MEMBINA GENERASI KHAYRA UMMAH MENERUSI SISTEM PENDIDIKAN AL-HIKMAH

(Berikut ialah teks ucapan saya ketika merasmikan Majlis Graduasi kali 1, Sekolah Rendah dan Menengah Islam Abim, Sungai Ramal, Kajang, Selangor. Majlis berlangsung pada 21 November 2009 bertempat di Dewan Seminar ILSAS, Bangi, Selangor)


Assalamualaikum wrt wbt

Pertamanya, marilah kita mengucap syukur kepada Allah swt diatas izinnya telah memudahkan segala urusan penganjuran Majlis Graduasi SERI dan SEMI ABIM Sungai Ramal untuk kali pertama. Sesungguhnya majlis ini amat bermakna sekali terutama kepada banyak pihak.

Saya yakin pihak yang paling bergembira sekali pada hari ini tentulah para ibubapa kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat masing-masing. Ibubapa manakah yang tidak bergembira apabila mendapati anak-anak mereka yang telah diasuh semenjak dilahirkan, dibuai dan dimanjakan semenjak kecil, kini telah berjaya menjadi seorang individu insan yang telah bersedia menerima ilmu pengentahuan. Keupayaan pelajar-pelajar mencapai peningkatan diri dari tahun ke tahun dengan kadar kemampuannya yang tersendiri adalah satu petunjuk tentang kesediaan akal fikirannya, emosi dan kerohaniannya untuk menerima ilmu-ilmu berkaitan dengan hakikat atau realiti kehidupan ini.

Sebagai ibubapa, jiwa kita tentu merasa tenteram melihat perkembangan anak-anak kita ini yang tergambar menerusi keupayaan mereka memahami sumber ilmu menerusi bacaan, meluahkan ilmu-ilmu yang difahami menerusi tulisan dan menghayati nilai-nilai ilmu menerusi amalan di dalam kehidupan seharian. Perkembangan ini merupakan sebahagian dari pentujuk-petunjuk penting tentang keberhasilan proses pembelajaran dan pendidikan yang telah dilalui oleh anak-anak kita sepanjang beberapa tempoh waktu dari usia kehidupannya.

Bagi pihak ABIM, kita juga berasa gembira sekali dengan perkembangan ini. Kegembiraan dirasakan kerana kita telah turut menyumbang di dalam proses pembentukan diri pelajar-pelajar menerusi sistem pendidikan yang diperkenalkan. Dari sudut keagamaan, Abim berasa amat bertuah kerana telah diberi keyakinan oleh pihak ibubapa di dalam menyumbang di dalam membantu menyempurnakan tugas dan amanah setiap ibubapa terhadap anak-anak mereka.

Sesungguhnya tugas dan amanah memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak adalah sebahagian dari tanggungjawab asasi setiap ibubapa. Sebagaimana kita sering mendengar hadis dari Rasullulah tentang tahap kesucian yang dimiliki oleh setiap anak-anak yang baru dilahirkan, anak-anak ini diibaratkan oleh Nabi Muhammad saw seumpama kain putih yang suci dan bersih. Maka, ibubapalah yang dipertanggungjawabkan menentukan corak, rupa, bentuk dan watak anak-anak mereka. Dalam kata lain, ibubapalah sebenarnya penentu kepada kedudukan dan peluang anak-anak mereka di masa depan. Pada hari ini, tugas mencorak dan membentuk perkembangan diri anak-anak di masa depan tidak lagi boleh ditanggung oleh ibubapa semata-mata. Ini kerana, tugas ini terlalu berat.

Pada saya, ada beberapa sebab mengapa tugas ini amat berat. Pertama, kita kini sedang berada pada era peralihan zaman yang rencam. Pada era ini, masyarakat menjadi begitu terbuka dan bebas. Individu yang tidak memiliki kekuatan identiti atau jati diri yang kuat akan mudah lebur di era baru dunia hari ini. Sebab kedua ialah kerana tuntutan agama yang mengajurkan kita mempersiapkan satu generasi yang kuat memandangkan masyarakat Islam dikenal sebagai umat terbaik atau khayra ummah. Umat terbaik ialah umat yang dapat menyumbang kepada pembinaan peradaban manusia terbanyak yang seimbang dan sejahtera.

