TIGA CABARAN UTAMA MENANTI BELIA ISLAM ZAMAN GLOBALISASI

Oleh Muhamad Razak Idris                                                                                                                               Tersiar di Berita Harian: 26 Ogos 2009

Belia Islam hari ini berada pada era yang amat mencabar.  Cabaran ini didorong oleh banyak faktor. Faktor yang paling utama sekali ialah peredaran zaman itu sendiri. Dunia hari ini amat berbeza sekali berbanding beberapa dekad lalu. Pada hari ini, dunia yang kita diami dikenali dengan ‘perkampungan sejagat’ atau ‘global village’. Mengibaratkan sebuah dunia yang besar ini sebagai sebuah perkampungan adalah gambaran realiti peredaran zaman yang sedang didepani belia Islam hari ini. Perkampungan dunia hari ini digerakkan oleh pelbagai arus. Satu daripadanya ialah oleh pencapaian manusia sendiri di dalam bidang perhubungan sama ada menerusi darat atau lautan.

Namun, pencapaian yang paling mengesankan ialah pencapaian manusia di dalam bidang teknologi maklumat. Menerusi teknologi maklumat inilah seperti penciptaan komputer, telefon dan internet, manusia dari segenap pelosok dunia dapat berkongsi khabar dan berita hanya dalam sekelip mana.

Di samping berkongsi khabar dan berita, satu daripada perkara yang dikongsi bersama oleh masyarakat dunia ialah nilai dan kepercayaan mereka mengenai sesuatu perkara berkaitan urusan kehidupan di dunia ini. Urusan itu termasuk yang membabitkan ilmu pengetahuan, kebudayaan, sistem kenegaraan dan juga ideologi. Dengan bantuan teknologi maklumat dan perhubungan lebih baik, semua perkara yang dinyatakan di atas yang sebelum ini hanya dikongsi dan diketahui sekelompok perkumpulan manusia tertentu, kini sudah merentas sempadan daerah dan negara.

Kedapatan sesetengah perkara atau amalan yang pada asalnya hanya berbentuk minat dan kesukaan sebuah kelompok masyarakat, kini sudah menjadi minat dan kesukaan yang dikongsi oleh seluruh masyarakat manusia. Fenomena ini dikenali juga sebagai proses pensejagatan atau ‘globalisasi’. Ia adalah suatu keadaan di mana nilai dan amalan yang pada asalnya suatu yang bersifat setempat bertukar menjadi satu pola atau fenomena sejagat.

Oleh itu, beberapa istilah digunakan bagi menggambarkan fenomena kesejagatan dunia hari ini. Antaranya ialah seperti istilah ‘generasi Pepsi-Cola’ atau ‘generasi Google’. Istilah ini memberi maksud akan kesejagatan produk minuman Pepsi dan Coca-Cola, serta produk carian internet iaitu Google yang dengan kehadirannya, dikenali dan dikongsi oleh hampir seluruh masyarakat dunia. Fenomena kesejagatan dunia ini ialah realiti yang jelas akan peralihan zaman yang sedang didiami oleh belia Islam di negara kita hari ini.

Apakah bentuk cabaran yang perlu didepani oleh belia Islam di dalam berdepan dengan realiti peralihan zaman ini? Bentuk cabaran itu, pada hemat saya, boleh dibahagikan kepada beberapa unsur. Pertama, cabaran untuk mengekalkan jati diri setempat di dalam arus kesejagatan dunia. Kedua, cabaran mengenal pasti unsur yang positif untuk pembangunan belia Islam di dalam himpunan sumber maklumat yang pelbagai. Ketiga, cabaran untuk belia Islam menjadi unsur pendorong yang berpengaruh di dalam mencorakkan arus kesejagatan dunia hari ini.

