MENELADANI KESEJAGATAN SIKAP NABI MUHAMMAD SAW

Oleh Muhamad Razak Idris

Nabi Muhammad SAW memiliki kesejagatan sikap yang tinggi. Sikap terpuji ini dapat kita telusuri menerusi beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan kehidupan baginda. Peristiwa-peristiwa yang menggambarkan ketinggian kesejagatan sikap Nabi Muhammad SAW telah dicatatkan oleh  Tariq Ramadhan di dalam bukunya, “The Messenger: The Meanings of the Life of Muhammad”. Buku ini telah diterbitkan oleh Penguin Books pada tahun 2007.

Salah satu peristiwa yang penting di awal kehidupan Nabi Muhammad SAW ialah apabila baginda menyertai dan menjadi pendokong kepada satu pergerakan yang dikenali di dalam istilah bahasa Arab sebagai Hilf al-Fudul. Istilah ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai The Pact of the Virtuous atau Perikatan Mulia.

Apakah faktor yang mendorong kepada penubuhan Perikatan Mulia ini? Menurut catatan sejarah, ia merupakan satu daya usaha bagi mewujudkan satu bentuk perjanjian atau piagam kerjasama antara seluruh perkumpulan masyarakat yang ada waktu itu bagi tujuan mempertahankan prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan seluruh warga penduduk. Menerusi piagam ini, semua pihak samada individu atau kumpulan hendaklah bersama-sama bertanggungjawab membela sebarang bentuk perbuatan atau tindakan penganiayaan oleh anggota penduduk terhadap anggota yang lain.

Daya usaha penubuhan Perikatan Mulia ini diterajui oleh seorang pemimpin masyarakat Arab pada waktu itu bernama Abdullah ibn Ja’dan. Daya usaha ini ialah satu tindak balas terhadap aduan dan rayuan seorang pedagang dari Yaman yang telah diperdayakan di dalam urusan jual beli oleh seorang anggota Bani Sahm. Anggota ini telah mencabul perjanjian jual beli apabila enggan melunaskan bayaran perniagaan yang termeterai antara keduanya.

Aduan pencabulan ini dilihat oleh para pemimpin Arab pada waktu sebagai satu bentuk penganiayaan dan pelanggaran kepada prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan. Oleh kerana itu, campur tangan harus berlaku bagi memastikan peristiwa yang memalukan ini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Penglibatan bersejarah di dalam penubuhan Perikatan Mulia merupakan satu peristiwa yang amat bermakna sekali kepada Nabi Muhammad SAW. Kehadiran langsung baginda di dalam mesyuarat penubuhan perikatan tersebut bersama-sama dengan sahabat karibnya, Abu Bakar merupakan satu pengalaman berharga yang sentiasa disebut-sebut oleh Nabi Muhammad SAW setelah baginda diangkat sebagai Rasulullah.

Di dalam hal ini, Tariq Ramadhan mencatatkan iaitu di dalam satu dari ucapan-ucapan baginda, Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan bahawa pengalaman tersebut amat berharga dan ia tidak ternilai walaupun ditukarkan dengan segerombolan unta yang mahal. Malah, sekiranya peristiwa yang sama berulang lagi pada hari ini dan baginda dijemput menghadirinya, baginda tidak akan sama sekali menolak jemputan tersebut, malah akan berasa amat gembira sekali untuk menyertainya.

Penglibatan dan penyertaan Nabi Muhammad SAW di dalam Perikatan Mulia bagi memperjuangkan hak-hak golongan tertindas dan mempertahan prinsip keadilan dan kesaksamaan sejagat sebelum penurunan wahyu dan kemudiannya memperakukan kemuliaan perikatan tersebut setelah baginda diangkat sebagai Utusan Allah, telah  memberikan banyak pengajaran kepada umat Islam dan generasi muda hari ini.

Di dalam hubungan ini, Tariq Ramadhan mengariskan tiga pengajaran utama.  Pertama, prinsip keadilan dan kesaksamaan adalah bersifat sejagat atau universal. Ini dapat dilihat dari tindakan Nabi Muhammad SAW yang telah mengesahkan kemulian daya usaha penubuhan Perikatan Mulia tersebut. Prinsip keadilan dan kesaksamaan yang menjadi asas kepada penubuhan dan perjuangan Perikatan Mulia tidak bertentangan dengan kemulian nilai-nilai yang dianjurkan oleh ajaran agama Islam. Dengan pengesahan ini, ia menunjukkan bahawa prinsip keadilan dan kesaksamaan ini merupakan satu bentuk nilai yang merentasi sempadan agama, budaya dan zaman.