Di dalam hal ini, saya suka membuat sedikit huraian. Kita semua tentu sedar iaitu dunia yang kita diami sekarang ini digerakkan oleh satu arus yang dikenali sebagai globalisasi. Era di dunia baru ini ditandai oleh pergerakan atau mobiliti yang deras dan pantas di dalam segenap aspek kehidupan. Segala bentuk cara hidup, pemikiran dan nilai-nilai manusia kini boleh dikongsi secara terus dan bebas sesama manusia tanpa sebarang sempadan dan sekatan. Ia terjadi kerana pencapaian manusia dibidang teknologi perhubungan dan komunikasi. Oleh kerana itu, dunia hari ini selalu digelar sebagai perkampungan atau desa sejagat.

Apakah kesan atau implikasi peralihan dan perubahan dunia ini kepada anak-anak kita? Kesanya ialah, kehidupan anak-anak kita pada masa kini dan akan datang tidak lagi terhad kepada lingkungan sempadan negara- bangsa yang wujud kini. Pada masa akan datang, kita menjangkakan sempadan daerah antara negara tidak akan releven atau sesuai lagi. Proses liberalisasi yang sedang terjadi kini di dalam bidang kebudayaan dan ekonomi yang digerakkan oleh arus globalisasi akan merentasi batasan sempadan geografi.

Pada masa akan datang, kita barangkali tidak akan memiliki negara lagi dalam sifatnya kini. Kita semua hanya mempunyai dunia dan satu dunia ini akan menjadi milik semua. Suasana satu dunia dan satu manusia ini akan membawa kepada suatu keadaan dimana persaingan tidak lagi di dalam ruang lingkup sempadan negara. Malah persaingan dimasa akan datang adalah persaingan yang melibatkan seluruh warga manusia. Di dalam era persaingan global merentas kaum dan negara pada masa akan datang, pemenangnya ialah hanya mereka yang benar-benar bertahan, berkeupayaan dan berkualiti.

Dari sudut persaingan kebudayaan dan cara hidup, hanya mereka yang memiliki jatidiri yang utuh akan mampu bertahan mengekalkan jatidirinya. Sekiranya jatidirinya lemah, seseorang itu akan mudah lebuh di dalam kerencaman budaya yang tidak menentu. Begitu juga dari aspek-aspek kehidupan lain yang lebih luas seperti pemikiran, ekonomi dan politik. Seseorang individu, masyarakat atau sesebuah negara perlu bersedia mempersiapkan diri mencari kekuatan tersendiri bagi memastikan ketahanan dan kewujudan dirinya di pesada dunia yang terbuka dari sudut persaingan dan kerencaman keterbukaannya.

Di dalam mendepani cabaran dunia akan datang inilah menuntut kita para ibubapa mempersiapkan anak-anak yang benar-benar bertahan yang mampu mendepani era persaingan global yang serba mencabar. Tuntutan mempersiapkan generasi masa depan yang berdaya tahan tidak sahaja bagi memenuhi cabaran peralihan zaman. Malah ia bagi memenuhi tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim yang ditelah diamanahkan Allah sebagai satu kelompok manusia yang terbaik atau khayra Ummah.

Amanah ini dapat kita telusuri menerusi firman Allah:

Kamu adalah Ummat Terbaik yang dicipta Alllah bagi menyeru kepada kebaikan dan menghalang kepada kerosakan dan beriman kepada Allah. (al-Imran:110)

Firman Allah ini memberikan kita beberapa petunjuk yang jelas. Pertama, Setiap umat Islam perlu menyedari bahawa mereka mempunyai satu tugas besar diatas muka bumi ini. Tugas ini merupakan satu tanggungjawab bagi menggerakkan suatu kehidupan manusia yang sentiasa berada di dalam kemajuan menerusi proses pembaharuan menuju kebaikan sepanjang waktu. Bagi tujuan tersebut, masyarakat manusia hendaklah memiliki disiplin hidup yang tinggi yang tidak membawa mereka kepada keburukan diri di dalam kehidupan.

