MEMPERLUASKAN DAN MEMPERTINGKATKAN KUALITI WACANA ISLAM SEBAGAI AZAM TAHUN BARU

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 1 Januari 2010

Banyak agenda yang perlu dijayakan di dalam membangunkan masyarakat Islam di Malaysia. Salah satunya ialah keperluan untuk kita berusaha memperluaskan dan mempertingkatkan kualiti wacana Islam di dalam masyarakat. Agenda ini harus menjadi azam semua terutama para pendakwah dan institusi pergerakannya.   

Bagaimanakah masyarakat Islam di negara kita memperoleh pengentahuan tentang ajaran agama Islam? Sekiranya kita telusuri, terdapat beberapa saluran penyebaran ilmu dan maklumat berkaitan agama Islam yang wujud secara formal atau tidak formal.

Pertama, wacana pengajaran Islam diperolehi secara formal menerusi sistem pendidikan kebangsaan. Bagi kanak-kanak, mereka akan terdedah dengan pengertian dan makna ajaran Islam menerusi subjek pendidikan Islam di sekolah asas dan rendah. Proses ini berterusan hingga ke peringkat menengah dan universiti.

Di peringkat ini seseorang itu akan didedahkan dengan maksud dan kefahaman tentang ajaran agama Islam. Wacana Islam di peringkat ini banyak tertumpu kepada perbahasan tentang teras-teras keyakinan dan peraturan-peraturan ibadah dan akhlak.  Di tahap ini juga seseorang itu akan cuba menghayati hubungkait ajaran agamanya dengan realiti kehidupan masyarakat di persekitarannya. Wacana Islam secara formal ini akan dilalui oleh kebanyakan pelajar-pelajar Islam yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan.

Antara saluran wacana formal Islam yang lain ialah yang menerusi penyampaian khutbah pada setiap hari Jumaat di masjid-masjid. Khutbah merupakan satu proses pendidikan yang wajib diikuti oleh setiap lelaki Muslim sekiranya dipandang dari sudut keagamaan. Namun begitu, wacana Islam menerusi khutbah agak terhad sebarannya.  

Di samping wacana Islam secara formal menerusi sistem persekolahan dan khutbah di hari Jumaat, masyarakat Islam juga terdedah dengan dengan diskusi Islam secara tidak formal menerusi acara ilmu yang dianjurkan oleh institusi-institusi agama seperti masjid dan badan-badan dakwah dan institusi pendidikan tinggi. Kegiatan wacana tidak formal ini bukan suatu kewajipan tetapi sekadar pilihan.

Badan-badan dakwah dan institusi pengajian tinggi banyak mengajurkan kegiatan wacana Islam seperti penganjuran kursus-kursus di peringkat sijil dan diploma lanjutan di bidang pengajian Islam, acara seminar, forum dan diskusi.

Antara peranan lain yang dimainkan oleh badan-badan dakwah dan institusi pengajian tinggi ini ialah menerusi penerbitan bahan-bahan ilmiah yang bertemakan Islam. Ia meliputi persoalan berkaitan pembangunan diri, pengurusan masyarakat, ekonomi, alam sekitar dan isu-isu antarabangsa. Antara badan dakwah yang banyak terlibat di dalam bidang penerbitan ilmiah ini ialah Yadim, Ikim dan Abim. Manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan antara institusi pengajian tinggi yang banyak menerbitkan bahan-bahan ilmiah bercorak keislaman.

Kita juga patut menyebut sumbangan dan peranan media cetak dan elektonik di dalam menyebarkan dan menyemarakkan wacana Islam di dalam masyarakat kita. Akhbar-akhbar utama dalam negara telah menyediakan ruangan dan halaman tetap bagi diskusi tajuk-tajuk bercorak keagamaan. Manakala saluran televisyen samada milik kerajaan atau swasta juga telah menyediakan slot-slot siaran bercorak diskusi keagamaan.

Demikianlah sedikit penyelusuran terhadap saluran-saluran penyebaran dan pembangunan wacana Islam di negara ini. Menerusi saluran-saluran inilah, nilai-nilai ajaran Islam berkembang di dalam masyarakat kita.

