MENJAYAKAN ISLAMISASI

Oleh Muhamad Razak Idris

Tersiar di Berita Harian, 18 Januari 2011, Selasa

Perbincangan tentang kepentingan menjayakan proses Islamisasi sebagai satu tema dakwah agak dingin sejak akhir-akhir ini. Pada sekitar tahun 1980-an dan 1990an, diskusi tentang tema ini sungguh rancak dan segar sekali. Pada pandangan saya, usaha menyegarkan semula diskusi dan usaha penjayaan Islamisasi harus digerakkan semula secara aktif terutama oleh pertubuhan dan gerakan dakwah semasa.

Menjayakan Islamisasi bermaksud mengusahakan satu proses pengislaman masyarakat secara menyeluruh. Proses ini juga boleh difahami sebagai satu kegiatan dakwah bagi mengembalikan seluruh dimensi dan aturan kehidupan masyarakat sejajar dengan tatacara dan kerangka syariah Islamiyyah. Usaha murni ini adalah bertepatan dengan pemahaman tentang pengertian agama Islam itu sendiri iaitu satu cara hidup yang menyeluruh dan lengkap.

Dengan kata lain, penyempurnaan pengertian Islam tersebut harus melalui satu proses dakwah secara berterusan dan ia boleh dicapai menerusi usaha Islamisasi atau pengislaman masyarakat itu sendiri. Menjayakan Islamisasi seharusnya mendapat dokongan semua pihak. Ini kerana kegiatan dakwah ini mempunyai beberapa ciri yang unik dan istimewa. Antaranya ialah pemahaman bahawa pengislaman sebagai satu proses perubahan terjadi secara dinamik. Dalam kata kain, usaha pengislaman bagi mengembalikan masyarakat kepada tatacara kehidupan Islam harus melalui satu proses yang menyeluruh.

Perubahan ke arah pengislaman masyarakat secara bermakna hanya akan terjelma apabila segenap unsur dan dimensi dalam kehidupannya dapat digerakkan secara sepadu dan menyeluruh. Pemahaman tentang proses perubahan yang bersifat sebegini adalah sejajar dengan realiti masyarakat itu sendiri yang berada di dalam suasana yang dikenali sebagai bersifat organik. Ia bermaksud, seluruh dimensi kemasyarakatan berada di dalam keadaan saling berkait dan berhubungan di antara satu dengan yang lain. Tidak ada satu unsur pun yang mampu tumbuh dan berkembang menuju perubahan secara sendirian.

Oleh kerana itu, sebarang usaha bagi menjayakan proses Islamisasi atau pengislaman masyarakat harus menerusi satu usaha yang bersifat menyeluruh dan sepadu. Antara sifat unik dan istimewa yang lain berkenaan dengan proses Islamisasi ini ialah pegangan bahawa proses perubahan harus berlaku secara beransur-ansur. Dalam kata lain, pengislaman masyarakat sebagai satu proses perubaban harus terjadi secara bertahap-tahap berdasarkan kadar-kadar yang sesuai dengan realiti atau keadaan masyarakat tersebut. Menerusi pegangan tentang sifat perubahan yang bersifat beransur-ansur ini, ia memberi maksud bahawa usaha pengislaman masyarakat tidak harus berlaku di dalam bentuk paksaan atau radikal. Pengislaman yang berlaku menerusi proses perubahan yang bersifat sebegini selalunya tidak akan menghasilkan natijah yang bermakna. Inilah antara dua sifat proses pengislaman yang harus menjadi asas penting di dalam kita memahami keperluan dan kepentingan terhadap usaha menjayakannya pada masa kini.

Untuk pengentahuan kita, Islamisasi sebagai satu tema dakwah lahir dari satu sejarah peradaban Islam yang panjang. Pada hakikatnya, Islamisasi amat sinonim sekali dengan sifat agama Islam itu sendiri. Sebagaimana telah kita sedia ketahui, penurunan risalah Islam bertujuan bagi menjayakan proses perubahan dan pembaharuan kepada umat manusia di dalam segenap aspek kehidupan. Ia dijayakan menerusi saluran dakwah dan tarbiyyah secara menyeluruh meliputi kepercayaan, kefahaman dan akhlak.

