PERTEMBUNGAN NILAI KISAH KARTIKA TUNTUT TINDAKAN

Oleh Muhamad Razak Idris                                                                                                    

                                                                                                                                                                           Berita Harian: 2 September 2009, Rabu

Kisah Kartika Sari Dewi Shukarno telah menjadi tajuk perbincangan yang hangat beberapa minggu yang lalu. Kisah beliau wajar ditelusuri secara mendalam oleh warga belia Islam memandangkan ia mempunyai beberapa implikasi dari sudut pemikiran. Pada hemat saya, kisah Kartika ialah salah satu dari manifestasi tentang realiti pertembungan aliran nilai yang sedang dialami oleh masyarakat kita sekarang. Pertembungan aliran nilai ini didorong oleh dua faktor utama. Dorongan pertama ialah peningkatan kesedaran yang amat tinggi di kalangan masyarakat Islam terhadap tuntutan penghayatan nilai dan ajaran agama yang menyeluruh di segenap aspek kehidupan. Dorongan kedua ialah perkembangan pengaruh nilai-nilai yang bercorak liberal yang amat pesat sekali di negara kita kesan dari proses pensejagatan atau globalisasi.

Bagi setengah perkumpulan masyarakat Islam, penghukuman terhadap Kartika perlu diteruskan tanpa perlukan penangguhan. Ini kerana, penghukumannya adalah sejajar dengan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987. Lagi pula, Kartika telah mengakui kesalahannya serta rela hati untuk menjalani hukuman sebat. Perlaksanaan hukuman ini dilihat amat mustahak sebagai satu bentuk pengajaran dan pendidikan kepada masyarakat terbanyak, terutama golongan muda-mudi yang sejak akhir-akhir ini mudah terjebak dengan perbuatan yang membahayakan diri mereka seperti meminum minuman keras. Menerusi penghukuman ini, ia diharap dapat memberi keinsafan bukan sahaja kepada pesalahnya, tetapi memberi peringatan dan rasa takut kepada orang lain tentang bahaya amalan meminum minuman keras.

Dari sudut keagamaan, meminum minuman keras adalah salah satu dari dosa-dosa besar dan dari sudut perundangan Islam, pelakunya boleh disebat sehingga 80 sebatan. Ketegasan ini menunjukkan keseriusan agama Islam menangani gejala meminum minuman keras yang juga merupakan ibu kepada banyak gejala tidak baik di dalam kehidupan diri dan masyarakat. Namun, bagi setengah perkumpulan masyarakat yang lain, penghukuman menunjukkan sifat kurang belas kasihan agama Islam terhadap wanita. Ia ditanggap sebagai salah satu bentuk perderaan malah sehingga ke tahap penganiyaan terhadap golongan wanita.

Kartika pada pandangan mereka perlu diberi peluang kedua terlebih dahulu memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah yang pertama kali. Kisah Kartika ini juga telah menjadi sumber berita yang hangat di media antarabangsa. Negara Malaysia telah menjadi tumpuan kerana perlaksanaan hukuman ini memperlihatkan sifat keras perundangan syariah dan agak bertentangan dengan nilai-nilai perundangan dunia moden. Bagi masyarakat yang mengamalkan cara hidup yang bebas, seperti masyarakat di negara-negara Barat, meminum minuman keras bukanlah suatu kesalahan, malah sebahagian dari keperluan dan satu bentuk gaya hidup moden.

Oleh kerana itu, menjatuhkan hukuman sebat bagi sesiapa yang meminum minuman keras ditanggap suatu ketinggalan. Perbedaan pandangan dan fikiran di dalam menentukan bentuk hukuman yang sewajarnya terhadap kesalahan meminum minuman keras memperlihatkan pertembungan nilai yang sedang terjadi di dalam masyarakat kita. Kisah Kartika ini memberikan kepada kita beberapa pengajaran.

