MEMAHAMI ISLAM PHOBIA

Oleh Muhamad Razak Idris

Tersiar di Berita Harian, 22 September 2010, Rabu 

Terdapat dua kemungkinan utama yang membawa kepada peristiwa pembakaran al-Quran oleh beberapa individu dan puak pelampau agama yang dipelopori oleh Terry Jones, seorang paderi di Amerika Syarikat baru-baru ini. Kemungkinan pertama ialah, seruan terhadap usaha yang biadab dan tidak bertamadun tersebut memang suatu provokasi yang terancang. Ia boleh ditanggap sebagai antara rentetan usaha bersiri oleh kumpulan individu berkepentingan bagi memastikan agama Islam dan penganutnya terus dicemar dan dihina. Usaha ini ialah sebahagian dari strategi serangan psikologi dan kebudayaan bagi memastikan imej Islam terus terpenjara di dalam lingkaran persepsi yang negatif dan berbahaya untuk didekati, malah sebagai suatu ancaman terhadap tradisi ketamadunan Eropah pada masa kini.

Sebagaimana telah kita ikuti sebelum seruan pembakaran al-Quran ini dianjurkan, rentetan lain beberapa waktu terdahulu ialah tindakan biadap kartunis dari sebuah negara Eropah yang melakarkan lukisan yang mengeji kehidupan Nabi Muhammad. Atas nama kebebasan bersuara, usaha-usaha yang keji mencemarkan unsur-unsur kesucian di dalam sesebuah agama telah dibenarkan berleluasa sehingga mengguris hati dan perasan jutaan masyarakat Islam seluruh dunia.

Kemungkinan kedua yang membawa kepada peristiwa pembakaran al-Quran ini juga ialah kerana kejahilan masyarakat Eropah terhadap agama Islam itu sendiri. Sesetengah individu dan kelompok masyarakat Eropah khususnya memperoleh pengentahuan tentang agama Islam dan penganutnya menerusi cara yang tidak tepat. Tanggapan negatif terhadap agama Islam adalah berpunca dari laporan media massa yang bersikap perjudis dan bias terhadap Islam dan ajarannya. Akibat dari kejahilan ini ialah kemunculan perasaan benci dan takut terhadap apa juga unsur yang memaparkan atau mengandungi imej Islam. Kesan dari rasa terancam ini telah mendorong pula perlakuan-perlakuan yang tidak bertamadun bagi memberi tindakbalas terhadap ancaman yang dihadapi.

Inilah antara dua faktor terdekat yang telah membawa kepada peristiwa yang amat mendukacitakan sekali bagi para penganut agama di seluruh dunia. Ia sungguh mendukacitakan kerana peristiwa sebegini terjadi di sebuah negara yang menobatkan dirinya sebagai masyarakat yang bertamadun sekali di dunia ini. Namun, dalam masa yang sama, kedapatan sebahagian para penduduknya pula memaparkan watak yang tidak bertamadun sekali sehingga berkesanggupan mencemarkan kitab suci sesebuah agama tanpa ada rasa tanggungjawab dan penghormatan terhadap kemulian orang lain. 

Disebalik rasa dukacita kita terhadap kesanggupan sesetengah individu dan puak pelampau agama menghina kesucian agama yang kita anuti, sebagai penganut agama Islam, kita jangan sesekali melatah dan membuat tindak balas secara tidak bertamadun serupa juga. Sebagai penganut agama Islam yang menekankan pendamaian dan kesejahteraan, kita jangan  terbabit dengan kegiatan membakar kitab suci penganut agama lain. Protes dan bantahan terhadap perbuatan biadab tersebut harus kita lakukan bagi menunjukkan sikap dukacita dan ketidakpuasan hati terhadap amalan yang tidak bertamadun tersebut. Namun, ia harus diterjemahkan menerusi saluruan yang aman dan bertamadun.

Sebenarnya, sejarah sikap prejudis dan bias masyarakat Eropah terutamanya terhadap agama Islam sekiranya ditelusuri telah berlangsung dengan agak lama. Peristiwa lampau terutamanya perseteruan secara bersenjata sebagaimana telah berlaku menerusi pertelingkahan yang sering dirujuk sebagai ‘Perang Salib’ beberapa kurun lalu banyak mempengaruhi corak dan rentak perhubungan antara masyarakat Islam dan Eropah pada masa kini.

Di era semasa hari ini, pandangan prejudis dan bias terhadap agama Islam dan tamadunnya mula dibincangkan secara meluas setelah teori pertembungan tamadun diperkenalkan oleh seorang ahli teori politik dari Amerika Syarikat bernama Sameul Huntington dalam sekitar tahun 1993. Menerusi teori ini, beliau cuba menggambarkan pola pertembungan dunia pada masa depan akan dipengaruhi oleh faktor ketamadunan. Di dalam tanggapan ini, tamadun Islam adalah antara peradaban yang berpotensi besar mencabar kestabilan dunia pada masa akan datang. 