Inilah tiga cabaran terpenting yang harus didepani belia Islam hari ini di dalam menangani era peralihan zaman. Bagi cabaran pertama, belia Islam harus mengorak langkah di dalam meningkatkan tahap keyakinan diri yang tinggi terhadap keutuhan dan keunikan jati diri yang mereka miliki kini. Keyakinan terhadap jati diri ini adalah asas untuk belia Islam berdepan dengan pelbagai daya tarikan dari luar persekitaran mereka. Hal ini menuntut belia Islam kembali memugar secara berkesan asas yang membentuk identiti dirinya. Ini meliputi teras kepercayaan agama, nilai hidup mulia dan rukun kebudayaan dan kenegaraan.

Dalam erti kata lain, ia menuntut belia Islam untuk kembali mengukuhkan tradisi keilmuan di dalam kehidupan mereka memandangkan hanya menerusi proses pendidikan yang berkesan dan berterusan, segala aspek yang dinyatakan itu dapat diperkukuhkan sebagai asas dan teras identiti dirinya.

Bagi cabaran kedua, belia Islam harus terdedah dengan banyak kajian yang bersifat perbandingan. Di dalam menentukan sesuatu perkara itu baik atau buruk untuk keperluan dan kegunaan belia Islam, kefahaman yang menyeluruh terhadap sesuatu persoalan yang terjadi diperlukan. Sebagai contoh, di dalam berdepan dengan kepelbagaian arus kefahaman dan tafsiran terhadap ajaran Islam, belia Islam harus diperkukuhkan dengan kerangka pandangan yang difahami oleh aliran ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu kerangka ajaran Islam yang diperakui oleh majoriti golongan ilmuwan Islam.

Menerusi kerangka fahaman ini, belia Islam dibekalkan dengan petunjuk dan batasan bersifat tetap dan dinamik di dalam menilai sesuatu perkara atau persoalan. Ini secara langsung membimbing belia Islam di dalam melakukan proses penilaian yang objektif terhadap sesuatu sumber baru yang diperoleh. Perkara ini akan memberi ruang luas kepada belia Islam memanfaatkan sesuatu yang baik atau positif mengenai sesuatu perkara bagi kegunaan mereka dan pada masa sama, dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara atau persoalan yang tidak baik atau negatif yang boleh melenturkan jati diri dan identiti dirinya.

Bagi cabaran ketiga, belia Islam perlu dipersiapkan diri dalam pelbagai aspek kehidupan agar mencapai tahap pencapaian hidup yang terbaik dan tertinggi. Ini bagi memastikan supaya belia Islam boleh menjadi kelompok masyarakat yang kreatif dan inovatif menciptakan produk baru bukan saja untuk kelompok masyarakat setempat, malah masyarakat dunia seluruhnya. Era dunia hari ini yang digerakkan oleh peralihan zaman banyak dipengaruhi generasi yang berpandangan jauh dan berani melakukan perubahan. Sesuatu perubahan yang berpengaruh harus bermula dengan kekuatan ilmu pengetahuan dan kemahiran hidup yang tinggi.

Belia Islam di negara ini harus didorong untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan mereka di bidang yang mereka ceburi agar mencapai tahap tertinggi sehingga mampu mencipta produk terbaik dan terkini untuk keperluan seluruh manusia sejagat.

This entry was posted in Belia, Isu Semasa. Bookmark the permalink.

One Response to TIGA CABARAN UTAMA MENANTI BELIA ISLAM ZAMAN GLOBALISASI

  1. izzat says:

    Salam abg razak. Saya bersetuju dengan artikel abg ni. Apa yang penting juga pada hari ini juga pembinaan belia dari muda iaitu dalam keluarga itu sendiri perlu disemat. Ibu bapa yang terbuka dan bersedia membawa anaknya untuk dididik dengan cara islam. Itu yang lebih baik. Dan saya cdgkan kepada ABIM untuk lebih menekankan kepada proses ini dan insya allah generasi terkemudian tidak akan menjadi masalah. Itulah salah satu prasyarat generasi salahudin yang ingin kita jadikan. Tahniah abg razak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s