Pertama, kisah ini menunjukkan perlaksanaan perundangan Islam di bawah peruntukan yang telah ditentukan di bawah Mahkamah Syariah masih berdepan dengan hambatan. Hambatan yang paling utama nampaknya ialah kewujudan suatu tanggapan atau persepsi yang agak negatif terhadap perundangan Islam itu sendiri. Tanggapan negatif ini dilihat masih lagi amat meluas. Hambatan ini mengakibatkan proses perlaksanaan sesuatu hukuman yang pada falsafah dan semangatnya bagi memberikan pendidikan dan peringatan kepada masyarakat terbanyak boleh ditafsirkan sebagai suatu bentuk penganiyaan dan perderaan.

Kedua, kebanyakan masyarakat masih lagi dalam keadaan kabur tentang cara perlaksanaan hukuman sebat menurut prinsip dan adab-adab syariah atau perundangan Islam. Masyarakat keliru bahawa sebatan tersebut seumpama cara yang diamalkan terhadap pesalah-pesalah di mahkamah sivil yang didapati amat menakutkan dan menyakitkan.

Ketiga, sebarang bentuk perlaksanaan perundangan Islam akan mudah mendapat perhatian dan tumpuan masyarakat antarabangsa. Ini kerana, persepsi umum masyarakat antarabangsa seolah satu bentuk undang-undang yang terpencil, mundur dan tidak memenuhi tahap piawaian perundangan antarabangsa. Malah hukuman tersebut pada tanggapan mereka tidak perlu dilakukan kerana meminum minuman keras adalah suatu amalan yang terlalu biasa dan merupakan hak hakiki seseorang individu.

Hambatan-hambatan ini wujud dan terjadi antara lain ialah kerana perbedaan nilai yang dikandung oleh masyarakat samada di negara ini mahupun luar negara. Memandangkan kita kini sedang berada di era peralihan zaman yang dikenali sebagai globalisasi, setiap perlakuan dan perbuatan yang pada asalnya adalah baik serta menepati peraturan, namun boleh ditanggap sebagai suatu yang berlainan pula. Ini kesan dari proses penghebahan berita yang meluas menerusi saluran komunikasi yang pantas dan pelbagai. Kisah Kartika ini memperlihatkan tentang realiti perubahan zaman yang belaku.

Pemikiran penting yang perlu dipelajar menerusi kisah ini ialah, masyarakat terbanyak masih lagi memerlukan peroses penerangan yang menyeluruh tentang falsafah dan kebaikan perundangan Islam. Usaha kesedaran dan pemahaman tentang hakikat perundangan Islam memerlukan usaha penggiatan yang lebih serius dan berkesan selepas ini. Penyebaran kefahaman yang menyeluruh akan dapat mengatasi masalah pertembungan nilai yang berlaku kini. Ini kerana, pada setiap perlaksanaan hukuman berdasarkan perundangan Islam, ia disandarkan kepada falsafah dan nilai-nilai kependidikan bagi tujuan menjauhkan masyarakat dari terjebat dengan perbuatan yang memang diperakui menyumbang kepada kemudaratan kepada diri dan akal fikiran setiap pelaku.

Sekiranya pemahaman tentang falsafah perundangan Islam dapat disebarluaskan secara berkesan, proses perlaksanaanya akan dapat ditanggap secara rasional oleh masyarakat terbanyak. Para belia Islam sebagai kelompok teras masyarakat negara ini perlu mengambil inisiatif kedepan bagi meningkatkan kefahaman mereka tentang falsafah perundangan Islam. Ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk pertembungan nilai di kalangan mereka dalam berpandangan terhadap sesuatu yang melibatkan persoalan perundangan Islam di dalam negara.

Malah mereka harus menjadi kumpulan tauladan yang mampu menjadi pengimbang sekiranya terjadi sebarang bentuk pertembungan nilai di dalam masyarakat nanti di dalam apa juga isu dan persoalan. Ini hanya boleh dilakukan sekiranya mereka benar-benar faham tentang konsep dan falsafah perundangan Islam itu sendiri. Kepada Kartika, kita mendoakan semoga Allah menerima keinsafan beliau dan kesediaan beliau menerima hukuman dengan rela hati wajar mendapat pujian dari semua pihak. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Mengasihani.

This entry was posted in Institusi Islam, Isu Semasa, Wanita. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s