KESELESAAN RAKYAT MENYAMBUT AIDILFITRI

Oleh Muhamad Razak Idris

Masyarakat Islam kini sedang bersiapan menyambut hari lebaran Aidilfitri. Sebagai salah satu dari kegiatan ibadah dalam agama Islam, Aidilfitri hendaklah disambut dengan meriah. Ini kerana ia merupakan sambutan hari kemenangan setiap individu Muslim kerana telah berjaya memenuhi satu acara ibadah berpuasa yang merupakan salah satu dari teras ibadah di dalam ajaran agama.

Namun, kemeriahan sambutan Aidilfitri bergantung rapat dengan keselesaan masyarakat di dalam proses persiapannya. Di dalam hubungan ini, terdapat banyak aspek yang menyumbang ke arah keselesaan masyarakat di dalam memastikan kemeriahan sambutan ini. Antara aspek yang paling penting tentulah dari segi persediaan kewangan. Ini kerana, persiapan tradisi  Aidilfitri seperti contoh penyediaan kuih muih raya dan baju-baju baru  menuntut satu bentuk komitmen kewangan tambahan oleh individu dan ketua keluarga.

Bagi golongan yang berpendapatan yang stabil dan tinggi, persiapan Aidilfitri dalam bentuk yang tradisi seperti yang dinyatakan bukanlah suatu yang menjadi halangan yang besar. Namun, keadaan tidak semestinya serupa bagi mereka dari kalangan yang berpendapatan tidak stabil dan rendah. Di samping golongan petani, nelayan dan buruh, warga tua dan anak yatim, golongan belia yang sedang berada diperingkat awal untuk berdikari juga tergolong di dalam kelompok ini.

Oleh kerana itu, amat wajar untuk kita memperkatakan tentang keadaan sebahagian dari kalangan anggota masyarakat kita yang tidak dapat melakukan persiapan menyambut hari lebaran kerana kekangan kewangan. Untuk itu, usaha-usaha keprihatinan hendaklah dipertingkatkan oleh segenap lapisan masyarakat yang berkemampuan.

Di dalam hubungan ini, langkah kerajaan menyediakan saguhati raya untuk kumpulan sokongan yang bertugas di sektor perkhidmatan awam hendaklah dipuji. Langkah ini seharusnya ditauladani oleh sektor-sektor lain. Walaupun jumlah saguhati tidaklah begitu besar, namun sekurang-kurang membantu dari segi persiapan menyambut kemeriahan hari lebaran.

Bagi majikan yang tidak berkemapuan memberikan saguhati, barangkali kaedah pinjaman mudah dalam jumlah yang berpatutan wajar diperkenalkan. Ini sekurangnya dapat memberikan satu dana sokongan kepada kakitangan atau pekerja yang berkemungkinan di dalam kerumitan kewangan.

Bagi masyarakat terbanyak yang berkemampuan, mereka boleh membantu dengan mengenalpasti jiran tetangga yang berada di dalam keadaan kerumitan kewangan dengan memberikan sumbangan. Ini menuntut sifat ambil tahu dan peduli kepada keadaan persekitaran masyarakat sekeliling.

Di dalam ajaran agama Islam, ibadah zakat fitrah adalah salah satu dari bentuk pendekatan atau mekanisme bagi membantu golongan yang daif membuat persiapan hari raya secara selesa. Di samping memenuhi tuntutan berzakat fitrah sepanjang Ramadhan ini, golongan yang berkemampuan tidak harus terhenti sumbangan mereka kepada golongan daif dalam kadar jumlah zakat yang ditentukan oleh pihak penguasa. Mereka boleh menambahkan lagi sumbangan menerusi derma atau sedekah.

Di samping aspek sokongan dalam bentuk kewangan, persiapan Aidilfitri akan lebih selesa dilakukan sekiranya sistem perkhidmatan awam dipertingkatkan terutama sepanjang musim sambutan hari lebaran ini. Hal ini perlu ditekankan kerana kebanyakan dari mereka yang menggunakan perkhidmatan awam adalah kalangan orang-orang bermusafir, masyarakat yang berpendapatan rendah serta golongan belia dan muda mudi.

Kita harus mengakui iaitu, walaupun sistem pengangkutan awam di negara kita sudah agak ke depan berbanding dengan beberapa negara dunia ketiga, namun dalam masa yang sama kedapatan banyak ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah dari sudut ketepatan jadual perjalanan dan jumlah laluan di dalam waktu-waktu puncak.

Kelemahan dua aspek ini agak amat ketara di dalam perkhidmatan keretapi komuter. Berasaskan beberapa pengalaman menggunakan perkhidmatan ini terutama di waktu puncak, perkhidmatannya amat tidak selesa sekali. Ini kerana jumlah laluan keretapi komuter tidak dapat menampung bilangan pengguna yang begitu ramai. Keadaan bertambah buruk lagi sekiranya berlaku pembatalan dan kelewatan jadual perjalanan pada satu-satu masa. Ia akan mengakibatkan kesesakan yang teruk bukan sahaja di stesen-stesen tetapi juga di setiap gerabak keretapi komuter.

Rungutan terhadap kesesakan dan ketidakcekapan ini telah banyak disuarakan oleh pengguna tetap perkhidmatan ini menerusi laporan media secara berterusan. Untuk itu, langkah-langkah segera wajar diambil oleh pihak yang bertanggungjawab di dalam urusan pengendalian perkhidmatannya. Kita tidak pasti selama mana para pengguna akan dapat bertahan dan bersabar di dalam berdepan dengan suasana ketidakselesaan dan ketidakcekapan ini.

Kita amat prihatin menyuarakan kelemahan perkhidmatan ini kerana pada masa ini para pengguna di mana kebanyakannya dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah dan golongan belia ramai sekali menggunakan perkhidmatan ini bagi tujuan membuat persiapan menyambut hari lebaran. Pihak kerajaan wajar memberikan tumpuan khas mengatasi kelemahan ini kerana sesungguhnya sekiranya ia dibiar berlarutan akan memberi kesan buruk terhadap imej kerajaan. Tambahan pula, kerajaan sekarang sedang mempromosikan tema kerja “ Rakyat di dahulukan, Pencapaian diutamakan” sebagaimana diuar-uarkan di dalam gagasan Satu Malaysia.

This entry was posted in Isu Semasa. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s