Kepentingan perluasan saluran wacana Islam tidak harus dibahaskan lagi. Ini kerana, tanpa wacana yang menyeluruh, proses dakwah tidak akan berkembang. Keadaan ini sekiranya berlaku akan merencatkan proses peningkatkan kematangan dan penghayatan masyarakat terhadap agama.

Sebagai seorang Muslim, kita menyakini peranan besar agama di dalam kehidupan dan pembangunan negara dan tamadun. Agama ialah benteng yang akan memastikan jatidiri anggota masyarakat sentiasa utuh. Hal ini bertambah penting di dalam suasana dunia baru yang terbuka hari ini.

Untuk itulah, agenda memperluas dan mempertingkatkan kualiti wacana Islam harus menjadi agenda utama pendakwah dan badan-badan dakwah di negara ini sebagai azam tahun 1431 dan 2010. Bagi tujuan tersebut, beberapa pemikiran berikut wajar diberikan perhatian.

Pertama, tumpuan di dalam agenda perluasan wacana Islam ini harus disasarkan kepada golongan muda dan belia. Menerusi saluran-saluran dakwah yang sediada, usaha memastikan penglibatan golongan muda dan belia menyertai wacana-wacana Islam amat menuntut sekali. Badan dakwah perlu memastikan iaitu pada setiap penganjuran acara wacana Islam, penyertaan golongan muda harus mencecah 60 peratus dari jumlah khalayak peserta. Ini bagi memastikan supaya proses kesinambungan ajaran dan kebudayaan Islam dapat diwarisi kepada generasi akan datang.

Kedua, pendakwah dan badan-badan dakwah perlu terlibat membantu pihak kerajaan membangunkan satu sistem pendidikan Islam formal yang berkualiti. Bagi tujuan tersebut, wacana Islam di dalam sistem pendidikan formal yang tercerna menerusi sukatan pelajaran pendidikan Islam yang diperkenalkan kepada para pelajar harus sentiasa dinilai agar menepati kualiti dan keberkesanan penghayatannya. Di dalam hal ini, pihak kerajaan perlu lebih terbuka di dalam menerima pandangan-pandangan yang sesuai bagi tujuan pengukuhan kurikulum pendidikan Islam dan kaedah-kaedah penyampaiannya.

Ketiga, para pendakwah dan badan dakwah harus memberi tumpuan terhadap pembangunan kualiti di dalam setiap pengajuran acara keagamaan. Di dalam hal ini, peranan pendakwah amat mustahak sekali bagi memastikan tajuk dan kandungan perbahasan di dalam setiap wacana Islam dapat memberi panduan kepada msyarakat di dalam mendepani cabaran hidup moden hari ini. Di dalam hal ini, peranan wacana Islam menerusi khutbah amat penting sekali. Kandungan khutbah harus bersifat segar dan menyeluruh sejajar dengan perkembangan dunia semasa dan dalam masa yang sama menjelaskan prinsip-prinsip utama dalam aspek keyakinan, ibadah dan akhlak. Hal ini merupakan cabaran terbesar kepada pentadbiran institusi agama di negara kita.

Keempat, badan dakwah perlu terlibat secara aktif di dalam bidang teknologi dan kesenian dakwah bagi memastikan penyebaran wacana Islam lebih meluas. Wacana Islam menerusi teater, drama dan filem merupakan saluran dakwah yang paling berkesan hari terutama di dalam mendekati golongan muda kepada ajaran Islam. Di samping itu, wacana Islam menerusi laman web dan blog perlu lebih dipergiatkan.

Kelima dan terakhir ialah kepentingan untuk badan dakwah terlibat secara serius di dalam bidang penerbitan dan persuratan Islam. Penerbitan bahan-bahan keislaman samada yang bersifat ilmiah dan kreatif hendaklah diperhebatkan. Di dalam masa yang sama, bahan-bahan ini hendaklah dipastikan tersebar kepada masyakat terbanyak. Hal ini menuntut kepada satu program penerbitan yang berkualiti tetapi murah di mana ia mampu dibeli oleh semua.

This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Isu Semasa. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s