AGENDA PEMBANGUNAN BELIA ISLAM

Oleh Muhamad Razak Idris

Di dalam Kitab Suci al-Quran mengandungi banyak pengajaran dan pesanan. Salah satu darinya ialah pesanan supaya umat Islam bersikap tanggungjawab terhadap generasi di kemudian hari dengan tidak meninggalkan mereka di dalam keadaan yang lemah.

Pesanan ini dapat kita telusuri di dalam al-Quran di mana Allah swt telah mengingatkan dan memesan kepada mereka yang dipertanggungjawabkan membahagikan harta pusaka agar mengagihkannya secara adil dan saksama. Ini bagi memastikan pembahagian tersebut tidak membawa penganiayaan dan kezaliman kepada mereka yang berhak terutama sekali sekiranya yang terlibat di dalam proses pengagihan tersebut ialah dari kalangan anak-anak yatim dan golongan yang daif. Allah swt berfirman di dalam Surah al-Nisa’, ayat 9:

“Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim) oleh orang-orang (yang menjadi penjaganya) yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka (tentulah) mereka bimbang terhadap masa depan dan keselamatan) anak-anak, oleh itu maka hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang benar (menepati syara’).”

Peringatan dan pesanan sebegini harus disampaikan oleh Allah swt menerusi al-Quran kerana kewujudan keadaan di mana kedapatan gejala akibat sikap tamak dan zalim sebahagian masyarakat manusia di mana keputusan dan tindakan di dalam urusan harta benda yang dilakukannya telah membawa kepada penganiayaan kepada orang lain terutama mereka yang lemah dan daif seperti golongan anak yatim.  Di dalam hubungan inilah Allah swt memberi pesanan terutama kepada para penjaga harta pusaka dengan gambaran apakah mereka tidak berasa bimbang sekiranya ditakdirkan pewaris-pewaris tersebut ialah anak-anak mereka? Apakah tidak ada rasa bimbang terhadap keselamatan dan masa depan mereka sekiranya generasi yang ditinggalkan di dalam keadaan yang lemah?

Pengajaran umum dari pesanan Al-Quran ini amat meluas sekali. Tentunya, pesanan ini tidak merujuk kepada golongan penjaga harta pusaka secara khusus. Ia juga merupakan peringatan kepada seluruh umat Islam supaya bersiap siaga dan memandang ke depan di dalam merancang masa depan generasi yang mereka akan tinggalkan nanti. Umat Islam hendaklah sentiasa bertanyakan diri sendiri tentang nasib anak-anak mereka suatu hari kelak. Apakah anak-anak mereka tergolong dari kalangan generasi yang lemah atau kuat?  

Semangat pengajaran dari ayat al-Quran di atas harus menjadi pegangan seluruh umat Islam bersempena dengan sambutan Nuzul al-Quran 1430H tahun ini. Untuk itu, kita hendaklah menggolongkan diri kita dari kalangan kelompok yang mengambil berat terhadap keselamatan dan masa depan generasi akan datang. Bagi tujuan tersebut, kita semua hendaklah bersama-sama di dalam menjayakan usaha pembangunan generasi belia Islam yang memiliki serba kekuatan dalam kehidupan. Ini bagi memastikan kita tidak terjebak di dalam perbuatan yang menganiyaai dengan meninggalkan generasi akan datang di dalam keadaan yang penuh dengan kelemahan.

Sesungguhnya, usaha ini merupakan satu agenda yang luhur dan murni memandangkan generasi belia Islam merupakan kelompok pewaris kepada kepimpinan negara dan ummah pada masa hadapan. Ada beberapa faktor yang menuntut usaha pembangunan belia Islam diperhebatkan.

