PANDUAN MENDEPANI PERTEMBUNGAN ALIRAN DAN PENDEKATAN DAKWAH

Oleh Muhamad Razak Idris

 Disiarkan di di Berita Harian, 28 November 2009

 Baru-baru ini masyarakat Islam di negara ini kerugian banyak kualiti waktu mereka disebabkan pertembungan aliran pemikiran dan pendekatan berdakwah antara pendakwah. Sesungguhnya, pertembungan yang membawa sehingga kepada pendakwaan dan ugutan saman menyaman antara pendakwah boleh dielakkan sekiranya tradisi serta budaya mengenai adab berbeza pendapat serta kefahaman mengenai keutamaan dakwah di dalam Islam dihayati seluruh pendakwah di negara ini.

Sebenarnya, pertembungan aliran pendekatan dan pemikiran di dalam berdakwah ini bukanlah perkara baru dalam tradisi peradaban Islam. Perbezaan di dalam berpandangan adalah suatu fitrah kehidupan. Agama Islam amat meraikan keadaan fitrah ini. Istilah yang sering digunakan al-Quran bagi menggambarkan keadaan perbezaan ini ialah ‘ikhtilaf’.

Ini dapat dilihat menerusi firman Allah: “Sesungguhnya kamu benar-benar dalam keadaan berselisih pendapat” (al-Dhariyat, 8). Di dalam ayat lain Allah berfirman, “Sesungguhnya Tuhan kamu akan memutuskan antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka perselisihkan”. (Yunus, 93).

Walaupun al-Quran mengesahkan mengenai fitrah ‘ikhtilaf’ atau perbezaan pendapat ini, ia tidak bermakna bahawa agama Islam menganjurkan keadaan perbezaan itu. Malah di dalam beberapa ayat al-Quran yang lain, Allah amat bertegas dan memberi amaran keras kepada sesiapa yang sengaja mewujudkan perbezaan di dalam agama sehingga membawa kepada suasana pertelingkahan dan perpecahan sesama sendiri.

Di dalam hubungan ini, Allah berfirman, “Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah hingga menyebabkan kamu gagal dan hilang kekuatanmu”. (al-Anfal, 46). Di dalam ayat yang lain Allah berfirman, “Dan janganlah kamu termasuk orang mempersekutukan Allah, iaitu orang yang memecahbelahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan berasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka”. (al-Rum, 31-32).

Berdasarkan pedoman ayat al-Quran di atas, ia memberi pengajaran mengenai dua keadaan yang perlu kita bezakan iaitu antara ikhtilaf atau perbezaan dan pertembungan. Di dalam erti kata lain, ikhtilaf dan perbezaan adalah suatu fenomena yang harus didepani dan ditangani oleh setiap manusia di muka bumi.

Kita tidak boleh lari daripada berdepan dengan kepelbagaian sikap, tabiat dan pandangan di dalam kehidupan yang rencam ini. Namun, perbezaan ini tidak harus membawa kepada pertembungan. Dan, inilah cabaran utama umat Islam hari ini iaitu untuk menjadikan fenomena perbezaan sebagai suatu yang memperkayakan dan bukan sebagai perkara membawa kepada pertembungan dan perbalahan sehingga menghilangkan kekuatan.

Sesungguhnya cabaran untuk umat Islam mewujudkan keadaan di mana perbezaan yang boleh memperkayakan, adalah suatu tuntutan utama pada masa kini. Ini kerana, sejak kemerosotan peradaban umat Islam, kesan daripada kejatuhan Baghdad pada pertengahan abad ketujuh Hijrah, umat Islam seolah-olah kehilangan suatu suasana budaya yang boleh memperkayakan mereka menerusi kepelbagaian perbezaan yang wujud di dalam masyarakat.

Kebudayaan umat Islam sejak era kemerosotan peradaban mereka, menjadikan perbezaan sebagai punca untuk mewujudkan pertembungan. Akibatnya, perbezaan pandangan yang seharusnya membawa kepada kekayaan sudah berubah menjadi sumber kelemahan.
Keadaan ini amat berbeza sekali pada ketika umat Islam di era kemajuan kebudayaan mereka. Perbezaan di dalam berpandangan dan pendekatan, memperkayakan tamadun dan kebudayaan umat Islam itu sendiri.

