MENANGANI GEJALA SOSIAL HARI INI

Oleh Muhamad Razak Idris

(Berikut ialah laporan temubual oleh wartawan dari akhbar atas talian malaysiaharmoni.com yang meminta pandangan saya berhubung peningkatan jumlah anak yang dilahirkan tidak sah taraf perkahwinan). 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menganggap jumlah 17,303 anak luar nikah Melayu yang didaftarkan sepanjang tahun 2009 seperti mana yang didedahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai angka yang menggerunkan.  Justeru, selain peranan ibu bapa memastikan pendidikan agama yang berterusan untuk anak-anak, masyarakat perlu mula memikirkan bagaimana proses perkahwinan boleh dipermudah bagi menggalakkan ikatan yang sah antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Bagi menyokong hasrat tersebut, ABIM bercadang untuk membudayakan trend ‘perkahwinan beramai-ramai’ sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Presidennya, Muhamad Razak Idris, ketika dihubungi oleh Malaysia Harmoni berkata, sebelum ini memang ada usaha pihak-pihak tertentu melangsungkan perkahwinan secara berkelompok ini. Bagaimanapun, ia tidak menjadi budaya dan hanya terhenti setakat itu sahaja. ABIM bercadang untuk mempopularkan kembali tradisi ini dan melaksanakannya secara lebih sistematik.  “Perkara ini memang telah ada dalam perancangan kita. Dengan pengumuman yang dibuat oleh JPN itu nampaknya perancangan tersebut perlu disegerakan pelaksanaannya sebagai sokongan kepada belia yang sudah cukup syarat untuk mendirikan rumahtangga.

“Insya-Allah, satu jawatankuasa di bawah program pembangunan keluarga akan dibentuk. Kita akan memohon kerjasama daripada Pusat Zakat dan Jabatan Agama, dan akan cuba mendapatkan penajaan daripada syarikat- syarikat serta Majlis Agama,” kata Muhamad Razak.  Menurutnya lagi, ABIM menawarkan diri untuk mencari dan mengumpulkan bakal pengantin. Mereka yang berminat akan didaftarkan sebagai peserta program perkahwinan beramai-ramai ini. Sehubungan dengan perkara tersebut, beliau berharap akan dapat bekerjasama dengan pihak media untuk menghebahkan perkara ini kepada masyarakat.

“Kita serius untuk menjadikan perancangan ini satu kenyataan. Di samping menjimatkan belanja, ia satu usaha yang menarik dan paling penting, mempermudah proses perkahwinan. Ada antara pemuda yang berhasrat menamatkan zaman bujang terpaksa menangguhkan niatnya kerana belanja hantaran perkahwinan yang tinggi. Insya-Allah, kita harap pelancaran program ini dapatdilakukan menjelang cuti persekolahan panjang pada akhir tahun ini,” katanya penuh optimistik.

Langkah ini adalah sebagai satu cara untuk mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja dan belia. Bagaimanapun, masyarakat perlu terus memainkan peranan dalam menangani golongan yang tidak mahu berkahwin, hanya mahu berseronok dan tidak faham akan tujuan hidupnya. Pada Ahad lalu, sebuah portal media perdana melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim bahawa sepanjang tahun 2009 sahaja terdapat 17,303 anak luar nikah berbangsa Melayu/Islam yang didaftarkan di JPN. Katanya, bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya (16,541), manakala pada 2007 jumlahnya seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan lagi dalam tempoh lima tahun lalu, sejumlah 74,723 pendaftaran anak luar nikah membabitkan orang Melayu/Islam. Jumlah itu pula tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes-kes yang tidak dilaporkan.

Mengulas laporan tersebut, Muhammad Razak berkata, ia adalah manifestasi realiti institusi kekeluargaan negara pada masa sekarang. Walaupun dari satu sudut, kesedaran penghayatan Islam dilihat meningkat, namun di sudut lain nilai kesedaran itu menjunam dalam masa yang sama, atau dalam istilah akademiknya disebut berlaku paradoks.  Kepincangan ini adalah kesan yang terpaksa diterima dalam era dunia terbuka atau globalisasi kini.

“Yang lebih menakutkan, masalah (melahirkan anak luar nikah) ini berlaku dalam kalangan belia. Bagaimana keadaannya 20 tahun akan datang? Kita takut akan berlaku perkara-perkara yang tidak baik kepada anak-anak lantaran banyaknya institusi keluarga yang tidak kukuh. Jadi ABIM berpendapat, penting untuk kita melihat semula proses pemupukan nilai dan kesedaran agama untuk golongan remaja dan pelajar,” katanya.

Sebagai sebuah pertubuhan belia berasaskan Islam, ABIM berpandangan berlaku kelompongan pengajaran agama khususnya apabila para remaja tamat sekolah menengah.  “Sistem pendidikan agama nampaknya tidak mencukupi. Apabila pelajar-pelajar ini tamat tingkatan lima, tidak ada penerusan dalam pembelajaran agama. Di sinilah perlunya program pendidikan Islam lanjutan yang tidak formal bagi mereka kerana pengaruh persekitaran kepada golongan ini sangat kuat.

“Saya dapati anak-anak muda yang telah melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi atau yang bekerja kilang misalnya (mula berkerjaya) sukar untuk menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid. Mungkin jiwa mereka tidak sesuai di sana kerana masjid-masjid lebih banyak dipenuhi golongan dewasa dan warga emas.

“Jadi sebagai alternatifnya, kita perlu wujudkan seberapa banyak pusat pendidikan Islam untuk golongan muda. Kerajaan pula perlu memperkenalkan program peringkat nasional dengan lebih tersusun,” kata Muhamad Razak lagi.  ABIM, tambahnya, bercadang akan memulakan inisiatif ini dengan menubuhkan Pusat Pendidikan Lanjutan Pengajian Islam untuk para belia. Perkara ini mungkin akan dilakukan dengan kerjasama masjid-masjid, dan modul khas akan dirangka agar pengajian dapat dijalankan secara bersilibus.

Akhir sekali, peranan ibu bapa tetap menduduki tempat utama bagi membantu mengurangkan gejala sosial dalam kalangan belia dan remaja. Ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap tingkah laku dan pergerakan anak- anak di luar mahupun di dalam rumah. Perkara-perkara seperti pergaulan bebas dan akses yang mudah kepada bahan-bahan pornografi perlu dielakkan serta dipantau dari semasa ke semasa.

Laporan ini dipetik dari laman web Malaysia Harmoni.

This entry was posted in Belia, Dakwah, Gerakan Islam, Isu Semasa. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s