negara berjiwa muhibah’. Dengan pemuafakatan terhadap visi dan misi ini, JKMPKA kini boleh dikatakan mantap dari sudut keorganisasian dan berada pada landasan betul dalam konteks membangunkan masyarakat berjiwa muhibah antara penganut agama. Sekiranya cita-cita dan usaha bermakna ini dapat dipupuk penghayatannya secara berterusan, kita yakin impian mewujudkan masyarakat menghargai kemajmukan agama akan dapat dijelmakan.

Bagi mengukuhkan impian ini, JKMPKA bersetuju menubuhkan empat jawatankuasa kerja bagi menggerakkan aktiviti bersesuaian mencapai visi dan misinya. Jawatankuasa kerja itu ialah Jawatankuasa Kerja Persefahaman Terhadap Isu-isu Antara Penganut Agama; Jawatankuasa Kerja Aktiviti-Aktiviti Bersama; Jawatankuasa Kerja Mediasi Antara Penganut Agama dan Jawatankuasa Acara Bersama Kerajaan dan Pemimpin Masyarakat. Menerusi empat jawatankuasa ini, beberapa aktiviti telah dicadangkan. Kita yakin sekiranya segala aktiviti ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, kita bakal menyaksikan persekitaran kehidupan beragama yang harmoni dan muhibah lagi meriah di negara ini pada masa depan. Menghargai kemajmukan dalam apa juga bentuk dan manifestasinya bukanlah sesuatu yang asing dari sudut pandangan Islam.

Dalam tradisi kehidupan masyarakat Islam sendiri, kemajmukan hidup masyarakatnya adalah satu fenomena amat jelas. Seorang sarjana, Azyumardi Azra mencatatkan iaitu fenomena kemajmukan masyarakat Muslim adalah realiti dan ia tumbuh kerana kelainan persekitaran sejarah, budaya, politik dan ekonomi masyarakat itu. Menurut beliau, dalam konteks masyarakat Islam sendiri, susunan kemasyarakatannya dapat dipecahkan kepada sekurang-kurangnya lapan kelompok iaitu, Arab, Parsi, Turki, Sudan (Afrika berkulit hitam), Benua Kecil India, Melayu-Indonesia, Sino-Islamik dan Hemisfera Barat hemisphere. Begitulah realiti kemajmukan yang dialami dalam konteks masyarakat Islam secara keseluruhan.

Sekiranya ditinjau dari sudut doktrin keagamaan pula, pemikiran mengenai realiti kemajmukan terutama sekali dalam soal kepelbagaian kepercayaan dalam kehidupan manusia telah mendapat perbahasan jelas dalam al-Quran. Dalam kaitan inilah, seorang lagi sarjana Muslim, Hussin Mutalib menyatakan sikap agama Islam mengenai kemajmukan agama ini amat jelas. Inilah yang tergambar dalam surah al-Kafirun (Al-Quran,109:1-6), yang mana umat Islam dikehendaki membuat penegasan mengenai kelainan dasar antara kepercayaan agamanya dengan agama lain dan oleh kerana itu setiap penganut agama hendaklah membuat ketetapan dan pilihan sendiri tentang kepercayaan dan anutan mereka. Ketetapan ini tentunya juga antara lain bagi menjelaskan secara khusus kepada penganut agama Islam iaitu sebarang bentuk pemaksaan kepercayaan agama Islam terhadap penganut agama lain adalah ditegah.

Tinggalkan komen