TUNTUTAN DIALOG ANTARA AGAMA

Oleh: Muhamad Razak Idris

Dialog antara agama sebagai satu disiplin ilmu dan kebudayaan merupakan satu tuntutan yang paling mendesak dalam konteks negara Malaysia masa kini. Tambahan pula, kegiatan dialog antara agama masih dianggap suatu yang baru di dalam masyarakat. Ia masih ditanggap asing oleh sebahagian besar masyarakat umat Islam.

Dialog antara agama boleh difahami sebagai kesediaan dan keupayaan satu-satu kelompok agama memberi respon dan reaksi terhadap sebarang permasalahan yang berbangkit samada perkara tersebut melibatkan kelompoknya sendiri atau pun orang lain. Dalam memberikan tindakbalas tersebut, ia hendaklah mengambil kira kepentingan bersama, menerusi rundingan dan persetujuan. Dalam hal-hal yang tidak dapat dipersetujui bersama (atas sebab-sebab tertentu) hendaklah ada sikap berlapang dada dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Bagi tujuan mewujudkan keadaan demikian, maka dua syarat asas yang perlu dipenuhi oleh setiap kelompok agama terbabit iaitu kesediaan untuk bersikap `jujur’ dan `ikhlas’. Ini bagi memastikan agar tidak ada agenda tersirat dalam setiap dialog yang dijalankan. Dalam ertikata lain, dialog bukan dakwah atau misi bagi tujuan mengajak penganut lain menukar agamanya.

Bagi menjalankan kegiatan dialog antara agama, setiap kelompok harus mempunyai persediaan dan keupayaan ilmu. Ini meliputi kemampuan pengentahuan tentang asas dan tasawwur agamanya sendiri serta juga memahami dengan sempurna konsep dan asas citra agama rakan dialognya. Di samping itu, setiap pihak harus benar-benar menyedari tentang permasalahan yang berbangkit berhubung persoalan dan permasalahan yang ingin didialogkan.

Terdapat beberapa bentuk dialog yang boleh diamalkan dalam konteks negara ini.

a. Dialog Kehidupan – iaitu pertemuan antara umat berlainan agama dalam kehidupan seharian seperti gotong royong menjayakan aktiviti sosial, ekonomi dan seumpamanya.

b. Dialog Kerja Sosial – suatu bentuk kesinambungan dari dialog kehidupan di mana penekanan terhadap kesedaran dan kepentingan betapa perlunya hidup secara beragama dalam pertemuan yang dikelolakan.

c. Dialog Teologi – iaitu lebih merupakan perbincangan yang menyangkut tentang aspek doktrin dan keimanan. Tujuan dialog ini ialah bagi membangunkan kesedaran diri bahawa di luar keyakinan dan keimanan yang kita anuti, terdapat bentuk keimanan, kepercayaan dan tradisi yang dimiliki oleh orang lain. Kefahaman yang mendalam terhadap situasi kepercayaan dan keimanan orang lain menghasilkan perasaan hormat dan jalinan hubungan keagamaan yang tulin sesama anggota masyarakat.

d. Dialog Spiritual – iaitu berlegar di alam esoteric (alam kerohanian) yang melibatkan orang tertentu sahaja dari kalangan pengamal mistik.

Memandangkan dialog yang berbentuk teologi dan spiritual bersifat berat dalam realiti masyarakat yang menganggap tradisi dialog sebagai suatu yang baru, dianjurkan agar usaha dialog dalam bentuk kehidupan dan kerja sosial dipergiatkan.

Kegiatan sedemikian tidaklah begitu sukar dikelolakan dan harus dikelolakan bersama oleh pertubuhan agama di negara ini dengan kesedaran bagi merapatkan persefahaman dan kerjasama sesama penganut agama. Ia boleh dijelmakan dalam bentuk kegiatan gotong royong, kerja amal dan sukarela serta kebajikan.

Sejajar dengan tahap asas disiplin dialog dalam konteks masyarakat kita, usaha awal yang perlu ditumpukan ialah memecahkan perspektif serong dan negatif penganut agama terhadap yang lain. Ini merupakan antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh pemuka dialog di di negara ini. Sikap eksklusif penganut terhadap agamanya suatu yang fitrah dan ada pada setiap agama. Malah penganut agama harus mempertahankan keyakinan dan keunikan ajaran agama yang dianuti dengan serius dan bersungguh-sungguh.

Namun, ia tidak harus sehingga mendakwa agama lain sebagai suatu yang tidak relevan dan berguna dalam menyumbang kepada kehidupan masyarakat. Ini kerana, sikap memandang agama lain sebagai suatu yang tidak berguna merupakan benteng yang melambatkan proses pemupukan keharmonian antara penganut agama. Kita memerlukan semangat eksklusif agama yang bersifat rasional yang memberi ruang untuk menerima kepelbagaian agama.

This entry was posted in Dakwah, Dialog Peradaban, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

One Response to TUNTUTAN DIALOG ANTARA AGAMA

  1. For most up-to-date news you have to pay a quick visit web and on the
    web I found this website as a finest web site for latest updates.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s