Oleh kerana itu, sekiranya kita mengkaji sejarah pemikiran dan kebudayaan Islam, perkembangannya banyak didorong oleh keluasan pandangan di dalam menerima kepelbagaian diperoleh menerusi perbezaan yang rencam.

Di dalam penelitiannya mengenai sejarah perkembangan pemikiran Islam, Majid Fikri di dalam bukunya A History of Islamic Philosophy (2004), menyatakan bahawa pemikiran Islam adalah suatu hasil daripada proses yang rencam, disumbangkan oleh sumber pemikiran diperoleh daripada orang Syria, Arab, Parsi, Turki, Berber dan lain-lain.

Kesuburan dan kesegaran budaya perbezaan yang memperkayakan boleh ditinjau di dalam perkembangan manhaj atau model penetapan hukum di dalam perundangan Islam. Pembentukan dan perkembangan manhaj perundangan Islam yang pelbagai disandarkan kepada nama Imam utama seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’iy dan Imam Ahmad ibn Hanbal dan Imam al-Zahiriy di dalam sejarah peradaban Islam tidak mungkin akan berlaku sekiranya budaya perbezaan yang memperkayakan tidak wujud di dalam masyarakat Islam.

Cabaran utama membina semula suatu kebudayaan hidup umat Islam yang boleh mendorong perbezaan kepada suatu kekayaan peradaban harus menjadi suatu usaha berterusan. Usaha ini secara langsung akan dapat mengatasi masalah perseteruan dan pertembungan yang sering dialami umat Islam hari ini akibat perbezaan pandangan.

Sebagai suatu panduan kepada umat Islam di negara ini di dalam memahami suasana pertembungan aliran pendekatan yang terjadi pada hari ini, kita ingin menganjurkan mereka supaya menelaah semula dua buku yang dikupas dengan mendalam oleh dua tokoh ulama dan pemikir Islam semasa.

Buku itu ialah, pertama, Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam, ditulis oleh Dr Taha Jabil al-Alwani, (1993). Kedua ialah Fiqh Keutamaan Berasaskan al-Quran dan al-Sunnah, ditulis oleh Dr Yusof al-Qardawi, (2001). Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Kita ingin menganjurkan umat Islam membaca kedua-dua buku ini kerana ia boleh memberi banyak panduan di dalam mendepani kepelbagaian perbezaan di dalam kehidupan terutama di dalam berpandangan seterusnya menjadikan perbezaan suatu yang memper-kayakan.

Menurut kedua-dua tokoh ini, perbezaan boleh menjadi suatu yang memperkayakan sekiranya umat Islam mengikuti dua disiplin penting iaitu, pertama, mengutamakan adab di dalam berbeza pendapat dan kedua, memahami isu dakwah dan perjuangan Islam menerusi satu pandangan menyeluruh yang boleh didapati menerusi ilmu keutamaan di dalam Islam.

Kedua-kedua disiplin ini dilihat suatu yang amat penting sekali dimiliki umat Islam hari ini. Disiplin ilmu ini akan menjadikan umat Islam sentiasa memandang tinggi seluruh sumber ilmu yang ada di dalam tradisi pemikiran manusia.

Pada masa sama, ia boleh mewujudkan perasaan rendah diri kita sebagai seorang Muslim berdepan dengan kekayaan pelbagai ilmu yang diwarisi daripada ulama dan ilmuwan terdahulu. Keadaan ini menjadikan kita sentiasa berhati-hati di dalam berhujah dan memberikan pendapat dan ia boleh mengelakkan kita terjebak di dalam budaya ‘kebiadaban intelektual.’

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua buku ini, orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Abim Pusat menerusi e-mel: sap@abim.org.my  atau menelefon: 016-2081300.

This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Institusi Islam, Isu Semasa, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

One Response to PANDUAN MENDEPANI PERTEMBUNGAN ALIRAN DAN PENDEKATAN DAKWAH

  1. hudha says:

    Assalamualaikum w.b.t

    Saudara Razak,

    Saya merupakan calon sarjana di UM, kini saya sedang menyiapkan disertasi yg bertajuk “KONFLIK REFORMIS & TRADISIONALIS DALAM MEDIA MASSA”. Dalam kajian ni saya mnfokuskan pada pemikiran Dr Asri & Dr Uthman El-Muhammady. Saya sangat berminat dgn artikel dan pandangan saudara razak. mgkn pandangan saudara boleh membantu sedikit sebanyak disertasi saya ni.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s