Teori yang diperkenalkan oleh Huntington ini bukanlah suatu yang terlalu baru dalam konteks masyarakat pada waktu itu sekiranya ditelusuri secara teliti. Namun, ia menjadi titik tolak penting kerana sumbangannya di dalam membuatkan pengesahan secara akademik terhadap sentimen prejudis dan bias terhadap agama Islam yang telah pun wujud di dalam bentuk persepsi umum yang telah berlarutan sebelumnya.

Persepsi negatif terhadap agama Islam ini disumbangkan dengan amat berkesan oleh laporan media massa terhadap pelbagai peristiwa dan fenomena kebudayaan dan sosial di dalam dunia Islam semasa. Persepsi prejudis terhadap Islam ini dapat kita perhatikan di dalam pelbagai laporan akhbar di mana agama dan penganutnya sering  dikaitkan dengan unsur keganasan, kemunduran dan ketidaktamadunan.

Sumbangan media massa di dalam membina tanggapan negatif terhadap Islam ialah menerusi penciptaan istilah-istilah seperti ‘terroris Islam’, ‘militan Islam’, ‘extremis Islam’ atau ‘Islam fundamentalis’.  Selain aspek pengistilahan, agama Islam juga sering dikaitkan dengan agama bagi orang-orang Arab, agama yang menekan dan mengeksploitasi wanita, agama yang anti kepada kemajuan dan moderniti dan agama yang menentang hak asasi manusia.

Dengan bersumberkan maklumat dari ahli-ahli akademik yang juga bersifat prejudis, media massa telah menyebarkan kefahaman dan maklumat yang tidak tepat terdapat agama Islam dan penganut secara tidak benar secara berterusan dan telah menyumbang kepada kejahilan masyarakat Barat terhadap Islam sehingga membawa kepada perasaan benci dan takut terhadap fenomena Islam sebagaimana tergambar di dalam perbuatan membakar al-Quran baru-baru ini.

Fenomena Islamophobia ini nyata merupakan cabaran dakwah utama pada masa kini yang harus ditangani secara berhemah oleh pendakwah dan pergerakan-pergerakannya. Strategi menyeluruh bagi menangani kejahilan masyarakat Eropah terhadap Islam perlu dijayakan. Langkah pertama bagi menangani cabaran ini harus bermula pada setiap individu Muslim terlebih dahulu iaitu dengan menyedari serta peka terhadap permasalahan yang sedang berlaku dan hendaklah berusaha memahami latar peristiwanya secara menyeluruh. Menerusi kesedaran asas ini, kita akan bersikap prihatin untuk memikirkan secara serius langkah-langkah penyelesaian di dalam mendepani cabaran ini pada masa akan datang.

This entry was posted in Dakwah, Isu Semasa, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

2 Responses to MEMAHAMI ISLAM PHOBIA

  1. haikal says:

    Pada pandangan saya, sebagai seorang muslim kita perlu bersatu untuk menangani masalah ini agar dapat menentang yahudi yang di laknat oleh ALLAHSUBHANAHUWATAALA kerana meraka terlalu biadap terhadap umat islam.

    • callybambang says:

      Ada banyak perkara yang harus difahami mengenai isu islamfobia, harus difahami secara telus dan jujur siapa sebenarnya yang fobia dan kenapa ujudnya situasi fobia. Sebelum kita menjenguk ke Amerika mengenai kejadian membakar kitab al quran, harus diteliti dahulu apa yang berlaku dalam negara kita Malaysia terlebih dahulu. Kejadian membakar atau cobaan 17 gereja telah dilakukan oleh golongan yang sebenarnya sangat fobia terhadap agama lain, sangat ketara suasana fobia itu sehingga sanggup menidakkan keharmonian kaum dalam negara kita Malaysia. Kerana takut dan fobia golongan tertentu di Malaysia telah mencetuskan teori Kristiansisasi yang pada saya tidak pernah ujud Kristianisasi di Malaysia. Kalau kita fahami dengan fikiran yang telus, Kristian di Malaysia tiada ruang untuk melaksanakan Kristianisasi kerana tidak diberi ruang malah sentiasa disekat dari peringkat awal umur kanak-kanak. Malah kalau diberi ruang pun, umat Kristian tidak akan melakukannya kerana umat Kristian memahami perlembagaan negara. Fobia? Banyak bukiti penganut Islam fobia kepada agama lain, sebagai contoh sahabat saya sendiri tidak sanggup makan dalam majlis di rumah saya kerana katanya khuatir kalau kalau makanan yang dihidangkan tidak halal atau kotor mengikut hukum Islam. Ini jelas bahawa fobia sentiasa ada dalam penganut Islam, cuma saya tidak pasti kalau fobia itu datang dari penganut tersebut atau datang dari ajaran Islam itu sendiri. Jika berkesempatan saya akan huraikan bentuk bentuk fobia dalam penganut Islam terhadap agama lain.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s