GEJALA SOSIAL SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

Oleh Muhamad Razak Idris

(Tersiar di Berita Harian, 25 Mac 2010)

Dalam kita berasa gembira melihat peningkatan kesedaran terhadap kehidupan beragama di negara ini seperti terjelma di dalam pelbagai bidang kehidupan, pada masa sama, ruang ‘gelap’ kehidupan yang bertentangan dengan nilai ajaran agama bertambah meluas. Peningkatan jumlah anak luar nikah ialah antara petanda ruang gelap itu yang menunjukkan kegiatan perzinaan semakin berleluasa dan tidak terkawal lagi.
 
Persoalannya, kenapa gejala ini berleluasa dan bagaimanakah kita boleh mengekang peningkatannya? Secara umum, gejala ini adalah antara kesan negatif perkembangan masyarakat terbuka hari ini.
 
Penularan budaya hidup bebas dan penyebaran bahan bacaan dan tontonan yang bercorak tidak senonoh merapuhkan lagi identiti masyarakat terutama sebahagian muda mudi yang terhakis jati dirinya. Globalisasi budaya hidup yang bercorak hedonisme nampaknya merobek benteng nilai agama dan ketimuran yang tinggi masyarakat kita.

Kedapatan daripada kalangan anggota masyarakat yang mempersoalkan mengenai tahap keberkesanan pengajaran agama Islam pada peringkat rendah dan menengah di dalam membangun jati diri masyarakat. Kita ingin menyatakan iaitu, proses pembentukan jati diri tidak hanya tergantung kepada pendidikan agama formal yang diterima oleh seseorang pelajar pada peringkat sekolah. Memang ia antara faktor yang teras. Namun, faktor persekitaran seperti keadaan kehidupan keluarga dan suasana sosial dan budaya masyarakat juga faktor penting yang mempengaruhi arah pembentukan jati diri seseorang individu.

 
Tanpa menafikan keperluan terus menilai keberkesanan pendidikan agama dan moral pada peringkat sekolah, penelitian terhadap perkembangan persekitaran sosial dan budaya juga harus diperhalusi di dalam usaha kita mengenal pasti punca kepada permasalahan yang sedang berlaku secara keseluruhan. Di dalam erti kata lain, kehidupan harus ditanggapi di dalam sifatnya yang bercorak organik iaitu saling berkait antara satu dengan lain. Sesuatu permasalahan tidak mungkin disumbangkan oleh satu-satu faktor saja, tetapi meliputi pelbagai aspek kehidupan. Langkah jangka pendek atau penyelesaian segera dan langsung juga wajar juga dikemukakan.

Langkah dan usaha pengupayaan kepemimpinan pada peringkat institusi keluarga dan sosial wajar dilakukan dengan kadar segera. Proses pengupayaan ini bermaksud antara lain meningkatkan kesedaran keluarga di dalam mengawal perkembangan ahli rumah tangga daripada terjebak di dalam kegiatan tidak bermoral. Hal ini meliputi langkah pengukuhan kepemimpinan rumah tangga dan mengenal pasti institusi keluarga yang bermasalah untuk diberikan sokongan langsung.

Langkah ini menuntut kepada usaha pengupayaan institusi sosial setempat. Di dalam konteks masyarakat Melayu, pengupayaan institusi masjid dan surau amat penting sekali. Di samping itu ialah penggemblengan pertubuhan dakwah, wanita, belia dan perniagaan. Malah di dalam konteks ini, rangkaian pergerakan politik terutama pada peringkat cawangan atau cabang harus digembleng secara saksama bagi mengekang permasalahan ini. Semua peringkat individu dan institusi harus bergerak serentak dan sehaluan serta menanggapi permasalahan ini sebagai satu cabaran dan kepentingan bersama.

Barangkali salah satu daripada langkah segera yang boleh dianjurkan bagi mengekang permasalahan ini juga ialah dengan mempermudahkan urusan perkahwinan di kalangan muda mudi. Hal ini menuntut persefahaman langsung daripada ibu bapa. Dalam erti kata lain, ibu bapa harus menggalakkan anak berkahwin lebih awal setelah memenuhi tahap umur yang diizinkan sekiranya didapati pergaulan mereka boleh membawa kemudaratan. Di dalam keadaan ini, adat yang menghambat perkahwinan hendaklah dipermudahkan.

Usaha menggalakkan perkahwinan awal bagi golongan muda-mudi perlu didukung oleh institusi agama dan sosial. Di dalam hal ini, kita ingin menganjurkan supaya program perkahwinan secara beramai-ramai atau juga dikenali sebagai ‘nikah jamaie’ dibudayakan di dalam masyarakat kita. Menerusi program ini, pasangan muda-mudi yang sudah bersedia mendirikan rumah tangga dinikahkan dan diraikan secara beramai-ramai di dalam satu majlis yang didukung oleh institusi masyarakat. Program ini akan menjimatkan perbelanjaan urusan perkahwinan, dan di dalam masa yang sama penuh dengan kenangan dan kemeriahan.

Pandangan ini bersifat umum, namun memadai bagi menimbulkan sikap peduli dan prihatin kita semua di dalam menanggapi permasalahan baru masyarakat ini. Banyak lagi perkara yang perlu dibahaskan berkaitan dengan hal ini seperti keperluan kita memahami psikologi muda-mudi hari ini, menilai saluran penyebaran nilai agama dalam masyarakat dan tuntutan usaha menambah baik sistem sokongan sosial bagi pembangunan keluarga dan belia secara menyeluruh. Perbincangan semua hal ini amat penting di dalam usaha menangani dan mengekang gejala peningkatan anak luar nikah dan memastikan struktur sosial kita kembali utuh pada masa akan datang.

 

 
This entry was posted in Belia, Dakwah, Isu Semasa. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s