MENANGANI ISLAM FOBIA MENERUSI DIALOG ANTARA AGAMA

Oleh Muhamad Razak Idris

Tersiar di Berita Harian, 7 Oktober 2010

ISLAMOFOBIA yang kini tambah berleluasa perlu ditangani menerusi pendekatan yang menyeluruh. Ia harus meliputi aspek pengkajian terhadap punca permasalahannya dan pada masa sama keperluan kepada usaha pemupukan persefahaman antara agama dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Kita harus berasa bersyukur kerana kesedaran kepentingan usaha menangani fenomena Islamofobia ini mendapat perhatian segenap pihak. Paling menggembirakan kita dalam hal ini ialah pembabitan langsung pihak kerajaan dalam usaha menanganinya.

Baru-baru ini, saya berkesempatan menghadiri Majlis Muhibah Perdana Menteri Bersama Pemimpin Agama bersempena Sambutan Hari Malaysia di Kementerian Kewangan. Acara yang sederhana ini, menghimpunkan ramai pemimpin agama daripada kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Pada perhimpunan ini, pemimpin agama mengambil kesempatan daripada ruang diberikan untuk saling bertanya khabar mengenai hal ehwal keadaan kehidupan peribadi dan keagamaan masing-masing di dalam suasana yang amat mesra dan bersahaja.

Pada acara itu, semua pemimpin agama berbesar hati atas komitmen dan kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberikan peruntukan khas kepada Jawatankuasa Mempromosikan Keharmonian Persefahaman Antara Penganut Agama yang dipengerusikan Datuk Ilani Ishak.

 Bagi masyarakat Islam, ia dianggotai oleh wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) dan Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD). Bagi masyarakat bukan Islam, ia dianggotai oleh Majlis Perundingan Malaysia Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) dan Interfaith Spritual Fellowship (INSAF).

Pertemuan secara tidak formal sebegini antara tokoh dan pemimpin agama adalah satu usaha amat murni dan harus diteruskan dan diperluaskan dari semasa ke semasa. Usaha ini harus dilihat sebagai satu pendekatan menyeluruh yang penting di dalam rangka untuk kita menangani Islamofobia. Seperti diulas oleh ramai penulis dan pengkaji berhubung fenomena Islamofobia ini, ia adalah satu gejala yang terbit daripada sikap salah sangka dan prejudis.

Sikap ini adalah satu daripada penyakit rohani yang menimpa masyarakat manusia dan ia boleh terjadi kepada sesiapa saja tanpa mengira latar belakang agama. Sikap berburuk sangka ini ialah satu penyakit yang muncul disebabkan oleh hati yang tertutup untuk menerima dan menghargai orang lain. Apabila hati tertutup, maklumat dan pandangan negatif akan memenuhi ruang tanggapan terhadap orang lain dan ini akan membawa kepada timbulnya rasa takut, gerun dan benci seperti yang tergambar di dalam fenomena Islamofobia.

Ruang pertemuan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini terutama membabitkan pemimpin mereka harus dilipatgandakan. Menerusi ruang yang terbentuk, ia membuka kepada kegiatan dialog antara agama. Kita mengharapkan menerusi ruang sebegini hati-hati manusia yang sebelum ini terpenjara oleh tanggapan yang tidak tepat tentang orang lain akan dapat dibebaskan.

Pertemuan dan interaksi memberi peluang kepada semua pihak untuk memahami dan mengalami keadaan atau realiti orang lain secara langsung. Keadaan ini tentu sekali akan membantu dalam membuka lembaran pengalaman baru berkenaan dengan tanggapan yang sahih terhadap kemurnian agama, sikap, pendirian dan kebudayaan masyarakat yang pelbagai.

Dialog antara agama amat luas dan ia juga meliputi hal ehwal kebudayaan dan aktiviti sosial yang bersifat ringan. Kegiatan dialog menerusi pendekatan kebudayaan boleh dijayakan secara bersahaja seperti penganjuran kegiatan ziarah ke rumah tokoh agama daripada pelbagai kaum, lawatan ke pusat ibadah, riadah dan kesukanan dan menjayakan program khidmat kemasyarakatan merentasi batas agama.

Kita mendapati tahap kegiatan dialog dalam bentuk kebudayaan ini masih lagi rendah dalam masyarakat agama di negara kita sedangkan ia suatu usaha agak mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Barangkali satu usaha pengkajian harus dijalankan bagi mengenalpasti punca dan halangan dari sudut kebudayaan dan pemikiran yang menghalang usaha ini daripada menjadi suatu amalan meluas.

Di samping aspek kebudayaan ini, usaha dialog ke arah persefahaman agama juga memerlukan satu institusi yang berwibawa yang boleh mendorong pergerakannya secara lebih rancak. Dalam hal ini, kita semua harus memberi sokongan terhadap penubuhan Jawatankuasa Mempromosikan Keharmonian Persefahaman Antara Penganut Agama. Seperti dijelaskan sebelum ini, kesungguhan kerajaan dalam menjayakan jawatankuasa ini harus dipuji.

Bagi pihak ABIM yang juga antara pertubuhan yang terbabit dalam jawatankuasa ini, kita berharap kerajaan terus memberi sokongan dalam bentuk fizikal, moral dan kewangan bagi memastikan langkah pengupayaannya dapat dilakukan secara berterusan. Kita berpendapat jawatankuasa ini satu inisiatif terbaik pada masa kini bagi tujuan meningkatkan usaha mencari persefahaman dan memperbanyakkan ruang pertemuan dan kegiatan kebudayaan antara agama.

Kita juga yakin, sekiranya jawatankuasa ini diurus secara telus dan ikhlas, mengamalkan sikap keterbukaan dan menghormati hak dan kemuliaan agama, ia mampu menjadi satu wahana berkesan ke arah memupuk masyarakat Malaysia yang kuat berteraskan prinsip agama yang sejagat.

 Apa yang lebih penting juga ialah untuk kita menyumbang di dalam menangani gejala Islamofobia di dalam negara terlebih dulu seterusnya menjadikan negara ini sebagai negara teladan dari aspek kerukunan hidup beragama.

Dalam konteks masyarakat Islam, tugas menangani Islamofobia dengan pelbagai bentuk pendekatan yang menyeluruh adalah cabaran terbesar dakwah masa kini dan seluruh masyarakat Islam harus terbabit secara bersama menjayakannya.

This entry was posted in Belia, Dakwah, Dialog Peradaban, Gerakan Islam, Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s