RAMADHAN UNTUK KEHIDUPAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Ada dua perkara penting yang harus disedari berkaitan tentang Ramadhan oleh umat Islam. Pertama, bulan ini ialah detik kelahiran umat Islam itu sendiri. Detik ini dikaitkan dengan penurunan wahyu al-Quran di bulan Ramadhan dan kesannya ialah kelahiran sebuah masyarakat dan peradaban yang sungguh bermakna di pentas sejarah kemanusiaan hingga ke hari ini. Kedua, Ramadhan ialah madrasah bagi mencapai taqwa. Penghayatan secara menyeluruh terhadap ibadah berpuasa di bulan ini akan membawa manusia menuju tingkat tertinggi kesempurnaan seorang insan di sini Allah yang dikenal sebagai taqwa.

Ramadhan sebagai bulan kelahiran umat Islam dapat kita telusuri menerusi firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 185: “Ramadhan ialah bulan di mana al-Quran telah diturunkan, sebagai petunjuk bagi manusia dan sebagai pembeda antara yang benar dan batil. Kerana itu, sesiapa yang berada di bulan itu, maka berpuasalah”.


Peristiwa penurunan wahyu ini amat bermakna sekali kepada seluruh kehidupan. Ini kerana, pedoman wahyu telah menjadi sumber dan pelita menerangi cara hidup yang bertamadun bagi seluruh manusia. Di era awal perkembangan Islam, ajaran wahyu telah berjaya merubah watak dan keperibadian masyarakat Arab yang pada keadaan yang amat mundur sebelumnya menjadi tonggak kepada pembinaan peradaban Islam yang unggul di pentas sejarah. Sejarah ini amat bermakna sekali dan ia telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai detik yang amat bermakna kepada seluruh umat Islam.

Di bulan ini juga, ibadah berpuasa menjadi kefardhuan. Perintah ibadah ini bertujuan membawa masyarakat menujuk kepada taqwa. Hal ini boleh dilihat di dalam firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 184. “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” Cita-cita dan tujuan ibadah bagi membawa manusia menuju taqwa telah menjadikan Ramadhan amat istimewa sekali kepada kita.

Di sini, keterkaitan antara penuruan wahyu dan tujuan berpuasa bagi mencapai taqwa wajar ditelusuri. Sesungguhnya, cita-cita memimpin umat manusia kepada tahap kesempurnaan hidup yang dikenal sebagai taqwa merupakan antara tujuan utama penurunan wahyu.

Taqwa ialah satu tingkat tertinggi penghayatan rohani seorang insan. Seorang yang mencapai tingkat taqwa beerti ia telah mencapai satu kesempurnaan hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh ajaran agama Islam. Seorang yang bertaqwa ialah seorang yang berupaya menjelmakan seluruh nilai dan ajaran wahyu al-Quran di dalam segenap dimensi kehidupan mereka.

Orang yang bertaqwa juga sering dirujuk sebagai seorang yang kamil. Ia bermaksud, dia telah menterjemahkan seluruh ajaran Islam dan penghayatan makna dan nilainya secara keseluruhan meliputi aspek keimanan, akhlak dan kebudayaanya. Menerusi taqwa, Islam sebagai agama yang bersifat menyeluruh atau syumul terjelma di dalam diri seluruh diri seorang Muslim. Ia akan tergambar menerusi watak seorang Muslim yang baik, taat dan berkualiti di dalam segenap segi urusan hidup. 

Usaha membawa insan kepada suatu penghayatan hidup beragama secara menyeluruh bersandarkan petunjuk wahyu adalah misi utama penurunan al-Quran dan pengutusan para nabi dan rasul. Bagi tujuan tersebut, proses penyempurnaannya dilakukan menerusi penghayatan ibadah yang dianjurkan oleh agama. 

Berpuasa ialah satu bentuk ibadah khusus anjuran agama yang boleh membawa manusia kepada kesempurnaan hidup atau takwa.  Ibadah ini amat istimewa sekali. Ini kerana proses pencapaian ke arah kesempurnaan tersebut ialah menerusi satu bentuk latihan diri meliputi seluruh aspek kehidupan.

Di dalam ibadah berpuasa, kita dituntut untuk menjayakan satu proses yang ditafsirkan sebagai ‘menahan diri’. Ia bermaksud, apabila kita berpuasa, ia bermakna kita menahan diri secara menyeluruh, fizikal, mental, ruhani dan perasaan agar tidak terjebak dan terdedah kepada sesuatu perlakuan atau pengamalan yang bertentangan dengan ajaran wahyu. Dalam kata lain, proses menahan diri menerusi ibadah berpuasa juga bermaksud seseorang itu sedang menjayakan satu proses penyerahan diri secara menyeluruh agar kehidupannya sentiasa berada di dalam aturan hidup yang dianjurkan oleh ajaran wahyu Ilahi.

Di dalam hubungan ini juga, ia membawa erti iaitu apabila kita berpuasa, ia bermakna kita sedang menahan diri bagi mengembalikan jatidiri kita sebagai seorang Muslim yang sejati. Seorang Muslim yang berjatidiri ialah seorang yang hidup berpandukan ajaran agama di dalam segala aspek kehidupannya.
Menerusi sudut pandangan inilah kita melihat ibadah berpuasa  begitu bermakna kepada kehidupan pada hari ini.  Ibadah ini sekiranya dihayati secara sempurna dari sudut kerohaniannya akan membawa diri dan persekitaran kita kembali kepada fitrah iaitu sebuah aturan hidup yang murni mengikut ketetapan agama.
Bagi tujuan tersebut, salah satu dari proses penting yang boleh membawa seseorang Muslim kepada fitrah ialah menerusi pembinaan daya tahan yang tinggi di dalam bentuk kejiwaan, fikiran dan perlakuan agar seluruh diri berada di dalam ibadah sejajar dengan aturan yang agama suci dan luhur. Inilah antara beberapa makna yang telah menjadikan Ramadhan bulan yang sungguh istimewa kepada kita semua selaku seorang Muslim.
Marilah kita menjayakan ibadah ini dengan susungguhnya kerana ia boleh mengembalikan jatidiri kita sebagai Muslim yang sejati dan membawa kita mencapai taqwa.

This entry was posted in Belia, Bimbingan Asas Islam, Dakwah, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s