CABARAN RAKYAT MEMILIH MAKLUMAT BERWIBAWA

Oleh Muhamad Razak Idris

(Sebahagian besar kandungan tersiar di Berita Harian, 20 Febuari 2010, Sabtu)

Banyak tanda berkaitan dengan era peralihan zaman yang sedang kita tempuhi pada hari ini. Antara tanda yang paling menonjol ialah kelahiran sebuah masyarakat terbuka. Kelahirannya banyak disumbangkan oleh kepesatan dunia pemberitaan kesan daripada pertumbuhan teknologi maklumat dan arus globalisasi.

Kepesatan dunia pemberitaan hari ini memberi satu cabaran baru kepada kita sebagai rakyat terbanyak. Ini kerana, di dalam sebuah masyarakat terbuka, sumber pemberitaan tersebar dengan begitu luas dan pantas sekali. Penyebarannya kini bukan lagi dimonopoli oleh institusi-institusi media yang bersifat formal atau dikenali sebagai ‘media arus perdana’ sahaja. Namun, penyebarannya sudah disumbangkan dengan amat berpengaruh oleh institusi tidak formal yang dinamakan sebagai ‘media baru’.

Kemunculan media baru sebagai satu wahana atau saluran penyebaran berita adalah natijah dari kepesatan pertumbuhan teknologi maklumat. Pada masa kini, sumber berita tidak sahaja boleh diperoleh menerusi bahan cetak dan saluran elektronik, tetapi juga menerusi saluran ‘atas talian’ atau online. Saluran baru ini merujuk kepada penyebaran berita menerusi saluran komputer dengan menggunakan teknologi internet. Individu atau kumpulan boleh menyebarkan sesuatu berita dengan mendaftarkan satu laman di internet. Berita dan maklumat yang tersiar boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja dan disebar secara atas talian dengan pantas dan mudah.

Sebagai rakyat yang berpandangan positif, kita perlu menyambut baik pertumbuhan pesat dunia pemberitaan ini. Ini kerana, kita kini mempunyai banyak pilihan dari segi sumber maklumat dari segi pemberitaan tentang sesuatu perkara. Tambahan pula, ia merupakan satu realiti yang tidak mungkin boleh dielakkan lagi di era peralihan zaman hari ini. Kita memerlukan maklumat secara cepat dari sumber pelbagai bagi membolehkan kita membuat keputusan-keputusan penting di dalam banyak urusan kehidupan. Kita boleh ketinggalan sekiranya mengambil sikap lewa dengan perkembangan maklumat baru yang berkembang di persekitaran kita.

Pertumbuhan dunia pemberitaan ini juga sekiranya ditanggapi secara positif akan menjadikan kita masyarakat yang berpandangan kritis. Ia bermaksud, maklumat yang kita perolehi dari pelbagai sumber pemberitaan membolehkan kita membuat penilaian dan perbandingan. Proses ini mustahak kerana ia akan menyumbang kepada satu kelahiran masyarakat yang matang.

Namun, pertumbuhan ini juga akan memberikan kita satu cabaran baru. Keupayaan kita membina pandangan kritis dan matang di dalam kehidupan masyarakat bergantung kepada kemampuan untuk kita memilih sumber maklumat yang paling berwibawa dari kepesatan dan kepelbagaian dunia pemberitaan ini. Cabaran ini perlu ditangani secara bijaksana oleh seluruh rakyat. Ini kerana, setiap sumber pemberitaaan yang sampai kepada kita mempunyai latar belakangnya yang tersendiri.

Dalam ertikata lain, sumber berita yang kita perolehi dari apa juga saluran berita dibentuk oleh pengaruh dan perkembangan sejarah dan sosio-budaya dalam persekitarannya yang tersendiri. Malah, sesetengah sumber berita yang tersebar dibentuk bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu yang tidak boleh dipastikan.