Namun, tuntutan terhadap Islamisasi bertambah mendesak sekali kini setelah peradaban Islam berada pada tahap kelemahan dan kejatuhannya di era semasa. Dalam hubungan ini, menjayakan Islamisasi ialah merujuk kepada usaha membina kekuatan semula masyarakat Islam dan memulihkan semula peradabannya. Matlamat terakhir Islamisasi ialah bagi membina dan membangunkan semula satu ummah yang kuat sehingga mampu digelar sebagai ummat terbaik atau ‘Khayra Ummah’.

Oleh itu, pembinaan ummah terbaik adalah satu tuntutan asas bagi usaha menangani cabaran kemunduran peradaban yang sedang dialami oleh umat Islam hari ini. Berasaskan kerangka cita-cita dan matlamat inilah, Islamisasi sebagai satu tema dakwah dijayakan oleh para ilmuwan dan pendakwah. Proses penjayaan ini telah dilangsungkan sekian lama dan telah menghasilkan natijahnya yang tersendiri. Antara kesannya ialah kemunculan suatu fenomena yang sering dirujuk di dalam diskusi pemikiran sebagai ‘gelombang kebangkitan Islam’ atau al-nahdah al-Islamiyyah di seluruh dunia Islam.

Di negara kita juga, proses Islamisasi telah dijayakan sejak berabad yang lalu dan ia sumbangkan oleh ramai tokoh ilmuwan dan pendakwah. Tumpuan awal proses Islamisasi ini ialah di bidang pendidikan. Fenomenanya dapat dilihat menerusi pertumbuhan pesat sekolah-sekolah beraliran agama dan madrasah-madrasah rakyat. Bidang lain yang menonjol juga ialah menerusi kegiatan dakwah bersifat kuliah dan penerbitan bahan-bahan bacaan dan rujukan bercorak keislaman.

Proses pengislaman banyak tertumpu di bidang pendidikan kerana ia didorong oleh satu kefahaman iaitu sebarang bentuk perubahan yang ingin dijayakan harus bermula dari perubahan nilai hidup. Di dalam hal ini, pendidikan menjadi saluran bagi pembinaan nilai-nilai luhur meliputi kepercayaan yang hakiki, pembangunan fikrah yang positif dan akhlak yang terpuji sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam. Usaha pengislaman masyarakat menerusi bidang pendidikan di negara kita mencapai tahap kemuncak yang boleh dibanggakan menerusi penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ia adalah institusi tertinggi yang dibangunkan bertujuan bagi membangunkan satu model pendidikan yang bercorak keislaman.

 Oleh kerana itu sekiranya kita telusuri kegiatan pendidikan di UIAM, aspek pengislaman ilmu dan pengintegrasiannya dengan ilmu-ilmu moden menjadi ciri terpenting seluruh kurikulum pengajiannya. Namun, ini tidak bermakna usaha pengislaman di bidang pendidikan sudah selesai dan sempurna.

Di dalam kita bergembira dengan pencapaian Islamisasi di bidang pendidikan ini, ia tidak harus melalaikan kita akan tuntutan untuk terus menjayakan kegiatan dakwah di dalam pelbagai bidang lain lagi yang masih belum diterokai secara menyeluruh. Sejak akhir-akhir ini kita berasa amat lega dan senang melihat pertumbuhan proses Islamisasi di bidang ekonomi walaupun masih banyak ruang lagi yang perlu ditingkatkan dan dijayakan.

Untuk beberapa waktu mendatang, usaha Islamisasi harus diberi tumpuan di dalam empat bidang utama iaitu sosial, kebudayaan, politik dan media. Kepentingan bidang-bidang ini kini begitu menuntut sekali memandangkan masyarakat kita sedang mendepani era masyarakat terbuka. Pembinaan jatidiri masyarakat Malaysia yang utuh sebagai salah satu dari matlamat proses pengislaman harus didokong oleh segenap bidang kehidupan secara menyeluruh tanpa terkecuali.

Kita yakin usaha menjayakan Islamisasi di empat bidang tersebut akan memberikan satu natijah perubahan yang bermakna untuk masyarakat dan negara ini pada masa depan.

This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s