MENGAMALKAN KEMERDEKAAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Tersiar di Berita Harian, 31 Ogos 2010, Selasa

 Kemerdekaan ialah sebuah anugerah terbesar dari Tuhan kepada manusia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus insaf dan bersyukur dengan anugerah kemerdekaan ini. Dengan takdir Tuhan, negara kita telah memperoleh kemerdekaan sejak 53 tahun yang lalu.

Anugerah kemerdekaan ini amat beerti sekali. Ia merupakan sebuah pengiktirafan tentang hak dan kemuliaan diri kita sebagai rakyat dan pemilik tanahair ini. Pengiktirafan ini merupakan sebuah kurnia tertinggi sekali bagi seseorang manusia.

Kita harus mensyukuri sepenuhnya kurniaan ini kerana di dalam sejarah kehidupan hari, masih kedapatan banyak lagi kelompok  manusia yang sedang bertarung memperoleh anugerah kemerdekaan. Mereka harus menebus nyawa dan bertarung darah bagi memperjuangkan kemerdekaan diri mereka di tanahair sendiri yang terjajah.

Memandangkan negara kita telah memperoleh anugerah kemerdekaan, maka seharusnya kita mengambil peluang dan kesempatan untuk menikmati nikmat ini. Persoalan penting di dalam hal ini ialah, bagaimanakah caranya untuk menikmati anugerah kemerdekaan ini?

Bagi saya, cara terbaik untuk menikmati anugerah kemerdekaan ialah dengan mengamalkannya. Ada beberapa cara untuk kita mengamalkan kemerdekaan. Cara pertama ialah dengan meningkatkan dayausaha bagi memajukan diri. Anugerah kemerdekaan memberi peluang yang luas kepada kita sebagai rakyat untuk mengambil peluang meningkatkan kemajuan di dalam pelbagai aspek kehidupan. Dalam hal ini, aspek yang paling utama tentu sekali di bidang ilmu dan pendidikan.

Kita harus menggunakan ruang kemerdekaan untuk meningkatkan ilmu pengentahuan di dalam pelbagai bidang menerusi pendidikan secara formal atau tidak formal. Pembangunan ilmu pengentahuan boleh dijayakan dengan kita mempelajari ilmu dari negara kita sendiri atau mempelajari dari masyarakat atau negara orang lain. Sebagai seorang individu dan rakyat dari sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, kita boleh berhubung dan membuat rangkaian dengan ahli-ahli ilmu dan institusinya yang sah di seluruh dunia ini bagi tujuan ini. Peluang meningkatkan kesedaran dan ketrampilan diri di pelbagai bidang ilmu adalah satu peluang keemasan yang tidak mungkin diperoleh bagi rakyat yang berada di negara yang terjajah.

Cara kedua bagi mengamalkan kemerdekaan ialah dengan berusaha meningkatkan rasa bangga terhadap jatidiri, sejarah dan warisan negara kita. Kemerdekaan ialah satu peluang untuk kita menunjukkan jatidiri kita sebagai satu kelompok masyarakat yang unik dan tersendiri di pentas ketamadunan dunia yang rencam. Jatidiri umat Melayu dan kaum serta etnik yang pelbagai yang tergabung sebagai satu keluarga besar berteraskan peradaban timur dan peranan Islam sebagai  agama teras harus diketengahkan secara meluas dan berterusan kepada masyarakat dunia. Kita tidak harus berasa rendah diri untuk menunjukkan jatidiri dan warisan ketamadunan ini samada dari segi pegangan, nilai dan kebudayaan. Malah, kita harus memastikan warisan ketamadunan kita adalah salah satu dari kepelbagaian peradaban dunia yang harus dibanggakan dan dijadikan tauladan oleh semua. Penonjolan peradaban ini boleh kita jelmakan menerusi tulisan, ucapan dan perwatakan peribadi kita apabila saling berhubung antara satu dengan lain di dalam atau luar negara.

Cara ketiga bagi kita mengamalkan kemerdekaan ialah menerusi usaha memanafaatkan ruang-ruang kebebasan yang dimiliki bagi membina ketahanan negara mendepani cabaran hari kini dan masa depan. Sebagaimana yang kita sediatahu, cabaran yang sedang dihadapi negara kita amat pelbagai terutama di era  baru yang dikenal sebagai globalisasi dan masyarakat terbuka. Bagi mendepani cabaran ini, negara kita harus membina daya tahan yang utuh dari pelbagai aspek terutama di bidang persaingan ekonomi dan keutuhan sistem sosial dan politik.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita harus mengambil kesempatan dari ruang kemerdekaan ini dengan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara menerusi meningkatkan produktiviti kerja serta membangunkan inovasi dan kreativiti di dalam perusahaan yang diceburi. Seluruh rakyat harus saling berkongsi sumber bagi memastikan pembangunan dan pengagihan ekonomi dapat dinikmati oleh seluruh rakyat jelata.

Keupayaan ketahanan negara banyak bergantung juga kepada kesejahteraan sosial. Semangat persefahaman sesama rakyat harus ditingkatkan secara berterusan. Ruang kemerdekaan harus dimanafaatkan sepenuhnya oleh seluruh warga masyarakat bagi tujuan membangunkan kesatuan negara. Ini boleh dijayakan dengan kita memperluaskan dan mengamalkan budaya berdialog sesama warga. Pendekatan dialog adalah saluran paling berkesan bagi meleraikan perseteruan dan salah faham antara individu atau kumpulan masyarakat.

Bagi tujuan ini, kita harus mengelakkan diri dari terjebak dengan perbuatan yang boleh menimbulkan salah faham atau meningkatkan sikap bersangka buruk antara satu dengan lain samada menerusi ucapan, tulisan atau tindakan. Perbuatan seperti merendahkan kedudukan individu atau kelompok dan menyemarakkan api perseteruan antara agama dan kaum hendaklah dielakkan. Kesejahteraan sosial dan budaya negara kita akan dapat dijelmakan sekiranya kita mengamalkan etika peradaban timur yang berpaksikan kepada nilai-nilai ajaran agama yang murni di dalam urusan kehidupan. 

Begitulah antara beberapa cara yang boleh kita jayakan bagi mengamalkan kemerdekaan. Amalan kemerdekaan akan menyumbangkan kepada keutuhan dan ketahanan negara di dalam mendepani cabaran yang rencam di dalam dunia yang serba berubah kini. Selamat Menyambut Hari Merdeka.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s