Contoh yang boleh digunakan bagi menjelaskan cabaran baru yang perlu kita hadapi ialah di dalam memilih berita atau maklumat berkenaan dengan agama Islam dan masyarakatnya yang tersebar menerusi pelbagai sumber. Sebagai rakyat, kita harus menyedari iaitu kedapatan sebahagian sumber berita berkenaan perkara ini ditulis bersandarkan kepada latar belakang pemikiran dan sejarah selepas peristiwa pengeboman dua menara bangunan di New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

Latar peristiwa ini banyak mempengaruhi corak tulisan tentang agama Islam dan masyarakatnya oleh banyak sumber berita sejak akhir-akhir ini. Setelah peristiwa ini, struktur persepsi sebahagian masyarakat dunia terhadap agama Islam dan masyarakatnya telah berubah. Agama Islam telah dipandang sebagai satu pegangan yang berbahaya dan masyarakatnya pula mula ditakuti. Kesannya ialah, kemunculan satu fenomena budaya dan sejarah yang kini dikenali sebagai “Islamophobia’ atau perasaan takut dan gerun terhadap realiti Islam yang berkembang.

Fenomena Islamophobia yang berkembang terutama di kalangan masyarakat di Barat telah menyumbang kepada perkembangan pandangan yang negatif tentang agama Islam dan masyarakatnya. Keadaan ini dikongsi oleh John L. Esposito, seorang pengkaji tentang Islam di Amerika Syarikat. Di dalam pengenalan kepada bukunya, “What Everyone Needs to Know About Islam” (Oxford University Press, 2002), beliau menulis:

“Today, however, many are still relying on media stereotypes, seeing Islam through distorted lenses that focus on terrorists, religious extremists and oppressed women. The actions of a radicalized minority become equated with the faith of the mainstream majority. And yet, Muslims are now an integral part of the religious landscape of America and Europe; they are increasingly our fellow citizens, neighbours and colleagues.” (ms. xiv)

John. L. Esposito, di dalam perenggan tulisan ini menyatakan kekecewaannya kepada sebahagian masyarakat dunia yang masih memandang Islam menerusi kacamata yang keliru. Kisah tentang Islam banyak tertumpu kepada persoalan pengganas, pelampau agama dan penindasan wanita. Kejadian kecil oleh kelompok minoriti dari kalangan masyarakat Islam telah disamakan dan ditanggap sebagai satu manifestasi dari pegangan luhur agama dan masyarakatnya yang terbanyak. Pada hal, pertumbuhan Islam dan masyarakatnya kini begitu pesat sekali yang boleh dilihat secara jelas di Amerika Syarikat dan Eropah. Malah, masyarakat Islam kini telah menjadi sebahagian dari warganegara, jiran dan rakan-rakan mereka.

Kenapakah pandangan negatif ini terjadi? Pada pandangan beliau, saluran media yang terbentuk oleh sikap yang keliru terhadap agama Islam dan masyarakatnya sejak sekian lama banyak menyumbang kepada perkembangan yang tidak sihat ini.

Oleh kerana itu, sebagai rakyat, kita perlu lebih teliti apabila menerima dan memperoleh sesuatu sumber berita. Ini kerana, tidak semua berita yang terdedah kepada kita mempunyai tahap kewibawaan yang sama. Latar belakang budaya dan sejarah semasa banyak mempengaruhi tahap kewibawaan sesebuah berita. Situasi yang sama boleh berlaku tidak sahaja di dalam persoalan berkaitan agama, malah di dalam aspek sosial, ekonomi dan politik setempat.

Beberapa petunjuk dibawah boleh membantu kita di dalam memilih sumber berita paling berwibawa:

Pertama, setiap berita memenuhi syarat asas keilmiahannya seperti penulis dan sumber rujukan boleh dipercayai. Asas ini akan memastikan nilai kebenaran dan kewibawaan sumber berita tersebut terpelihara.

Kedua, sumber berita yang diperoleh ditulis berpandukan etika pemberitaan yang tinggi. Asas pemberitaan bertujuan untuk mendidik dan memberikan maklumat secara objektif tentang sesuatu perkara. Corak pemberitaan bukan didorong oleh sikap yang memihak atau prejudis.

Ketiga, kandungan sesuatu pemberitaan tidak mengandungi perkara yang boleh menjatuhkan kemulian orang lain. Ini adalah prinsip akhlak di dalam pemberitaan. Ia tidak harus mengandugi bahan cercaan dan keaiban. Sekiranya sesuatu berita secara jelas melanggar prinsip asas akhlak ini, maka secara langsung, ia bukan lagi sumber yang berwibawa. Oleh itu, ia harus ditolak dan kita tidak boleh sama sekali menjadikannya sebagai satu pegangan, apatahlagi menyebarkannya kepada orang lain.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s