SYAWAL MASA PERKUKUH SILATURRAHIM POLITIK

Oleh Muhamad Razak Idris

Berita Harian: 28 September 2009, Isnin

Syawal adalah bulan terbaik untuk masyarakat Islam khususnya meningkatkan dan memperkukuhkan jalinan silaturrahim sesama mereka. Ini kerana dorongan dan semangat berkesatuan sesama masyarakat Islam amat tinggi sekali pada bulan ini. Sambutan Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal ialah detik pencetus kepada usaha perpaduan masyarakat Islam seluruh dunia.

Di negara kita Malaysia, tradisi menyambut Aidilfitri amat unik sekali. Di samping berterusan mengangungkan kebesaran Alllah sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan menunaikan ibadah berpuasa dan kembalinya sifat diri kepada fitrah, masyarakat Islam menyambut hari kebesaran Islam ini dengan mengadakan rumah terbuka. Sepanjang Syawal ini, masyarakat Islam akan saling kunjung mengunjung antara satu dengan yang lain bagi mengukuhkan hubungan silaturrahim sesama mereka. Di dalam pertemuan rumah terbuka, masyarakat Islam dari pelbagai kelompok, usia dan darjat saling bermaaf-maafan dan bertukar-tukar pandangan dengan penuh berlapang dada.

Tradisi sambutan sebegini sepanjang Syawal adalah satu budaya yang mulia yang harus sentiasa dipupuk. Disamping itu, ia adalah satu kegiatan sosial yang amat berkesan bagi usaha pengukuhan silaturrahim dan persefahaman sesama masyarakat Islam. Keberkesanan kegiatan ini terbukti kerana proses sosialisasi yang dimanifestasi menerusi amalan rumah terbuka dibina diatas semangat ajaran keagamaan. Ia tidak dilakukan diatas kepentingan terhad diri dan kelompok.

Di atas asas inilah, saya berpandangan Syawal ialah masa terbaik untuk kita memperkukuhkan silaturrahim politik di dalam negara kita. Pandangan ini bermaksud bahawa di sepanjang bulan ini, acara-acara yang bersifat pertemuan peribadi antara tokoh-tokoh politik atau antara penggiat-penggiat politik di pelbagai peringkat haruslah digerakkan secara aktif dan terancang.

Menerusi semanagat Syawal, pertemuan-pertemuan pada acara rumah terbuka perlu dilanjutkan kepada sesi-sesi perbincangan dua hala atau diskusi berkelompok antara tokoh dan aktivis politik dari pelbagai aliran parti bagi membincangkan persoalan yang melibatkan kepentingan bersama di dalam proses pembinaan negara.

Pandangan ini disyorkan kerana beberapa faktor. Pertama, persepsi umum oleh masyarakat terbanyak terhadap kegiatan perpolitikan di negara ini kini menunjukkan bahawa ia sedang menuju proses keretakan. Kegiatan politik di dalam negara kita sudah tidak sihat lagi. Ini tergambar di dalam pelbagai bentuk pengucapan dan tindakan oleh para pemimpin dan penggerak politik yang sering bertuduhan dan berbantah di dalam pelbagai isu sehingga pada sesetengah keadaan telah melampaui batas-batas akhlak agama dan lunas demokrasi. Pada pandangan sebahagian anggota masyarakat, perseteruan yang tertonjol dari kegiatan politik ini telah menimbulkan satu perasan yang membosankan.

Kedua, parti-parti politik di negara ini terutama parti-parti yang berorientasikan Melayu dan Islam seolah-olah begitu sukar sekali mendapatkan masa dan waktu yang sesuai untuk bertemu dan berbincang antara satu dengan yang lain. Bagi masyarakat terbanyak, keadaan ini amat pelik sekali. Ini kerana walaupun para pemimpin utama parti-parti ini sudah menyatakan hasrat untuk saling bekerjasama pada perkara-perkara yang disepakati dan bersedia pula untuk bermaafan atas segala keterlanjuran politik masa lalu secara terbuka di dada akhbar, sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang pertemuan yang kukuh bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Berasaskan dua faktor inilah, kita ingin menganjurkan supaya semangat berkesatuan yang didorong oleh cetusan sambutan Aidilfitri dimanafaatkan sepenuhnya oleh semua pihak terutama pemimpin-pemimpin bagi meningkatkan dan memperkukuhkan silaturrahim politik di dalam negara. Menerusi pertemuan-pertemuan yang bersifat peribadi dan perbincangan tidak rasmi antara pemimpin dan penggerak politik menerusi acara rumah terbuka sepanjang Syawal ini, ia diharap akan dapat memupuk suasana yang positif dan subur ke arah kerjasama yang lebih  bermakna demi masa depan negara.  

Usaha mengukuhkan silaturrahim politik tidak bermaksud bahawa semua parti-parti politik perlu berkerjasama di bawah satu payung atau satu lambang. Apa yang dicitakan menerusi silaturahim politik yang kukuh, para pemimpin dan parti-parti politik berada pada keadaan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain. Kegiatan berbantah di dalam pelbagai isu dan persoalan antara parti-parti politik harus terjadi di dalam suasana yang berhemah.

Sikap saling hormat menghormati ini hanya akan dapat diwujudkan sekiranya di antara mereka mempunyai sifat dan rasa untuk menghargai kepentingan peranan antara satu dengan yang lain di dalam medan perkhidmatan rakyat menerusi wadah politik yang tersendiri. Di dalam maksud yang lebih khusus, pihak kerajaan dan pembangkang hendaklah saling menghormati kewujudan fungsi dan peranan masing-masing di dalam proses pembinaan negara menerusi kerangka dan amalan demokrasi yang segar.

Di dalam negara kita kini, banyak persoalan yang sedang terjadi di dalam pelbagai sektor yang menuntut kerjasama segenap pihak terutama pertubuhan-pertubuhan politik samada dari pihak kerajaan atau pembangkang. Negara kita, seperti juga dengan banyak negara-negara lain sedang berdepan dengan pelbagai isu akibat dari proses peralihan zaman yang digerakkan oleh arus globalisasi. Peralihan zaman menuntut kesedian seluruh rakyat dari pelbagai sudut terutama dari segi ketahanan mental dan budaya. Seluruh pihak perlu terlibat di dalam mencari jalan terbaik bagi membina sebuah masyarakat Malaysia yang memiliki semangat dan kualiti daya saing yang tinggi di pentas globalisasi dan dalam masa yang sama memiliki keutuhan teras dan jatidiri setempat.

Sesungguhnya cabaran besar ini menuntut suatu semangat permuafakatan yang tinggi dari seluruh warga rakyat terutamanya dari kalangan mereka yang terlibat di dalam kegiatan dan pergerakan politik dalam negara. Oleh kerana itu, silaturrahim politik adalah asas permulaan yang harus dipupuk dan dimulakan terlebih dahulu. Dalam hubungan ini, Syawal adalah masa terbaik bagi kita mengukuhkan silaturrahim politik sesama kita. Marilah kita mengambil semangat Aildilfitri pada tahun ini untuk saling bermaafan dan bersatu padu demi masa depan negara dan Ummah. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

This entry was posted in Dakwah, Kenegaraan, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s