Pertama   golongan belia Islam merupakan kelompok teras masyarakat Malaysia pada hari ini. Bilangan mereka juga adalah yang terbanyak. Belia Islam di negara kita kini terdiri dari pelbagai latar belakang kaum dan budaya. Mereka terdiri dari kalangan belia Islam berbangsa Melayu, Cina, India, Bumiputra Sabah dan Sarawak serta juga masyarakat Orang Asli. Kepelbagaian latar belakang ini ialah kesan proses pengislaman dan perkembangan ajaran agama Islam yang pesat di negara ini.  Mereka merupakan tonggak yang akan mempengaruhi corak perkembangan negara pada masa depan dari sudut ekonomi, politik dan sosial. Keutuhan mereka asas  kesejahteraan negara Malaysia.

Kedua, peranan belia Islam di negara kita amat penting dan berpengaruh sekali. Ini kerana, Malaysia secara khusus merupakan sebuah negara tauladan kepada banyak negara terutama dunia Islam di dalam pelbagai aspek kehidupan. Jaminan kepimpinan negara Malaysia yang berkesan di pentas dunia bergantung kepada keupayaan kita membangunkan generasi belia Islam yang berkualiti di dalam segenap aspek kehidupan. Ini kerana peranan dan tanggungjawab mereka hari tidak lagi berkisar di dalam ruang dan sempadan negara ini tetapi merupakan kelompok pemimpin di pentas kehidupan dunia yang serba luas.

Ketiga, belia Islam kini sedang berada di era dunia yang amat mencabar. Salah satu dari cabaran utama belia Islam hari ini ialah globalisasi yang berlaku di segenap aspek kehidupan masyarakat dunia. Proses keterbukaan dan liberalisasi yang merupakan elemen utama era  globalisasi ini menuntut belia Islam bersiap sedia secara sempurna. Belia Islam yang terbangun secara sepadu dari aspek jasmani, rohani, akal dan emosi akan berupaya mendepani cabaran yang tidak menentu ini.  

Bersandarkan faktor-faktor ini, tuntutan membangun belia Islam yang utuh dan kuat begitu mendesak sekali. Tuntutan ini harus menjadi kewajipan dan tanggungjawab segenap lapisan masyarakat. Di dalam konteks ini, Abim selaku wadah terbesar bagi belia Islam di negara ini berasa terpanggil untuk memberikan tumpuan khusus kepada Agenda Pembangunan Belia Islam di dalam segenap bidang gerak kerjanya pada masa depan. Ini sejajar dengan semangat pesanan al-Quran yang meminta kita berasa bimbang tentang masa depan generasi akan datang agar tidak ditinggalkan di dalam keadaan yang lemah.

Di dalam agenda pembangunan belia Islam ini, rancangannya harus bersifat menyeluruh. Antara aspek utama yang akan diberi tumpuan Abim di dalam agenda ini ialah bidang kependidikan Islam dan latihan, peningkatan ketrampilan dan kepimpinan, pembangunan ekonomi dan keusahawanan, pemupukan semangat kesukarelawanan, pengkuhan kebajikan sosial dan kesedaran alam sekitar dan isu-isu antarabangsa di samping pembinaan jiwa patriotik.  

Agenda ini juga menuntut dokongan dari masyarakat terbanyak. Semua lapisan masyarakat wajar digalakkan untuk terlibat secara serius di dalam menjayakan agenda pembangunan Islam ini. Bagi mendorong penglibatan masyarakat di dalam menjayakan agenda ini, Abim telah melancarkan Kempen Menderma dan Berjariah Untuk Tabung Pembangunan Belia Islam. Ia bertujuan bagi mengumpul dana bagi melancarkan usaha dan rancangan program pembangunan belia Islam secara lebih berkesan dalam beberapa tempoh akan datang.

Bersempena sambutan Nuzul a-Quran pada tahun ini, saya ingin mengajak seluruh masyarakat di negara ini untuk bersama-sama dengan Abim bagi menjayakan agenda membangun generasi belia Islam yang kuat dengan menderma dan berjariah menerusi tabung ini. Segala bentuk sumbangan ikhlas adalah bermakna di dalam menjayakan cita-cita murni ini.   

(Untuk menderma: kunjungi laman web abim@org.my)

This entry was posted in Belia, Dakwah, Gerakan Islam, Institusi Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s