Kedua, peristiwa ini secara langsung menolak sebarang bentuk kefahaman yang menghadkan atau menyempitkan sumber nilai-nilai kebaikan dan kemuliaan di dalam ruang lingkup agama dan masyarakat Islam sahaja. Dalam kata lain, sumber nilai dan kebaikan amat luas sekali memandangkan ia bersifat sejagat dan ia boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja.

Di dalam kisah yang terjelma di dalam peristiwa penubuhan Perikatan Mulia tersebut, ia secara jelas menunjukkan iaitu sikap memandang jijik kepada sebarang bentuk pencabulan dan penindasan sesama manusia merupakan suatu satu nilai yang sejagat. Ia merupakan suatu perasaan yang dikongsi oleh seluruh manusia. Oleh kerana itu, ia telah mendapat pengiktirafan dari Nabi Muhammad SAW sebagai suatu nilai yang menjadi sebahagian dari ajaran agama Islam.

Ketiga, peristiwa ini juga telah mengesahkan tentang dinamika keterbukaan sistem nilai Islam terhadap unsur-unsur kebaikan dan kemuliaan dari sumber pelbagai. Ajaran nilai yang diserukan oleh agama Islam menerusi Nabi Muhammad SAW bukanlah suatu yang asing sepenuhnya dengan nilai-nilai mulia yang telah dianuti dan diamalkan oleh masyarakat Arab pada waktu itu. Sistem nilai ajaran Islam ternyata bersifat terbuka dan dinamik. Dalam kata lain, penganjuran nilai-nilai hidup oleh agama Islam ialah untuk seluruh kehidupan manusia.

Dalam kaitan ini, sekiranya prinsip kesejagatan nilai-nilai Islam dihayati secara menyeluruh dan mendalam, tenyata ia tidak akan mengundang pertembungan dengan nilai kesejagatan dari tradisi yang lain. Ini kerana nilai-nilai yang bersifat sejagat adalah bersalingan antara satu dengan yang lain. Di atas asas dinamika sistem nilai inilah yang mengundang Nabi Muhammad SAW menyatakan kesediaannya untuk terus turut serta di dalam apa juga bentuk penjanjian yang serupa dengan  piagam Perikatan Mulia.

Sikap dan keperibadian Nabi Muhammad ini memberi petunjuk yang jelas terhadap maksud dan tujuan Risalah Islam diutuskan kepada umat manusia. Sebagai seorang Rasul penyebar Rahmat ke seluruh alam, baginda memaparkan sikap keterbukaan fikiran, sikap dan keperibadian yang sejagat terhadap segala unsur kebaikan dan kemulian yang wujud di dalam persekiran masyarakatnya. Ini tergambar menerusi perakuan baginda terhadap piagam Perikatan Mulia sebagai sebahagian dari tradisi nilai ajaran Islam malah berbangga dengan penyertaannya di dalam perikatan yang bertujuan membela dan menegakkan keadilan sejagat.

Sikap kesejagatan nilai dan keperibadian Nabi Muhammad SAW ini harus sumber tauladan terpenting di dalam kita berurusan dengan masyarakat berlainan agama dengan kita. Sesungguhnya seruan agama Islam untuk penganut melakukan kebaikan dan kebajikan serta tuntutan mempertahankan prinsip keadilan dan kesaksamaan tidak hanya terhad di dalam lingkungan masyarakat mereka sahaja. Seruan agama  ini merentasi seluruh manusia sejagat.

Penegasan ini amat jelas sekali sekiranya kita renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8-9:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) sebagai teman rapat dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. (Ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim”.

Ayat ini amat jelas menyeru dan menganjurkan umat Islam supaya melebarluaskan nilai-nilai kemulian ajaran Islam kepada seluruh masyarakat manusia. Sifat kasih sayang dan persaudaraan yang dianjurkan Islam merentasi seluruh alam

Masyarakat Islam juga  tidak harus membuat sangkaan yang tidak baik kepada penganut agama lain secara melulu kerana kedapatan dari kalangan mereka yang boleh dipercayai dan dijalin ikatan persaudaraan sebagai sesama manusia. Persaudaraan yang akrab dengan penganut agama lain diasaskan di atas prinsip perkongsian nilai-nilai mulia bagi mempertahankan hak-hak kesaksamaan dan kemulian insan atau karamah insaniyyah.

Namun begitu, masyarakat Islam juga diingatkan supaya berhati-hati dengan sebarang unsur yang mempunyai tujuan tidak baik dari perhubungan yang terjalin. Ini bagi memastikan ketenteraman dan keutuhannya masyarakat sentiasa terjamin dari sebarang bentuk usaha-usaha yang boleh meruntuhkannya.

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Dakwah, Isu Semasa, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s