Tugas dan amanah menganjurkan kemajuan menerusi proses seruan kepada kebaikan dan pencegahan dari terjebat di dalam satu perbuatan atau sistem yang merosakan merupakan antara ciri utama masyarakat Muslim yang dikenali sebagai umat terbaik atau khayra Ummah. Bagi tujuan tersebut, adalah menjadi suatu tanggungjawab setiap ibubapa menyediakan anak-anak mereka agar menjadi sebahagian dari generasi khayra Ummah.

Generasi khayra ummah ialah generasi yang mampu menjadi penyumbang yang produktif kepada kemajuan dan kesejahteraan hidup masyarakat dan peradaban manusia seluruhnya. Generasi khayra Ummah ialah golongan tonggak yang akan menjadi paksi kehidupan ini. Mereka adalah pendokong keadilan dan penyeru kepada kedamaian. Di dalam pandangan kita, generasi khayra Ummah sahajalah yang mampu mewarisi dan memimpin kehidupan dunia yang aman dan sejahtera di masa hadapan.

Malah generasi khayra ummah merupakan golongan yang mampu bertahan di era persaingan yang serba rencam dan tidak menentu di masa depan di dunia yang kita telah sebutkan sebagai desa atau perkampungan sejagat. Menyedari tuntutan zaman dan amanah agama yang menyeru kepada tangungjawab membina generasi khayra Ummah, ia telah menjadi asas kepada cita-cita utama Abim sepanjang penubuhannya hampir 40 tahun yang lalu. Malah, cita-cita ini telah diabadikan sebagai misi pergerakan Abim yang kita sebut sebagai misi “Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah”.

Bagi mencapai cita-cita tersebut, Abim telah memulakan gagasannya menerusi strategi kebudayaan yang dinamakan sebagai agenda pemerkasaan pendidikan Islam. Asas kepada strategi kebudayaan ini ialah kesedaran dan kefahaman iaitu usaha-usaha perubahan dan pembaharuan generasi menuju Khayra Ummah harus bermula menerusi proses pembinaan semula budaya hidup individu dan anggota masyarakat agar sejajar dengan tuntutan nilai-nilai kemajuan yang diajarkan oleh agama Islam.

Usaha pembinaan semula budaya hidup masyarakat harus bermula dengan proses pendidikan yang berkesan dan berteraskan prinsip dan nilai-nilai ajaran Islam. Bagi tujuan tersebut, sejak awal penubuhannya, Abim telah menekuni bidang pendidikan dan menubuhkan banyak institusi pendidikan Islam di peringkat asas, rendah dan menengah serta tinggi.

Disamping penubuhan institusi, Abim juga mengagaskan sistem pendidikan yang tersendiri yang bersifat sepadu. Sistem pendidikan bersepadu yang menjadi ciri asas pendidikan Islam kini yang dikemukakan Abim kini telah mencapai tahap kematangannya. Bagi memberikan penegasan tentang keunikan dan kesepaduan kurikulum pendidikan ini, kita telah bersepakat untuk menamakannya sebagai “Sistem Pendidikan al-Hikmah”. Apakah yang dimaksudkan dengan sistem pendidikan al-hikmah?

Menurut salah seorang dari pelopor agenda pendidikan Abim iaitu Dr Siddiq Fadzil, beliau menyatakan,

“al-Hikmah adalah kurnia pencerahan akliah-rohaniah yang nilainya setinggi khayran kathira (kebaikan yang banyak), berbanding kesenangan duniawi yang sebanyak mana pun jumlahnya hanya bernilai….mataa’u dunya qalil (kesenangan yang sedikit). Dalam konteks pendidikan al-hikmah adalah komponen teras pendidikan profetis atau kenabian yang menepati urutan selepas al-kitab (wa yu ‘allimuhum al-kitab wa al-hikmah). Rasa terpanggil untuk melaksanakan misi kecendiakawanan warathat al-anbiya (ulama pewaris nabi) kami mengangkat kata mulia al-hikmah untuk mengabadikan komitmen melaksanakan pendidikan al-hikmah dengan harapan dapat membina dan menampilkan generasi baru berkualiti tersendiri yang kami ungkapkan sebagai ulul al bab. (Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan, Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang, 2009, ms 46).

“Model Pendidikan al-Hikmah yang disandarkan adalah berasaskan prinsip-prinsip pendidikan berikut: a. Tawhid dengan segala implikasinya b. Kebaktian kepada kedua orang tua c. Penghayatan ibadah dan sikap hidup positif d. Memahami dan menginsafi hakikat hidup duniawi-ukhrawi e. Membuat pendirian berasaskan ilmu f. Akhlak mulia g. Pemantapan orientasi pencapaian matlamat dan pemikiran strategik (perancangan masa depan)”. (Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan, ms 72)

Berasaskan huraian maksud model atau sistem pendidikan al-Hikmah, kita boleh merumuskan iaitu : Ia adalah satu cita-cita bagi melahirkan satu generasi yang serba sempurna dari sudut rohani, akli, emosi dan zahir. Generasi al-Hikmah ialah watak generasi khayra ummah dimana mereka adalah generasi yang berwatak rabbani dengan memiliki kualiti tauhid dan ibadah yang tinggi, mencintai usaha bakti terutama kepada kedua ibubapa, berpengentahuan tinggi, professional, berakhlak dan beradab mulia, berkempimpinan dan berpandangan jauh.

Cita-cita melahirkan dan membina generasi khayra ummah yang berteraskan ciri dan watak al-Hikmah merupakan satu agenda besar Abim sebagai sebagai sebuah pergerakan dakwah. Usaha ini menuntut persedian yang amat rapi sekali. Ini menuntut kita untuk sentiasa membuat penilaian terhadap kualiti kurikulum yang disediakan. Di samping itu ialah keperluan untuk memastikan supaya institusi pendidikan memiliki kemudahan prasarana yang sesuai dengan perkembangan semasa seperti alat bantu mengajar, komputer dan pusat sumber yang selesa.

Dalam masa yang sama, kita perlu mempertingkatkan kepimpinan di dalam pentadbiran dan pengurusan sekolah serta mempertingkat dan mempelbagai kegiatan luar darjah dengan lebih menarik dan berkesan. Di dalam menjayakan cita-cita ini, kita tidak boleh melupakan jasa para guru. Mereka adalah nadi kepada kecemerlangan pelajar dan pengantara kepada proses penyuburan nilai-nilai dan watak al-hikmah didalam diri pelajar.

Oleh itu, kualiti pengajaran perlu diberi perhatian dan ini menuntut proses latihan guru yang berterusan. Disamping itu, kebajikan para guru tidak boleh sesekali dikesampingkan. Keselesaan mereka akan mendorong motivasi kearah pengajaran yang berkesan dan memastikan ketahanan mereka mendidik di medan persekolahan sebagai tenaga pengajar secara berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Marilah kita sama-sama mendoakan agar cita-cita besar ini dipermudahkan Allah. Usaha ini menuntut juga permuafakatan ibubapa. Saya sekali lagi mengucapkan terimakasih diatas keyakinan para ibubapa kepada institusi pendidikan Abim bagi menyumbang kepada pembangunan anak-anak.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka. Saya berharap para pelajar akan terus bersama dengan Abim menerusi kegiatan-kegiatan tidak formal yang bakal dianjurkan walaupun selepas ini barangkali mereka akan berpindah ke institusi pendidikan lain. Saya harap pelajar-pelajar boleh menjadi contoh kepada para pelajar lain dimana juga berada.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada gurubesar, warga pengurus dan guru di sekolah Seri/Semi Abim Sg Ramal yang telah berjaya melonjakkan kejayaan sekolah di dalam ujian pencapaian sekolah agama dan ujian penilaian sekolah rendah.

Kepada para jawatankuasa majlis graduasi, saya ucapakan berbanyak terima kasih diatas penat lelah semua di dalam penganjuran majlis yang sungguh bermakna dan amat meriah ini. Semoga acara ini terus menjadi tradisi yang baik pada tahun-tahun yang akan datang. Sekian. Wassalam.

This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Isu Semasa, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s